Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Saya tidak merajuk

Posted: 08 Oct 2013 11:11 PM PDT

Oleh AZEEM PISHAL
Gambar NOORADZRENE MOHD NOOR

Shahir muncul kembali dengan hala tuju yang positif dan lebih matang.

AKU yang berdosa... Itu merupakan tajuk lagu nyanyian Ahmad Shahir Zawawi, 25, atau Shahir yang sering berkumandang di corong-corong radio saban hari. Mungkin tajuk lagu itu juga tepat untuk mengungkapkan apa yang tersirat dalam hatinya sekarang.

Dengan raut wajah yang tenang dan murah dengan senyuman, Shahir menafikan segala tohmahan dan kontroversi yang dilemparkan sepanjang ketiadaannya di pentas akhir-akhir ini.

Menyelusuri ruang hatinya, Shahir memberitahu 'kehilangan' dirinya tiada kena mengena dengan isu merajuk ataupun membawa diri jauh daripada kerakusan industri seni yang bertanggungjawab melonjakkan namanya selama ini.

"Sudah hampir setahun saya tidak terlibat dengan kerja-kerja seni terutamanya dalam bidang nyanyian. Sejak kebelakangan ini, tanggungjawab terhadap keluarga menjadi keutamaan saya.

"Mereka memerlukan kehadiran saya di sisi. Selama tempoh itu, fokus saya sentiasa bersama mereka dan kami menjalankan perniagaan berasaskan pelaburan bersama-sama," katanya.

Shahir ditemui di Pertandingan Ceria Futsal Mangga/Masgenuine 2013, Sports Planet Ampang, baru-baru ini.

Dalam majlis anjuran majalah Mangga itu, Shahir bersama beberapa artis seperti Fahrin Ahmad, Aweera, Aidid Marcello mewakili kumpulan Malaysian Artistes Sports Club (MASC) pada pertandingan futsal membabitkan hampir 100 kumpulan remaja itu.

Menurut Shahir, kemunculannya kini adalah untuk mempromosikan lagu Aku yang Berdosa yang dikira sudah agak lama bersiaran tetapi tidak berkesempatan menampilkan dirinya sebagai penyanyi lagu itu.

Dengan semangat yang baharu, Shahir mahu menjadikan kemunculan kali ini lebih menampakkan hala tujunya yang sebenar dalam menempuh karier seni.

"Kebetulan ketika single Aku yang Berdosa dikeluarkan, saya tidak berpeluang mempromosikannya secara rasmi kepada pihak media sebelum membuat keputusan berehat setahun lalu.

"Kini, selain Aku yang Berdosa, terdapat sebuah lagi single yang akan saya promosikan secara rasmi nanti iaitu Dia yang Kau Pilih. Saya berharap dengan usaha yang dilakukan selepas ini, masyarakat akan menilai saya dari sudut kematangan kerja dan terima kasih juga diucapkan kepada peminat yang mendoakan saya agar kembali menyanyi.

"Sekarang adalah masa yang tepat untuk saya membalas semula kepercayaan yang diberikan dan berharap dapat melaksanakan tanggungjawab yang dipikul sebaik mungkin," katanya.

Jambu bakal difilemkan

Posted: 08 Oct 2013 11:11 PM PDT

OLEH MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
GAMBAR RIDUAN RIZAL AHMAD

Yus (kanan) selesa 'berlawak' bergandingan dengan Tauke.

Kehadiran mereka sebagai pelawak individu dalam program lawak realiti pada mulanya tidak berapa disedari.

Boleh dikatakan status mereka sebagai pelawak ketika itu tidak dirasai oleh kebanyakan peminat lawak jenaka negara.

Namun, diberi peluang kedua dalam satu lagi pertandingan realiti lawak, mereka mengambil keputusan untuk bersatu.

Resipi itu nampaknya menjadi. Akhirnya, kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Yus dan Tauke mula menjadi perhatian.

Bagi Yus, setelah bersama sebagai pasukan Jambu, agak sukar baginya bergerak tanpa kelibat Tauke di sisi.

"Saya sebenarnya lebih selesa kalau Tauke ada bersama dalam setiap persembahan saya sebab itu kekuatan dalam kumpulan Jambu.

"Malah, selepas pertandingan realiti itu, Jambu banyak mendapat tawaran persembahan. Sebab itu, jika ada jemputan untuk membuat persembahan, saya kalau boleh mahu Tauke dijemput sekali ke atas pentas," katanya.

Malah, tambah Tauke, kumpulan Jambu juga buat pertama kalinya akan digandingkan bersama dalam filem.

"Semuanya masih lagi dalam perancangan. Filem ini adalah di bawah terbitan produksi KRU.

"Pengambaran semua masih belum dilakukan lagi, tetapi mungkin akan bermula sekitar bulan Mei tahun hadapan," jelasnya.

Tambah Yus, buat masa ini, mereka masih sibuk bagi menghadapi pertandingan Maharaja Lawak Mega yang akan bersiaran hujung tahun ini.

"Segala persiapan sedang giat dilakukan. Selepas semuanya selesai, baru kami akan memulakan pengambaran. Rasanya sangat gembira kerana ini kali pertama Jambu dipasangkan sebagai teraju utama dalam sebuah filem," jelasnya.

Bakal isteri

Bertemu dengan Yus, berderai hilai tawa melayan kerenahnya yang kelakar. Tetapi, dalam hilai tawa itu, Yus sempat memberitahu yang dia bakal mengakhiri zaman bujangnya hujung tahun hadapan.

Jelas Yus, perancangannya untuk bernikah sepatutnya berjalan tahun ini. Tetapi disebabkan gadis pilihannya itu masih lagi menuntut di peringkat sarjana, maka dia menangguhkan sementara niatnya itu.

"Saya kenal wanita ini di Facebook. Sebenarnya sudah tahun kami berkenalan sebelum mengambil keputusan untuk bernikah.

"Kami berdua sudah berjumpa dengan keluarga masing-masing dan Alhamdulillah, kedua-dua pihak gembira dengan hajat kami untuk bergelar suami isteri," jelasnya.

Jelas Yus, wanita yang masih dirahsiakan itu berumur 33 tahun, berasal dari Taiping dan bekerja sebagai model sambilan di ibu kota.

Ditanya apa yang membuatkan dia tertarik dengan wanita itu, jelas Yus, di usianya kini, sudah tiba masanya untuk dia memikirkan soal berkeluarga dan menjadi suami.

Tetapi, adakah status pekerjaan wanita itu yang bertugas sebagai model sambilan itu yang buat Yus tertarik untuk menjalin hubungan dengan wanita itu, Yus pantas menafikan.

"Memang, jika boleh kita mahukan pasangan yang sedap mata memandang tetapi ia adalah perkara yang subjektif untuk dinilai.

"Bagi saya, apa yang penting, ketika umur sudah mencecah 30-an, keserasian kedua-dua pihak yang lebih utama.

"Saya mencari pasangan untuk hidup bersama selamanya. Sebab itu, saya mementingkan keserasian hidup bersama dan yang penting wanita itu memahami kerja saya," jelasnya.

Tidak tertekan digelar playboy

Ramai yang berbisik mengenai perihal Tauke kerana kebanyakan majlis yang dihadirinya, pasti dia akan membawa seorang wanita di sisinya.

Malah, dalam laman sosial Instagramnya juga, dia banyak berkongsi gambar bersama dengan gadis-gadis yang berasingan.

Itu menguatkan lagi dakwaan yang mengatakan bahawa Tauke adalah seorang playboy dan gemar bertukar pasangan.

Bagi Tauke, dia tidak kisah dengan panggilan yang diberi kerana dia tahu apa yang sedang dia lakukan.

"Saya seorang yang jujur. Sebab itu saya tidak pernah berahsia andai saya sedang menjalinkan hubungan dengan sesiapa.

"Tetapi, jodoh terletak di tangan tuhan. Saya sendiri tidak tahu sama ada hubungan saya dengan wanita berlanjutan ke jinjang pelamin atau tidak," jelasnya.

Tambahnya, dia juga tidak hairan andainya ada mulut-mulut dengki yang suka mengata tentang dirinya.

"Biasalah, bila seseorang itu bila sudah stabil, pasti ada sahaja yang tidak berpuas hati bila kita melakukan sesuatu," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved