Selasa, 22 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Sasar kekal prestasi terbaik SPM

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
utusanN9@utusan.com.my

Kalsom Khalid (tengah) dan Mat Rohani Kamar (tiga dari kanan) bersama pelajar dalam Majlis Penutupan Kem Motivasi Kecemerlangan SPM di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

KUALA PILAH 21 Okt. - Jabatan Pendidikan negeri menyasarkan untuk mengekalkan prestasi akademik negeri ini dalam kelompok ketiga terbaik di seluruh negara dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengarahnya, Kalsom Khalid berkata, semua sekolah telah mempergiatkan usaha untuk mengekalkan pencapaian tersebut malah tahun ini cabaran lebih hebat kerana syarat wajib lulus mata pelajaran Sejarah mula dikuatkuasakan.

"Sebelum ini hanya mata pelajaran Bahasa Melayu sahaja yang menjadi syarat wajib lulus dan kita akan berusaha supaya pencapaian pada tahun lepas dapat dikekalkan.

"Kita berharap pada tahun ini semua sekolah akan berjaya menambah bilangan pelajar memperoleh gred A dan dalam masa sama meningkatkan peratus lulus untuk semua mata pelajaran," katanya dalam program Penutupan Kem Motivasi Kecemerlangan SPM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Pilah, Mat Rohani.

Tambah Kalsom, beliau berharap calon SPM yang akan menduduki peperiksaan memupuk sikap positif dengan keyakinan diri yang tinggi.

Mengenai Kem Motivasi Kecemerlangan SPM yang diadakan itu, Kalsom memuji usaha pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang mengadakan program persediaan untuk pelajar terutama dalam mendedahkan mereka dengan teknik dan strategi terbaik untuk menjawab soalan peperiksaan di samping membina keyakinan pelajar.

"Pelajar yang disasarkan mendapat keputusan cemerlang ini perlu mengambil peluang yang diberikan dan berusaha dengan lebih gigih agar mencapai keputusan yang membanggakan kelak," ujarnya.

Seramai 100 pelajar sekolah terpilih menyertai kem berkenaan yang berlangsung selama tiga hari di Seri Menanti Resort, Seri Menanti di sini.

Lima penyandang kekal jawatan di Melaka

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Idris Haron, Abdul Ghafaar Atan, Ab Rauf Yusoh

MELAKA 21 Okt. - Tidak berlaku sebarang kejutan selepas lima muka lama terus mendapat mandat daripada perwakilan menerajui kepimpinan Bahagian di Melaka manakala satu muka baharu dipilih dalam pemilihan Sabtu lalu.

Tiga penyandang yang sebelum ini menang tanpa bertanding ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Tangga Batu, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Bukit Katil dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik di Kota Melaka.

Dua penyandang yang dicabar merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian dan berjaya mempertahankannya ialah ADUN Asahan, Datuk Abdul Ghafaar Atan di Alor Gajah dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah di Jasin.

Hanya Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh muka baharu yang mendapat kepercayaan perwakilan sebagai Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah menggantikan bekas Ahli Parlimennya, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang tidak mempertahankan jawatan.

Barisan yang diketuai Ab. Rauf turut menguasai jawatan Timbalan dan Naib Ketua Bahagian itu terdiri daripada Datuk Abd. Talib Bachek serta ADUN Tanjong Bidara, Md. Rawi Mahmud.

ADUN Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof yang bertanding jawatan Timbalan Ketua bahagian itu turut gagal apabila tewas kepada Abd. Talib.

Seperti diramal, Ab. Rauf menang jawatan tersebut dan mengetepikan saingan ADUN Kuala Linggi yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Ismail Othman dan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik.

Di Alor Gajah pula, Ghafaar Atan mengekalkan jawatan yang disandang sejak tiga penggal lalu apabila mengetepikan ADUN Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip dalam saingan dua penjuru.

Di Jasin pula, Ahmad seperti diramal mengekalkan jawatannya bagi penggal kelima apabila menewaskan dua calon iaitu bekas ADUN Merlimau, Datuk Nazari Azim dan ahli perniagaan, Abd. Alim Alimon.

Bagi jawatan Timbalan pula, ADUN Rim, Datuk Ghazale yang kini mengerjakan ibadat haji mendapat mandat daripada perwakilan apabila mengetepikan bekas ADUN kawasan berkenaan, Mohd. Yazed Khamis.

ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman pula menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua bahagian itu.

Di Bukit Katil pula, ADUN Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin turut menepati ramalan kekal menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian apabila menewaskan bekas Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, Datuk Asari Ibrahim.

Di Tangga Batu turut menyaksikan ADUN Paya Rumput, Sazali Muhd. Din memenangi jawatan Naib Ketua bahagian apabila mengetepikan Pengurus Besar Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (Iksep), Datuk Aziz Ujang.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah turut menang tanpa bertanding jawatan timbalan.

Shaziman tekad jadikan Tampin kubu kuat UMNO

Posted: 21 Oct 2013 11:48 AM PDT

Shaziman Abu Mansor

TAMPIN 21 Okt. - Datuk Seri Shaziman Abu Mansor yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tampin bertekad menjadikan bahagian itu kubu kuat parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang telah memegang jawatan berkenaan sejak empat penggal lalu menewaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Datuk Mohd. Kamil Abdul Aziz berkata, tumpuannya sekarang ialah merapatkan kembali hubungan ahli selain mengatur strategi bagi memperkukuhkan parti.

''Bagi saya ini adalah satu pemilihan sesama ahli keluarga dan jangan kita anggap mereka yang bertanding itu sebagai musuh sedangkan mereka jugalah yang membantu kita pada pilihan raya umum lalu.

''Jangan kita sisihkan yang tewas sebaliknya sayangilah mereka dan dengan cara itulah nanti kita akan terus memperkuatkan parti bagi berdepan pilihan raya umum akan datang," katanya ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan pemilihan UMNO Bahagian Tampin di sini malam kelmarin.

Shaziman memperoleh 333 undi manakala Mohd. Kamil meraih 162 undi.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian yang baharu, Md. Isam Md. Isa mendapat 345 undi bagi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Nasarudin Mahamud yang memperoleh 148 undi dan Mohd. Shafie Mohd. Riffa (7).

Md. Amin Mohd. Riffa pula memenangi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian dengan 329 undi berbanding dua pencabarnya iaitu Samsulkahar Alias yang memperoleh 160 undi dan Abdul Malek Shamsudin (7 undi).

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved