Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Perkukuh institusi keluarga

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Latipah Omar (dua dari kiri) bersalaman dengan sebahagian peserta Seminar Memperkasakan Institusi Keluarga di Melaka, semalam.

MELAKA 8 Okt. - Pengukuhan dalam institusi keluarga perlu diberi keutamaan dalam menyediakan sumber manusia sekali gus bagi membentuk tulang belakang kepada menyemai perpaduan, keselamatan dan pembangunan negara.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, institusi keluarga mampu mempengaruhi perubahan serta memberi kesan kepada persekitaran.

"Keluarga yang bahagia, sihat, kukuh, berdaya tahan dan berdaya maju akan menyumbang kepada pembangunan komuniti serta negara yang kukuh.

"Kajian mendapati, keluarga yang bahagia dan berdaya tahan tidak sahaja positif dalam menghadapi sebarang situasi dan tindakan tetapi juga berkeyakinan dan berkebolehan.

"Ini perlu diselaraskan dengan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak anak-anak terutamanya generasi muda," katanya.

Beliau berucap merasmikan Seminar Memperkasakan Institusi Keluarga Dalam Konteks Sentuhan Kasih dan Jati Diri Bagi Melahirkan Perpaduan Nasional di Banda Hilir, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Datuk Latipah Omar.

Yang turut hadir, Presiden Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (Mapim), Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin.

Dalam pada itu, Idris berkata, statistik gejala sosial dan jenayah melibatkan remaja amat membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Katanya, data yang diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2010 menunjukkan sebanyak 4,097 remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun terlibat kes lari dari rumah.

Bukan itu sahaja, tambah beliau, sumber PDRM mendapati, kes pembuangan bayi meningkat sebanyak 15 peratus iaitu daripada 79 kes (2009) kepada 91 kes (2010) manakala pada tahun 2011 sebanyak 98 kes dicatatkan di negara ini.

Perkhidmatan awam perlu perubahan

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

MELAKA 8 Okt. - Perkhidmatan awam di negeri ini memerlukan perubahan untuk terus kekal relevan dan selari dengan realiti dan kehendak semasa.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, perubahan yang dilakukan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh membawa kepada sektor itu dipinggirkan.

"Dalam hal ini, apa yang utama adalah kepantasan, perkhidmatan awam tidak boleh lagi hanya menunggu peluang datang menjengah.

"Perkhidmatan awam mesti sentiasa proaktif seperti kata peribahasa 'belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang'.

"Oleh itu perubahan yang cepat dan mengambil pendekatan berinovasi dan kreatif perlu bagi memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat," katanya.

Beliau berucap dan merasmikan Persidangan Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia Ke-16 di Banda Hilir, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkarnain Awang.

Dalam majlis yang disertai sebanyak 150 peserta itu, buku Produk 1Malaysia Transformasi SPA turut dilancarkan.

Seminar empat hari bermula semalam itu membentangkan sebanyak tujuh kertas kerja yang fokus kepada aspek transformasi dan integriti SPA.

Menurut Idris, seminar tersebut menjadi pemangkin kepada SPA dalam mencari kaedah serta mengenal pasti kehendak dan keperluan baharu pelanggan.

Katanya, sikap SPA yang mengamalkan keterbukaan dalam menerima sebarang bentuk rungutan dan rasa tidak senang hati masyarakat menjadi faktor persidangan itu diadakan.

"Mereka datang untuk berbincang bagaimana SPA boleh menyusun atur struktur, sistem, atur strategi serta mempunyai gaya tertentu atau menambah bentuk kemahiran bagi mengekalkan nilai-nilai yang telah dikongsi bersama dengan seluruh anggota perkhidmatan awam di negara ini," katanya.

Idris berkata, slogan yang diamalkan SPA iaitu Cepat, Tepat dan Berintegriti merangkumi kesemua ciri-ciri perkhidmatan dan produk yang disediakan oleh agensi-agensi awam di negara ini.

Katanya, SPA perlu sentiasa mengangkat kehendak dan keperluan masyarakat sebagai sesuatu yang perlu disediakan iaitu melangkaui kehendak dan keperluan mereka.

Jati diri teras perpaduan kaum

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

SEBAHAGIAN pelajar yang hadir pada Forum Jati Diri peringkat negeri di Pusat Latihan Teknologi Tinggi, Taboh Naning, Melaka, semalam.

ALOR GAJAH 8 Okt. - Jati diri yang menjadi teras kepada perpaduan kaum di negara ini harus diperkasa terutama dalam diri generasi muda supaya nikmat kemakmuran dan keamanan yang dikecapi seluruh rakyat hari ini dapat dikekalkan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad berkata, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum sudah pastinya kekuatan jati diri perlu wujud dalam diri setiap rakyat supaya keharmonian kaum dapat dipertahan.

Menurutnya, jati diri bukan sahaja berkisar mengenai semangat nasionalisme malah merangkumi aspek adat, budaya, agama dan bahasa.

"Generasi muda tidak merasai kesusahan orang terdahulu yang berjuang mendapatkan kemerdekaan, jadi mereka kurang menghargai nikmat yang dikecapi ini sehingga ada yang sanggup berkompromi dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan negara.

"Tanpa jati diri yang kukuh dalam diri, generasi muda ini mudah untuk dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu dengan mengapi-apikan isu tertentu sehingga tercetusnya perbalahan antara kaum dan sebagainya," katanya.

Beliau berucap merasmikan Forum Jati Diri peringkat negeri anjuran Jabatan Penerangan negeri di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Taboh Naning, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Zainudin Ismail dan Pengarah ADTEC, Zabidin Abd. Samat.

Othman berkata, jati diri juga memainkan peranan dalam mendidik setiap rakyat untuk saling menghormati perbezaan agama, adat, budaya dan bahasa sesebuah kaum tertentu supaya keharmonian dan perpaduan kaum dapat dipupuk.

Tambahnya, dengan keteguhan jati diri itu golongan muda khususnya dapat menapis dan menangkis segala fitnah dan tohmahan yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved