Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Tempat letak kereta dikurang

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (depan, dua dari kanan) mendengar penjelasan Ahmad Phesal Talib (depan, kanan) selepas merasmikan Majlis Pemasangan Komponen Sistem IBS Bagi Projek Pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Tempat letak kereta di ibu kota perlu dikurangkan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya juga sedang mengkaji secara keseluruhan untuk menyelesaikan masalah tempat letak kenderaan di ibu kota.

"Apabila tempat letak kenderaan diperbanyakkan, orang ramai banyak menggunakan kereta. Kita nak mereka menaiki sistem transit aliran ringan (LRT), My Rapid Transit (MRT) bas RapidKL dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pemasangan Komponen Sistem IBS Bagi Projek Pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat di Taman Botani Perdana hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Timbalan Ketua Pengarah Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Najib Mohamad.

IBS adalah sistem atau kaedah pembinaan yang komponennya dihasilkan dalam keadaan terkawal sama ada di kilang atau tapak pembinaan, diangkut, dan dipasang dalam kerja pembinaan dengan penggunaan pekerja yang minimum di tapak projek.Projek tempat letak kereta bertingkat itu menelan belanja sebanyak RM19 juta yang meliputi penyediaan 410 unit tempat letak kereta untuk orang awam, wanita dan orang kurang upaya (OKU) yang dijangka siap Januari tahun depan.

Menurut Tengku Adnan, beliau turut mencadangkan supaya diadakan sistem mekanikal tempat letak kereta bagi menyelesaikan masalah tempat letak kenderaan di kawasan-kawasan yang sempit.

"Saya sendiri telah diberi taklimat oleh syarikat daripada Korea Selatan yang mana tempat-tempat sempit ini juga boleh dijadikan sebagai tempat letak kenderaan dengan menggunakan sistem lif di situ supaya banyak kereta boleh naik. Ini yang sedang kita lihat untuk menyelesaikan masalah itu di ibu kota," jelasnya.

Beliau juga berharap agar sambutan daripada pengunjung-pengunjung termasuk pelancong luar ke Taman Botani Perdana akan terus meningkat selepas pembinaan tempat letak kereta bertingkat di situ siap.

"Kami juga merancang untuk menyediakan dua buah restoran di tempat letak kereta ini iaitu (restoran) makanan laut dan masakan Melayu tempatan supaya pengunjung dapat menikmatinya di sini, selain mengadakan satu sistem pembayaran tempat letak kereta yang berpatutan," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Phesal berkata, setakat ini sebanyak 170,000 orang telah mengunjungi Taman Botani Perdana sejak tahun lalu dan beliau berharap sambutannya akan terus meningkat.

"Kami telah melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan, naik taraf dari segi pencahayaan dan sebagainya. Saya berharap dengan pelaksanaan ini akan meningkatkan jumlah pengunjung yang datang," katanya.

Katanya, Taman Botani Perdana akan menjalani pembangunan fasa kedua melibatkan pembinaan rumah sampan, kanopi di Plaza Utama, kerja-kerja menaik taraf Taman Rusa dan Kancil Fasa Dua selain beberapa projek yang akan dijalankan dalam masa terdekat termasuk Taman Kanak-Kanak Lat dan sebagainya.

Lagi kolam bermasalah di Bangi

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Azemi Azizan menunjukkan kolam tadahan yang tidak dibersihkan daripada tumbuhan sehingga menyekat aliran air dan disyaki menjadi tempat pembiakan nyamuk.

KAJANG 8 Okt. - Sebuah kolam tadahan di kawasan Taman Impian Putra, Bangi dekat sini disyaki oleh penduduk sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes dan menjadi punca merebaknya demam denggi di taman perumahan itu.

Kolam itu, yang terletak berdekatan deretan rumah di Jalan Dua taman itu dicemari dengan sampah, lumut dan semak-samun.

Airnya yang berwarna hijau turut dikhuatiri menjadi habitat haiwan liar dan berbisa seperti ular sekali gus mengundang bahaya jika kanak-kanak dibiarkan bermain di situ.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah mendedahkan isu sama yang melanda penduduk di Taman Tasik Bangi 3, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi.

Masalah di kawasan itu dijangka selesai tidak lama lagi apabila Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan pihaknya akan membersihkan kolam itu dan telah meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk membersihkan sistem saliran ke kolam berkenaan.

Menurut penduduk Taman Impian Putra, kebimbangan mereka semakin memuncak apabila terdapat di kalangan mereka yang baru sahaja dijangkiti demam denggi.

Penduduk memaklumkan, setakat ini sebanyak 30 penduduk di situ pernah dijangkiti demam denggi termasuk golongan kanak-kanak berusia tiga tahun hingga dewasa berumur 50 tahun.

Difahamkan, kawasan yang didiami kira-kira 1,000 penduduk itu merupakan hot spot denggi sejak empat tahun lalu.

Menurut mereka, inisiatif sendiri seperti beberapa kali membersihkan kolam itu secara bergotong-royong terpaksa dilakukan untuk mengelakkan lebih ramai yang menjadi mangsa denggi sedangkan tanggungjawab itu sepatutnya dijalankan oleh agensi yang berkaitan kerana tugas hakiki mereka.

Mereka mengakui perkhidmatan semburan nyamuk ada dilaksanakan oleh agensi berkaitan namun penduduk dijangkiti demam denggi masih kerap berlaku dan jumlah kes semakin meningkat.

Penduduk turut mendakwa kolam tersebut tidak pernah disenggara oleh pihak berwajib sejak 2008.

Selain itu, sistem perparitan di kawasan tersebut turut dipenuhi sampah sekali gus menyebabkan banjir kilat akibat tidak dibersihkan dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan itu mendapati longkang di kawasan itu tersumbat, menyebabkan air tidak dapat mengalir ke kolam dan seterusnya ke Sungai Semenyih.

Pengurusan kewangan perlu dipupuk awal

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Pengurusan kewangan perlu dididik sejak peringkat sekolah rendah bagi memupuk tabiat berbelanja secara berhemah dan pelaburan bijak dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, hal ini penting berikutan semakin ramai belia mengalami masalah kewangan serius sehingga mencecah tahap muflis disebabkan pengurusan dana yang teruk.

''Masalah dialami golongan muda kini amat membimbangkan kerana kurang pengetahuan mengurus perbelanjaan yang berkesan dalam kehidupan seharian mereka.

''Oleh itu, percambahan pemikiran serta ilmu kewangan perlu diterap bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah supaya pengurusan perbelanjaan yang matang dapat diaplikasikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan siri animasi televisyen, Cashville Kidz musim kedua di sini hari ini.

Terdahulu, Kain Ching menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Celik Kewangan Nasional 2013 dianjurkan oleh Yayasan Maybank dan Moneytree (M) Sdn. Bhd. (Moneytree).

Yang turut hadir, Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor; Pengerusi Moneytree, Datuk Nik Kamaruddin Ismail dan wakil Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Zainuddin Abas.

Cashville Kidz musim kedua yang merangkumi 24 episod akan disiarkan pada Februari 2014 di saluran Astro TVIQ.

Siri animasi itu menumpukan pelbagai pendidikan kewangan termasuklah faedah menyimpan wang dan memupuk tabiat berbelanja secara berhemah dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Megat Zaharuddin berkata, program televisyen tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan agensi terlibat menyokong pembangunan pendidikan yang menyeluruh untuk golongan muda.

''Sehubungan dengan kejayaan program animasi itu yang berjaya menarik 1.5 juta penonton, kami turut menganjurkan Cabaran Celik Kewangan Nasional 2013 dalam usaha menggalakkan pengurusan kewangan bermula di peringkat sekolah rendah.

''Kami percaya murid-murid yang terlibat dalam cabaran ini akan mempelajari cara melabur wang mereka dengan lebih baik pada masa hadapan di samping memupuk kestabilan ekonomi secara menyeluruh,'' katanya.

Sejumlah 180 buah sekolah rendah menyertai cabaran itu yang bermula awal tahun ini manakala sebanyak 12 sekolah telah berjaya memasuki pusingan akhir yang berlangsung hari ini.

Bagi kategori Maybank dimenangi Sekolah Kebangsaan (P) Treacher Methodist, Perak manakala untuk kategori Yayasan Maybank dan kategori Serantau Moneytree, masing-masing dimenangi oleh (SK) Kundasang, Sabah dan Sekolah Antarabangsa Nobel, Kuala Lumpur.

Pemenang tiap-tiap kategori menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil penyertaan dan trofi.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved