Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tahanan dadah mengaku salah loloskan diri

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

B. Kishminderjit Singh (tengah) mengaku bersalah atas tuduhan melepaskan diri daripada kawalan dua anggota polis di kawasan rehat di Plaza Tol Setul di Lebuh Raya Kajang-Seremban berhampiran Nilai pada 1 September lalu selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

RASAH 9 Okt. - Seorang tahanan kes dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban di sini hari ini atas tuduhan melepaskan diri daripada kawalan dua anggota polis di kawasan rehat di Plaza Tol Setul di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) berhampiran Nilai, dekat sini awal bulan lalu.

B. Kishminderjit Singh, 39, mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Hakim Siti Khairiah Abdul Razak.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, Kishminderjit yang ketika itu ditahan kerana kes dadah didakwa dengan sengaja melepaskan diri daripada kawalan dua anggota polis di Plaza Tol Setul, Lekas berhampiran Nilai dekat sini antara pukul 7.50 pagi dan 10.55 pagi, 1 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A. Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kishminderjit yang dalam perjalanan untuk dibawa ke Penjara Simpang Renggam, Johor berjaya meloloskan diri ketika dua anggota yang mengawalnya berhenti di hentian rehat berkenaan selepas lelaki itu mengadu sakit perut.

Dalam kejadian tersebut, tertuduh yang bergari di belakang menolak anggota polis yang membuka pintu van lalu masuk ke dalam sebuah kereta Proton Satria lalu beredar.

Bagaimanapun, suspek yang berjaya ditangkap semula dua hari kemudian di sebuah rumah di Semenyih, Selangor.

Saddam Hussin tak mengaku cabul wanita

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

MELAKA 9 Okt. - Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita berusia 17 tahun, bulan lalu.

Saddam Hussin, 21, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di stor sebuah kedai baju di Kompleks Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini pada 12 September lalu dan hujung bulan lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, M. Rebecca mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.

Terdahulu, Rebecca memohon agar tertuduh tidak dibebaskan dengan ikat jamin kerana merupakan warga asing tetapi sekiranya mahkamah cenderung membenarkannya, beliau mencadangkan jaminan sehingga RM6,000 dan syarat tambahan perlu diberikan.

Peguam Abd. Rahim Osman yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Mohd. Firdaus kemudian membenarkan Saddam diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Beliau menetapkan sebutan kes pada 8 November ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved