Sabtu, 12 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


PRK Sungai Limau: Jangan cetus provokasi - KPN

Posted: 12 Oct 2013 01:23 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI

JERAI 12 Okt. - Polis memberi amaran kepada semua penyokong parti politik agar tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang tempoh penamaan calon, berkempen dan hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November depan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya bagaimanapun yakin semua pengundi di DUN itu merupakan pengundi matang dan tidak memerlukan sebarang provokasi politik.

"Pengundi di DUN N20 Sungai Limau ini adalah masyarakat yang sangat ringkas kerana kebanyakan mereka daripada golongan pesawah," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada Polis Kedah mengenai persiapan menghadapi PRK DUN Sungai Limau di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Tiada hotspot di DUN Sungai Limau - KPN

Posted: 12 Oct 2013 12:46 AM PDT

YAN 12 Okt. - Tidak ada kawasan dikategorikan 'panas' dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menjelang pilihan raya kecil kawasan itu.

Namun kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, polis tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama dengan kehadiran orang luar yang boleh menimbulkan kekecohan.

"Minta penyokong-penyokong dari luar... kalau tidak tahu budaya di Sungai Limau, janganlah cuba mengganggu-gugat pengundi di Sungai Limau. Biarlah pengundi Sungai Limau membuat pilihan mereka sendiri.

"Jika ada penyokong nak datang, orang luar kena jaga kelakuan supaya tidak mengganggu keselamatan Sungai Limau yang sentiasa tenang dan aman," katanya kepada pemberita ketika melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, di sini hari ini.

Menurut Khalid, polis bagaimanapun akan memberi tumpuan di kawasan yang dirasakan berlaku pengundian sengit antara parti-parti bertanding.

"Kita dah siap sedia. Masyarakat di DUN Sungai Limau ini adalah masyarakat yang santai dan merupakan pengundi yang matang... tak perlu provokasi luar," katanya.

Khalid berkata, lawatan beliau ke IPD Yan hari ini bagi melihat persediaan Polis Kedah dan IPD Yan untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau itu yang dijadualkan pada 4 November depan.

"Daripada taklimat yang baru saya terima, saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat. Tinjauan hari ini melibatkan persiapan keselamatan dari hari penamaan calon pada 23 Oktober ini sehinggalah hari mengundi, dan selepas hari mengundi. Insya-Allah, pengundi N20 Sungai Limau tidak perlu bimbang, risau.

"Keluarlah mengundi dan keselamatan mereka dijamin," katanya.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandang Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah pada 26 September lepas. - BERNAMA

67 jemaah haji Malaysia masih di wad hospital

Posted: 11 Oct 2013 09:41 PM PDT

MEKAH 12 Okt. - Sebanyak 67 jemaah haji Malaysia masih dirawat di wad pusat rawatan Tabung Haji (TH) dan hospital kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 63 di wad pusat rawatan TH di Aziziah, Syisyah dan pusat rawatan di maktab masing-masing manakala empat lagi di hospital kerajaan.

"Jumlah ini adalah kecil berbanding tahun-tahun lepas dan kita akan membantu membawa jemaah yang sakit dengan ambulans untuk berwukuf di Arafah pada hari Isnin ini jika mereka masih belum keluar dari wad," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Katanya setakat ini kesemua mereka dilapor dalam keadaan stabil dan tiada yang mengalami masalah kronik.

Beliau berkata sejak pusat rawatan TH beroperasi lebih sebulan lepas, sebanyak 328 jemaah haji telah menerima rawatan dan kebanyakan kes berkaitan penyakit darah tinggi, jantung, radang paru-paru, patah tulang dan juga kencing manis.

Jamil Khir berkata setakat ini sembilan daripada 22,320 jemaah haji Malaysia telah meninggal dunia. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved