Selasa, 22 Oktober 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Malaysia tetap ke Sukan SEA

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Amiruddin Embi (Kiri) memberi penerangan mengenai situasi terkini di Myanmar selepas mesyuarat majlis MOM di Wisma OCM, Kuala Lumpur semalam. - UTUSAN/JEFFRI IRAN

KUALA LUMPUR - Kontinjen Malaysia tetap akan bertanding pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, Disember ini.

Tidak ada sebab Malaysia hendak menarik diri daripada edisi ke-27 Temasya, itu penjelasan Ketua Kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi selepas mesyuarat bersama wakil-wakil persatuan sukan dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam.

Menurut Amiruddin, keputusan itu dibuat atas semangat Sukan SEA, namun pada masa yang sama isu keselamatan tetap diberi perhatian serius kerana beliau enggan mengambil risiko terhadap atlet dan pegawai yang akan ke sana.

Kita telah berbincang tentang isu keselamatan di rantau ini. Kebanyakan negara jiran kita mengalami pergolakan yang lebih kurang sama, penganjur (Myanmar) pula telah memberi jaminan keselamatan terbaik," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Jelasnya lagi, Malaysia sentiasa memantau keadaan di Myanmar dari semasa ke semasa dan pada masa yang sama, selain daripada disiplin, faktor keselamatan juga diberi penekanan kepada atlet serta pegawai yang bakal ke sana.

Bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan masalah keselamatan di Myanmar, kita memasukkan juga peraturan tatatertib dari aspek keselamatan. Tindakan ini perlu diambil bagi menjaga keselamatan pegawai dan atlet.

Jika ia (masalah keselamatan) serius, bukan MOM sahaja, malah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan sudah tentu akan membuat keputusan.

Setakat ini tidak ada kemungkinan kita tidak akan pergi, hasil perbincangan kerajaan Myanmar telah memberi jaminan kepada kita," katanya lagi.

Malaysia dijangka menghantar 800 atlet dan pegawai pada temasya dwi tahunan itu.

Isu penyertaan Malaysia ke Sukan SEA timbul selepas berlaku insiden letupan bom di Yangoon yang juga menjadi lokasi penganjuran Sukan SEA, sehingga mengundang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin membayangkan kesediaan Malaysia menarik diri atas faktor keselamatan atlet.

Dalam mesyuarat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi taklimat mengenai isu keselamatan.

Menurut PDRM, pihak penganjur akan mengawal ketat kawasan tumpuan temasya tersebut.

MOM juga dijangka mendapat bantuan keselamatan untuk mengiringi atlet negara sepanjang berada di Myanmar.

Pelan pembangunan bola sepak bakal dilancar

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh Metra Syahril Mohamed
sukan@utusan.com.my

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan akan melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak 2014-2020 bagi meningkatkan imej sukan bola sepak negara yang kini menghuni tangga ke-160 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pelan itu juga bertujuan mengembalikan maruah skuad kebangsaan yang dahulunya digeruni menerusi sentuhan Allahyarham Datuk Mohd. Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun serta beberapa nama besar lain.

Menurutnya lagi, kementerian memberi keutamaan kepada usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara.

Saya sudah menerima draf pelan pembangunan bola sepak dan ia akan dilancarkan tidak lama lagi. Menerusi pelan pembangunan ini, antaranya kita akan melihat lebih 10,000 remaja berusia tujuh hingga 17 tahun dilatih di seluruh negara.

Kita akan pastikan pelan ini dapat mencungkil bakat terbaik dengan sasaran pasukan remaja dapat melayakkan diri pada kejohanan Piala Remaja Dunia 2019," katanya dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Sri Abd. Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) berhubung usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negara.

Khairy berkata, pelantikan bekas penolong jurulatih pasukan akademi kelab gergasi Jerman, Bayern Munich bawah 19 tahun, Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara dijangka mampu membawa sinar baharu kepada sukan bola sepak tempatan.

Minat rakyat terutama terhadap pasukan bola sepak dan pemain tanah air juga semakin meningkat. Ini hasil usaha individu-individu dan negeri-negeri yang banyak melabur kepada pembangunan sukan ini.

Antaranya Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang juga Ahli Parlimen Ketereh," jelasnya.

Terdahulu beliau ketika menjawab soalan asal Abd. Khalid yang ingin mengetahui jumlah perbelanjaan tahunan pembangunan sukan berkata, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah memberi bantuan kepada 46 buah persatuan sukan berjumlah RM225.102 juta sejak 2008 hingga tahun lalu.

Bagi sukan bola sepak pula ujarnya, kementerian banyak membantu dalam aspek kewangan dan sejak 2000 lagi, MSN telah memperuntukkan RM300,000 setiap tahun bagi persiapan skuad bola sepak senior kebangsaan, manakala RM5 juta disalurkan bagi membiayai skuad Harimau Muda A dan B sejak 2005 hingga 2009.

Dalam perkembangan lain, beliau yang diajukan soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) mengenai insentif kerajaan khususnya pengecualian cukai terhadap pembelian peralatan sukan berkata, untuk sesi rundingan Bajet 2014, perkara itu telah disuarakan seperti Bajet 2013.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved