Selasa, 22 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tanah terbiar jadi kawasan pertanian

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (kiri) diberi penerangan mengenai produk bio semasa melawat ke ruang pameran selepas merasmikan Seminar Bio Malaysia dan Bio Ekonomi Asia 2013 di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 21 Okt. - Tanah terbiar di negeri ini akan dibangunkan sebagai kawasan pertanian dalam usaha mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pengeluar makanan utama negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat banyak tanah terbiar yang tidak digunakan dan berpotensi dijadikan sebagai kawasan aktiviti berasaskan pertanian.

Beliau berkata, selain tanaman makanan, tanah berkenaan juga akan digunakan untuk tanaman bagi kegunaan industri berasaskan bioteknologi.

"Tanah itu seharusnya digunakan untuk aktiviti yang bermanfaat bagi negeri ini dan langkah ini dilihat dapat mengukuhkan kedudukan sektor agrikultur di negeri ini agar kekal relevan.

"Kita akan menjalinkan kerjasama dengan Malaysian Biotechnology Sdn. Bhd. (BiotechCorp) bagi membangunkan tanah-tanah terbiar ini bermula suku pertama tahun depan dengan tanaman untuk kegunaan sektor bioteknologi," katanya selepas merasmikan Seminar Bio Malaysia dan Bio Ekonomi Asia Pasifik 2013 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Johor kekal sebagai peneraju utama negara dalam penghasilan buah-buahan, sayur-sayuran, ayam dan telur serta penggunaan tanah-tanah terbiar itu akan membantu negeri ini mengekalkan status tersebut.

Beliau berkata, projek Lembah Makanan Organik Bio Desaru di Kota Tinggi di atas tanah seluas 3,642 hektar juga akan membantu meningkatkan penghasilan makanan pada masa akan datang.

Katanya, sehingga kini projek tersebut menerima pelaburan sebanyak RM2 bilion sejak dimulakan pada 2009 dan memerlukan tempoh selama lapan tahun untuk membangun sepenuhnya sebagai kawasan pertanian organik.

Perkeso bayar RM4.7 juta tuntutan faedah di Muar

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

MUAR 21 Okt. - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Muar melunaskan bayaran tuntutan faedah kira-kira RM4.7 juta kepada waris dan ahli keluarga pencarum sejak Januari hingga Ogos lalu.

Pengurusnya, Nur Muhammad Bakhtir Mohd. Akhir berkata, bayaran itu melibatkan faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) dan Hilang Upaya Kekal (HUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat (ILT), Pencen Penakat (PKT) serta Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

"Bagi faedah HUS iaitu mereka yang cuti sakit, bayaran yang sudah dibuat ialah RM1,730,097 kepada pekerja yang ditimpa bencana dalam tempoh tujuh hari. Bayaran HUK pula sebanyak RM2,702,460 dalam tempoh 14 hari.

"Sementara itu, bayaran FOT kepada orang tanggungan dalam tempoh 14 hari bagi yang kemalangan maut ialah sebanyak RM6,877. Bagi bayaran pertama ILT dan PKT masing-masing sebanyak RM27,238 dan RM112,910 sudah dibuat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi FPM pula sebanyak RM157,700 sudah dibayar dan keenam-enam bayaran tuntutan faedah tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima semua maklumat dan dokumen yang diperlukan serta selepas siasatan dibuat.

Nur Muhammad Bakhtir memberitahu, kesemua bayaran tersebut berdasarkan sebanyak 1,055 kes yang dilaporkan sepanjang tempoh berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 114 kes masih dalam siasatan kerana meragukan dan dokumen tidak lengkap.

Beliau berkata, kes tertinggi diterima ialah 1,001 kes bencana yang berlaku semasa bekerja diikuti 152 kes melibatkan tuntutan ILT, 83 kes melibatkan bayaran PKT iaitu mereka yang ditimpa musibah tetapi bukan dalam waktu bekerja.

"Terdapat 40 kes disahkan ILT oleh jemaah doktor dan 14 kes lagi melibatkan kemalangan maut iaitu bencana semasa bekerja. Selain itu, Perkeso Muar menolak 51 kes yang tidak diterima sebagai bencana kerja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya melakukan aktiviti penguatkuasaan dengan melakukan 2009 pemeriksaan ke premis-premis di sekitar daerah ini.

Hasilnya, tambah beliau, sebanyak RM435,000 jumlah tunggakan caruman dikesan dan RM338,124 jumlah tunggakan caruman berjaya dikutip selain 33 majikan dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan, manakala 22 majikan lagi dihadapkan ke mahkamah.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat 7,365 majikan yang aktif dan menerusi penguatkuasaan itu, sebanyak 476 majikan baharu berdaftar dan menjadikan bilangan majikan berdaftar dengan Perkeso ketika ini adalah 14,991," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved