Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Yuran proses hartanah dinaikkan

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 8 Okt. - Kerajaan negeri memperkenal yuran pemprosesan baharu kepada warga asing yang ingin memiliki hartanah di Johor berkuat kuasa tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi (gambar) berkata, yuran tersebut akan ditentukan berdasarkan nilai hartanah yang ingin dibeli berbanding yuran tetap RM10,000 yang dikenakan pada masa ini.

"Syarat baharu ini bertujuan memelihara kepentingan rakyat negeri ini. Yuran baharu yang bakal dikenakan mungkin antara empat hingga lima peratus berdasarkan nilai hartanah tersebut.

"Syarat ini secara tidak langsung membolehkan kerajaan negeri mengawal penjualan hartanah kepada orang luar sekali gus mampu menambahkan hasil pendapatan negeri," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Industri Hijau 2013 di sini semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Onn Jabbar; Ketua WHIP MPPG, Abd. Rahman Mohamed dan Pengerusi Pertubuhan Arkitek Malaysia Cawangan Selatan, Muhamad Zawawi Zainuddin.

Abdul Latiff berkata, syarat baharu itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat hasil sewajarnya dan hasil terbabit akan digunakan bagi pembangunan rakyat.

"Syarat baharu ini belum lagi dibentangkan dan mungkin akan dikemukakan dalam Bajet 2014 yang dijadualkan tidak lama lagi sebelum dilaksanakan awal tahun depan.

"Kerajaan negeri turut akan mengkaji semula kadar bayaran untuk mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tapak papan iklan yang terdapat di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, terdapat lebih 1,000 papan iklan di dalam 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemiliknya hanya perlu membayar RM100 sebagai bayaran sewa tapak terbabit bagi tempoh setahun.

"Kita akan kaji semula kadar tersebut yang dilihat amat rendah jika dibandingkan dengan pulangan yang diterima syarikat pengiklanan. Kita akan menaikkannya pada kadar yang berpatutan," katanya.

Wabak denggi di Johor meningkat 300 peratus

Posted: 08 Oct 2013 11:30 AM PDT

SEKUMPULAN kakitangan Jabatan Kesihatan Johor memeriksa kebersihan di satu kawasan perumahan dalam Ops Gempur Aedes di Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 8 Okt. - Jangkitan demam denggi di daerah ini meningkat 93 peratus sejak awal tahun ini sehingga menyebabkan satu kematian gara-gara kesedaran penduduk mengenai wabak tersebut yang semakin berkurangan.

Peningkatan itu juga meletakkan Daerah Batu Pahat sebagai daerah keempat yang mencatatkan kes jangkitan demam denggi tertinggi di negeri ini selepas Johor Bahru, Kulaijaya dan Kluang.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan, Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Roslinda Abdul Rahman berkata, peningkatan itu juga menjadikan kes jangkitan demam denggi di negeri ini naik sehingga 300 peratus berbanding tahun lalu.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya melancarkan operasi khas yang dinamakan Ops Gempur Aedes bagi meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai serta mengesan lokasi Aedes membiak.

Katanya, operasi itu dimulakan sejak Julai lalu di daerah Johor Bahru dan diteruskan di Kulaijaya pada Ogos dan Kluang pada September sebelum di daerah ini.

"Pemilihan empat daerah ini sebagai permulaan operasi kerana empat daerah terbabit merupakan daerah yang tertinggi mencatatkan kes demam denggi sehingga melibatkan sebanyak 11 kematian berbanding satu kematian pada tahun lalu.

"Tumpuan juga lebih diberikan di kawasan bandar seperti taman perumahan, kawasan perindustrian dan kawasan semak seperti premis kosong yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan Aedes," katanya selepas Ops Gempur Aedes di sini pagi ini.

Roslinda memberitahu, operasi yang bermula pukul 9 hingga 7 malam itu disertai sebanyak 194 kakitangan Jabatan Kesihatan dari 10 daerah di negeri ini dan turut dibantu Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP)

Katanya, antara lokasi yang diberi tumpuan semasa operasi itu ialah sekitar Kampung Kaki Bukit, Taman Perdana, Taman Industri Wawasan dan Taman Soga kerana terdapatnya penduduk dikawasan tersebut menghidap demam denggi.

"Tujuan utama operasi ini bagi memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran termasuk kawasan kediaman mereka daripada menjadi kawasan pembiakan nyamuk Aedes," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved