Sabtu, 12 Oktober 2013

Utusan Online - Luar Negara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Luar Negara


India siap sedia hadapi Phailin

Posted: 12 Oct 2013 11:48 AM PDT

Ombak memecah benteng di pelabuhan perikanan di daerah Visakhapatnam di negeri Andhra Pradesh di selatan India, semalam. Taufan Phailin diramal melanda pantai timur India menyebabkan hampir 600,000 penduduk terpaksa dipindahkan. Imej satelit menunjukkan taufan itu sedang menghampiri India. - REUTERS

NEW DELHI 12 Okt. - India bersiap sedia menghadapi taufan gergasi Phailin dengan mengeluarkan amaran merah kemungkinan angin kencang dan hujan lebat melanda kawasan perairan timur India, malam ini.

Pihak berkuasa telah memindahkan hampir 600,000 orang penduduk di Orissa, ketika imej satelit menunjukkan Taufan Phailin kini berada kira-kira 300 kilometer di luar perairan pantai timur negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi India, Lakshman Singh Rathore berkata, Phailin diramal membawa angin dengan kelajuan sekurang-kurangnya 220 kilometer sejam dan berpotensi menyebabkan kerosakan besar.

Katanya, taufan itu dijangka menjejaskan kira-kira 12 juta penduduk di kawasan terbabit.

Tropical Storm Risk (TSR) yang beribu pejabat di London, meletakkan Phailin sebagai ribut kategori lima, iaitu kategori terkuat.

Perkhidmatan cuaca Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) pula berkata, kelajuan angin di laut mencecah 314 kilometer sejam dan beberapa badan kaji cuaca turut menyamakan saiz taufan itu dengan Taufan Katrina yang melanda AS pada 2005.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh selepas Taufan Nari melanda Luzon, Filipina dan menyebabkan beberapa perkampungan serta kawasan tanaman padi ditenggelami air, hari ini.

Bekalan tenaga elektrik turut terputus di wilayah Aurora dan lima wilayah berhampiran ekoran tiang elektrik tumbang dan stesen-stesen janakuasa ditutup bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Nari yang membawa angin selaju 150 kilometer sejam mula melanda wilayah Aurora, semalam dan lebih 2,500 orang penduduk telah dipindahkan sebelum taufan itu melanda. - AP/REUTERS

Mencari Keredaan

Posted: 12 Oct 2013 11:48 AM PDT

Dua jemaah haji berdoa di atas Bukit Thur di tanah suci Mekah, Arab Saudi, kelmarin. - REUTERS

Selain Masjidilharam, Bukit Thur di Mekah turut menjadi destinasi tumpuan bagi umat Islam yang sedang menunaikan haji musim ini untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT.

Bukit Thur menyaksikan permulaan penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari Mekah ke Madinah ketika awal kedatangan Islam.

Di bukit itu terdapat gua tempat persembunyian Nabi Muhammad ketika diburu oleh kaum Quraish yang bertekad untuk membunuhnya, sebelum baginda memulakan penghijrahannya ke Madinah.

Ibadah haji bakal tiba ke kemuncaknya pada minggu depan apabila sambutan Hari Raya Aidiladha ditetapkan pada Selasa ini bersamaan 11 Zulhijah 1434.

Ibadah haji merupakan Rukun Islam kelima dan umat Islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikannya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved