Sabtu, 12 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tidak boleh tukar status tanah

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamed (kanan) menyerahkan bantuan pertanian kepada seorang penerima dalam majlis perasmian Pelaksanaan Kaedah Padi SRI Lot Sawah Kesang Tasek, Ledang, Johor, kelmarin.

LEDANG 11 Okt. - Kerajaan negeri tidak akan meluluskan permohonan menukar status tanah daripada tanaman padi kepada tanaman kelapa sawit bagi memastikan kawasan sawah sedia ada terus diusahakan, selain mahu lebih banyak kawasan baharu dibuka untuk tujuan itu.

Pengerusi JawatankuasaPertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, pihaknya juga mahu mereka yang sudah atau baru sahaja menukar status tersebut supaya kembali kepada tanaman padi untuk menambah pengeluaran hasil beras negeri.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tentang perkara ini iaitu tidak menukar status tanah tanaman padi kepada kelapa sawit dan beliau bersetuju.

"Kita tidak bersetuju status tanah ditukar kerana mahu kawal dan jadikan sawah sedia ada sebagai taman kekal pengeluaran makanan untuk Johor, jadi simpanan sumber makanan," katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Petak Percubaan Pengurusan Sistem Intensifikasi Padi (SRI) Tanaman Padi MRQ 74 dan Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Muar/Ledang di Kesang Tasek di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Mustapha Omar dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi.

Sebelum ini, beberapa kawasan sawah di negeri ini ditukar statusnya terutama di Sungai Balang, Muar yang kini tinggal hanya 63 hektar untuk tanaman padi berbanding suatu ketika dahulu menjadi antara penyumbang terbesar beras di negeri ini.

Ketika ini terdapat kira-kira 1,531 hektar kawasan sawah padi di sembilan kawasan di negeri ini, antaranya Mersing, Muar, Kluang dan Batu Pahat dan selebihnya di daerah ini iaitu di Kesang Tasik, Kesang Gate, Pulau Penarik, Teluk Rimba dan Sawah Ring.

Ismail berkata, pihaknya mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk meningkatkan produktiviti beras di negeri ini dan salah satunya dengan memperkenalkan jenis baharu padi MRQ 74 dengan kaedah penanaman SRI.

Mengenai kaedah menanam benih padi MRQ 74 yang ketika ini ditanam secara manual, beliau berkata, masalah itu akan diatasi dengan penggunaan teknologi pembenihan yang akan dapat melakukan kerja-kerja menanam secara cepat dan dalam jumlah banyak.

Katanya, tidak seperti benih padi biasanya terus ditabur di kawasan sawah, MRQ 74 perlu disemai terlebih dahulu sebelum dipindahkan dalam usia pokoknya yang masih muda dengan jarak ditanam lebih 25 sentimeter antara satu sama lain.

Jangan ragu-ragu daftar anak OKU dengan JKM - Norshida

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

SEGAMAT 11 Okt. - Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) di daerah ini digesa jangan ragu-ragu untuk mendaftar mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, ibu bapa berkenaan tidak perlu malu, sebaliknya memastikan anak istimewa yang dianugerahkan Tuhan itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kerajaan telah menyediakan peruntukan dan pelbagai kemudahan serta memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan anak OKU, selain menyediakan tenaga terlatih dan berpengalaman di JKM untuk membantu anak-anak istimewa ini.

"Ibu bapa perlu memanfaatkan agensi asuhan seperti Pusat Dalam Komuniti (PDK) dan kelas pendidikan khas di kawasan masing-masing supaya anak tersebut mendapat pendidikan sewajarnya, khususnya untuk mempelajari cara-cara hidup berdikari," katanya semasa merasmikan Program Jom Daftar OKU dan Taska Daerah Segamat di JKM Segamat di sini hari ini.

Yang turut hadir Pegawai JKM daerah, Ansharey Matarsad dan 32 penerima kad OKU di seluruh daerah ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod bilangan OKU yang dikeluarkan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) dari Julai hingga Disember 2012, terdapat 80 peratus OKU yang berpotensi untuk bekerja dalam pelbagai sektor, manakala 20 peratus OKU sahaja yang tidak boleh bekerja.

Keadaan itu menunjukkan satu perkembangan positif bagi golongan tersebut kerana mereka masih mempunyai peluang untuk meneruskan kehidupan seperti golongan biasa tanpa dikecualikan dari segi keupayaan tertentu, selain jenis pekerjaan yang mereka pilih.

"Kewujudan dan pertambahan taska di daerah ini dilihat sebagai satu keperluan untuk menyediakan kemudahan bagi kanak-kanak dari segi jagaan dan pendidikan, sejajar dengan seruan kerajaan untuk mewujudkan taman asuhan kanak-kanak di kementerian atau jabatan masing-masing bagi menggalakkan lebih ramai wanita bekerja bagi meningkatkan pendapatan keluarga serta membantu pembangunan ekonomi negara.

"Penjaga dan ibu bapa juga tidak perlu bimbang kerana menerusi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308), setiap taska perlu memberi khidmat asuhan yang sempurna untuk meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved