Selasa, 22 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


PSDC terima anugerah emas KIK

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanktn@gmail.com

Khairul Rizal Ramli (berdiri, lima dari kiri) bergambar dengan Kumpulan KIK PSDC yang memenangi anugerah emas dan tempat ketiga dalam Konvensyen KIK peringkat negeri di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 22 Okt. - Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC) di sini mencipta sejarah tersendiri apabila memperoleh anugerah emas dan tempat ketiga dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat negeri di sini baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Khairul Rizal Ramli berkata, Kumpulan Sepadu mendapat anugerah emas bagi kategori Pengurusan manakala kumpulan I-Solusi memperoleh tempat ketiga bagi kategori Teknikal.

Menurutnya, pencapaian itu amat memberangsangkan kerana kesemua ahli kumpulan terbabit tidak pernah didedahkan dengan konsep KIK tetapi berjaya membuktikan kebolehan mereka walaupun membentuk pasukan dalam masa singkat.

"Penyertaan julung kali dalam pertandingan itu merupakan satu sejarah besar bagi kami. Kumpulan I-Solusi yang membentangkan projek Mengatasi Kelewatan Pemakluman Bekalan Elektrik Terputus di PSDC berjaya memperoleh tempat ketiga bagi kategori Teknikal," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, Kumpulan Sepadu yang bertanding di bawah kategori Pengurusan membentangkan projek iaitu Mengatasi Kelewatan Proses Penyediaan Subjek Penuntut.

Menurutnya, menerusi projek ini, proses pendaftaran subjek penuntut berjaya dipercepatkan daripada 30 hari kepada tujuh hari sahaja, selain mengurangkan penglibatan enam pihak kepada tiga pihak sahaja.

"Ini secara langsung menghapuskan sama sekali penggunaan fail dan mengurangkan penggunaan kertas kepada satu keping sahaja bagi setiap penuntut," ujarnya.

Katanya, I-Solusi pula mencapai objektif projek iaitu mengurangkan tempoh pemakluman bekalan elektrik terputus daripada 30 jam kepada 10 saat sahaja.

UMP lahirkan graduan sulung kejuruteraan kimia

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Ahmad Ziad Sulaiman (tengah) bergambar kenangan dengan graduan pertama dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dengan Keusahawanan dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 UMP di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 22 Okt. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya melahirkan graduan pertama dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dengan Keusahawanan dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 universiti itu di sini baru-baru ini.

Timbalan Dekan Institut Pengajian Siswazah UMP, Dr. Ahmad Ziad Sulaiman berkata, program di bawah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) itu dapat memberi ruang serta peluang kepada usahawan tekno dan korporat dengan asas pengetahuan yang kukuh.

Tambahnya, program itu disertai dengan kemahiran pengurusan dan teknikal serta meneruskan kerjaya sebagai pengurus sama ada di syarikat persendirian atau sektor awam tempatan dan antarabangsa.

"Program secara kerja kursus selama satu tahun atau tiga semester merupakan peringkat ijazah sarjana dibangunkan untuk orang ramai menjadi usahawan tekno dalam bidang kejuruteraan kimia atau yang ingin meningkatkan kerjaya di peringkat profesional," katanya di sini.

Menurutnya, graduan tersebut akan menyumbang kepakaran dalam pembangunan industri gas, petroleum, petrokimia, pengurusan alam sekitar, pembangunan produk kimia baharu, pengurusan mutu produk serta berupaya menerokai bidang perniagaan lebih besar.

Katanya, program ini diwujudkan selaras dengan misi UMP yang ingin menjadi universiti teknologi bertaraf dunia dengan menyediakan pendidikan teknikal berkualiti tinggi dan menawarkan program akademik melalui persekitaran kondusif.

Beliau juga mengingatkan para graduan terbabit menggunakan pengetahuan dimiliki itu bagi menceburi bidang perniagaan secara menyeluruh serta mengenal pasti peluang keusahawanan.

"Mereka juga diharap dapat menyelesaikan secara kreatif dan inovatif terhadap masalah perniagaan dan kejuruteraan, selain menerangkan kesan penyelesaian tekno perniagaan dan konsep kelestarian dalam konteks global, persekitaran dan sosial," katanya.

UMP anjur Hari Koperasi Siswa

Posted: 22 Oct 2013 11:35 AM PDT

Shahiruddin Ab. Moin (duduk, kanan) berkata sesuatu kepada sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) sambil diperhatikan oleh Omar Jamaluddin (dua dari kanan) dalam majlis Minggu Koperasi Siswa di UMP, Kuantan. semalam.

KUANTAN 22 Okt. - Universiti Malaysia Pahang (UMP) buat julung kalinya menganjurkan Hari Koperasi Siswa 2013 di kampus universiti berkenaan di Gambang di sini yang bermula Ahad lalu dan akan berakhir esok.

Pengarah Pusat Keusahawanan UMP, Dr. Omar Jamaluddin berkata, program empat hari tersebut diatur oleh ahli koperasi universiti berkenaan dengan kerjasama Pusat Keusahawanan UMP.

"Program ini bertujuan menghebahkan kepada warga UMP akan kewujudan koperasi mahasiswa dan peranannya, membuka keahlian baharu dan memupuk minat berniaga dalam kalangan penuntut.

"Selain itu, Hari Koperasi Siswa 2013 ini juga bertujuan memberi latihan dan peluang kepada penuntut untuk aktif dalam bidang keusahawanan, di samping menambah sumber kewangan koperasi melalui aktiviti perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Hari Koperasi Siswa 2013 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin di sini semalam.

Yang turut hadir penasihat program tersebut, Mazita Mokhtar dan pengarah program, Azwan Affandi Md. Jahaya.

Omar berkata, Koperasi Siswa merupakan elemen penting dalam melahirkan mahasiswa yang mempunyai jati diri terpuji melalui kegiatan dijalankan berlandaskan nilai dan prinsip koperasi.

"Untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa tentang pentingnya penglibatan dalam koperasi, maka program seperti ini amat sesuai diadakan," katanya.

Menurutnya, beliau melihat usaha mengadakan program itu bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk memperkasakan gerakan koperasi di universiti dengan kesedaran mahasiswa pewaris kepimpinan masa depan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved