Selasa, 22 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Rehda tidak pernah buat kenyataan naik harga rumah 10%

Posted: 22 Oct 2013 12:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) tidak pernah membuat kenyataan untuk menaikkan harga rumah sehingga 10 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek.

Beliau berkata, dalam perjumpaan dengan pihak Rehda, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah diberikan bukti bahawa Rehda tidak mengeluarkan kenyataan itu malah memberi jaminan mereka tidak terlibat dalam apa-apa kartel dan akan sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan.

"MyCC telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan Rehda dan pihak-pihak lain yang berkenaan untuk mengenal pasti sama ada terdapat elemen antipersaingan.

"Jika pihak MyCC dapat mengesan sebarang amalan pakatan sulit di antara pemaju-pemaju perumahan dalam menaikkan harga rumah, tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Persaingan 2010 akan diambil segera kerana ia melibatkan kepentingan rakyat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abdul Azeez ingin tahu langkah yang diambil untuk membendung tindakan sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga barang ekoran penyelarasan harga subsidi minyak serta kenyataan pemaju perumahan yang berhasrat untuk menaikkan harga rumah hingga 10 peratus atas alasan yang sama.

Sementara itu, Hasan berkata, kerajaan telah, sedang dan akan terus melaksanakan beberapa program atau langkah bagi membendung usaha pihak tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan dalam pasaran ekoran rasionalisasi subsidi oleh kerajaan ke atas harga petrol dan diesel.

Katanya, antara langkah yang dilaksanakan seperti meneruskan pelaksanaan Ops Harga 2013, mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga mendadak, mengadakan rundingan dialog dengan industri terlibat supaya tidak menaikkan harga produk keluaran atau barangan secara mendadak dan melaksanakan skim kawalan harga musim perayaan. - BERNAMA

Nelayan ditemui selamat selepas hanyut hampir 24 jam

Posted: 22 Oct 2013 12:00 AM PDT

PULAU PINANG 22 Okt. - Umur seorang nelayan yang hilang selepas bot dinaiki bersama empat rakannya terbalik akibat dipukul ombak di perairan berdekatan Kampung 20, Penaga semalam, ternyata masih panjang apabila dia ditemukan selamat meskipun hanyut hampir 24 jam di laut.

Mohd. Akhmar Mat Zin, 19, ditemukan terdampar oleh sekumpulan nelayan di Pulau Batu Keramat dekat Tanjung Tokong di sini kira-kira pukul 9 pagi ini sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan. - UTUSAN ONLINE

40% pelajar lulusan PMR automatik masuk aliran sains

Posted: 21 Oct 2013 11:56 PM PDT

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Sebanyak 40 peratus pelajar lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) disalurkan ke dalam aliran sains secara automatik oleh Lembaga Peperiksaan bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata ia merupakan saranan jawatankuasa yang ditubuhkan pada 9 Februari 2012 untuk mengenal pasti nilai tambah bagi menarik penyertaan pelajar dalam bidang itu bagi mencapai Dasar Sains Teknikal dan Sastera dengan nisbah 60:40.

"Pelajar aliran sains dan teknologi juga diberi keutamaan untuk mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi (IPT)," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi).

Noor Ehsanuddin ingin tahu mengenai usaha yang dilakukan kerajaan bagi meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang sains bagi mencapai sasaran 60:40 itu.

Selain itu, Yap juga memberitahu, kementerian turut menggunakan media sebagai medium bagi menarik minat pelajar iaitu menerusi rancangan televisyen berbentuk sains, menggunakan iklan kain rentang dan risalah di media sosial Facebook.

Bagi meningkatkan kemahiran guru dalam bidang itu, kementerian memberi latihan kepada guru sains, teknologi dan matematik yang menjurus kepada kepakaran dan kemahiran dalam bidang sains tulen dan teknologi.

"Guru sains jurusan ijazah sarjana muda yang memenuhi syarat juga diberi peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang sains tulen," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Yap berkata penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Malaysia juga sangat baik.

Beliau merujuk kepada pertandingan Tale Spin 2013 anjuran akhbar tempatan The Star dan Pizza Hut yang memperlihatkan kefasihan pelajar bertutur menerusi persembahan drama.

"Saya berada di situ dan melihat pelajar mengaplikasikan konsep sains dan teknologi dalam persembahan drama, selain turut menggunakan pemikiran kreatif dan imaginasi untuk menyediakan gambaran cerita drama mereka," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved