Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Bertanding kerana rasa tanggungjawab

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

BEKAS Timbalan Menteri Sumber Manusia ini telah membuat kejutan apabila di saat akhir mengambil keputusan untuk menyertai seorang lagi calon, Raihan Suleiman Palestin menentang penyandang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Dalam satu wawancara dalam program interaktif, Sembang Online baru-baru ini, DATUK MAZNAH MAZLAN (gambar) menjawab semua kemusykilan orang ramai tentang keputusannya itu termasuk tanggapan beliau adalah calon underdog dalam pemilihan sayap parti itu pada 12 Oktober depan.

Antaranya beliau menegaskan dirinya sudah benar-benar bersedia kerana sudah banyak pengalaman yang diperoleh ketika aktif di peringkat Wanita Pusat dan negeri serta kerajaan.

UTUSAN: Apakah sebab Datuk memutuskan untuk bertanding juga tahun ini?

MAZNAH: Saya membuat keputusan bertanding kerana timbul kesedaran dan atas rasa tanggungjawab. Saya sebenarnya sudah ada pengalaman mencukupi di peringkat akar umbi kerana pernah menjadi ahli biasa, Ketua Wanita Bahagian dan Ketua Perhubungan Wanita Pahang. Saya juga sudah menjadi Exco Wanita lebih lima penggal dan juga menerajui Wanita Pahang khususnya dalam pilihan raya kecil dekat 20 kali dan sekarang adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Rompin. Saya turut mempunyai pengalaman berhubung isu-isu berkaitan masyarakat Orang Asli, penduduk di kampung tradisional, bandar dan ladang. Semua pengalaman ini membuatkan saya merasakan mampu untuk menawarkan diri bagi melaksana tugas mencabar sebagai Ketua Pergerakan demi wanita khususnya dalam UMNO.

Apa yang kurang dengan Wanita sehingga mendorong Datuk bertanding dan apa pembaharuan akan dibawa jika menang?

Bukan apa kurang tapi bagaimana nak tingkatkan lagi wanita UMNO. Banyak pembaharuan, antaranya lihat profil keahlian. Kita dapati ramai Wanita UMNO sampai usia 60-70 tahun ada kelebihannya, pengalaman dan sumbangan. Bagaimana beri pengiktirafan, jadikan tokoh-tokoh untuk mantapkan lagi parti.

Golongan muda, sebahagian besarnya profesional dan lain-lain yang punya jangkaan tinggi menyumbang dalam UMNO, bagaimana kedua-dua kumpulan ini bina sinergi produktiviti tanpa bersaing atau rasa waspada antara satu sama lain.

Selain itu, biasa lepas pertandingan akan ada keadaan-keadaan yang mana mungkin berlaku berpuak, biasalah itu. Tanggungjawab pertama adalah menyatukan semula, kerana bersatu itu asas kekuatan dan apa saja kita nak buat kelak. Kita jentera pilihan raya utama, tanggungjawab sosial begitu tinggi, prasyarat ini menyatupadukan wanita bawah satu tanggungjawab yang perlu kita dukung. Lihat ruang serta peluang mengarus perdana wanita UMNO supaya turut sama dengan wanita-wanita lain dalam negara ini bagi mendapat manfaat, ruang dan peluang dalam program transformasi negara.

Kenapa Datuk membuat keputusan untuk bertanding pada saat-saat akhir sehingga menimbulkan persoalan proksi?

MACAM saya jawab tadi, saya rasa bertanggungjawab untuk turut sama dalam barisan calon agar ahli Wanita ada pilihan. Ada pihak yang menuduh saya proksi bekas Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz. Ini berpunca mungkin kerana saya memang rapat dengan beliau. Dahulu saya menjadi Exco semasa beliau menjadi Ketua dan saya juga menjadi Exco ketika Wanita di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan sekarang di bawah Datuk Seri Shahrizat. Rafidah adalah antara orang yang saya sanjung kerana beliau kuat bekerja. Saya juga pernah mengikut beliau dalam misi-misi perdagangan ke luar negara. Malaysia mempunyai kelebihan bila Rafidah aktif dalam komuniti antarabangsa. Pemimpin luar sangat kagum dan menghormati beliau kerana semua fakta di hujung jarinya dan tiada siapa yang boleh merendah dan memperkotak-katik beliau. Sanjungan saya kepada beliau bukan bererti saya menjadi proksi beliau. Tidak. Saya bukan proksi sesiapa. Ini keputusan secara spontan dan saya tidak sempat merujuk kepada sesiapa. Saya kena minta maaf kepada ramai orang sebab tidak merujuk kepada mereka terlebih dahulu.

Bagaimana dengan dakwaan Datuk sering ponteng mesyuarat Exco Wanita?

Sebenarnya, bila dilantik sebagai Senator, saya juga masih ADUN di Pahang, maka tanggungjawab di tiga dewan; DUN, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Bila dewan bersidang bergilir-gilir, saya perlu ada di sana. Kalau mesyuarat Exco masa sama, tak dapat hadir. Selama 5 tahun sebagai timbalan menteri di dua kementerian, bukan sahaja bantu menteri dalam dewan tapi tanggungjawab lebih besar rapatkan diri dengan kumpulan sasar yang berkepentingan. Saya mendahulukan tugas, bukan sengaja tidak hadir mesyuarat exco. Mesyuarat perlu jadualkan awal, kalau boleh sebulan sebelum tarikh mesyuarat sudah beritahu, jika ubah saat akhir tentu porak peranda jadual kita.

Bagaimana dengan peranan Wanita kini dalam proses meremajakan UMNO?

Proses ini berjalan secara biasa dan normal, yang lama pergi diganti baharu. Wanita dengan adanya Puteri yang masuk, bilangannya lebih teratur, ramai dan sistematik. Mereka ada pengalaman dalam sayap Puteri, kemasukan dalam Wanita akan bawa banyak pembaharuan dan bakal-bakal pemimpin seterusnya, kita takkan ketandusan kepimpinan.

Lebih penting adalah sumbangan, perlu sentiasa ada inovasi dan naik taraf apa sedia ada dalam aspek pentadbiran, pengurusan, kerja amal, gerak kerja lumrah pilihan raya serta pembaharuan-pembaharuan lain. Bercakap tentang peremajaan, memang wanita sudah amalkannya dan sekarang ini untuk kita mantapkan lagi pengisiannya ke tahap lebih cemerlang.

Ramai cendekiawan dikatakan menolak UMNO kerana UMNO tolak mereka, benarkah begitu?

Tidak, saya rasa UMNO keseluruhannya termasuk Wanita mengalu-alukan cendekiawan dan semua profesional mahupun mereka yang tiada pendidikan tinggi sekalipun kerana UMNO menggambarkan keseluruhan masyarakat yang ada di negara ini.

Persepsi UMNO menolak cendekiawan ini saya rasa boleh dibetulkan jika kita bekerjasama, kita tunjuk macam mana nak jadi ahli, dapatkan borang dan tanggungjawab sebagai ahli kepada parti. dan Kadang kala persepsi dengar-dengar hujung telinga sahaja, tak dapat penjelasan yang betul.

Tak apa, dalam transformasi UMNO, kalau sukar jadi ahli di mana-mana tempat ada cara-cara boleh rujuk di ibu pejabat kerana perkara ini dapat diselesaikan. Kalau berminat bersama-sama kita, boleh beritahu saya, saya akan tunjukkan mana cawangan terdekat, ibu pejabat mudah berhubung dan lain-lain.

Kata-Kata akhir Datuk kepada ahli-ahli UMNO yang akan membuat pilihan tahun ini?

TERIMA kasih kepada semua pihak yang berminat dan memandang berat pertandingan serta penawaran diri saya ini sebagai ketua Wanita. Saya rakamkan penghargaan atas peluang-peluang dan juga sokongan-sokongan secara lisan dan lain-lain kepada saya, sudah tentu akan memberi saya kekuatan dan semangat untuk hadapi cabaran ini.

Pertandingan ini dalam keluarga, perlu pada setiap masa kekalkan amalan-amalan baik dan tidak timbul keadaan yang boleh mengguris atau timbulkan ketegangan, itu amat penting. Wajar lihat kemunculan saya dalam gelanggang pertandingan ini sebagai sesuatu yang positif, beri peluang wanita buat pilihan. Sekiranya ditakdirkan saya berjaya, pengalaman-pengalaman saya di akar umbi dan pembuat dasar, Insya-Allah dapat memanfaatkan pergerakan ini, pacu ke tahap kecemerlangan lebih tinggi serentak dengan agenda transformasi negara, terus mantap dan bersedia harungi cabaran-cabaran masa depan.

PRU-14 nanti akan bertambah hebat cabarannya, wanita UMNO perlu letakkan diri, kukuhkan diri, perlu tunjuk imej boleh diterima masyarakat. Jadi satu organisasi dihormati bukan sahaja oleh kawan malah oleh lawan. Wanita pada saya adalah asas kepada sebarang transformasi dan perubahan dalam masyarakat, perlu amalkan nilai-nilai murni, letakkan wanita sebagai pemegang amanah dalam laksanakan satu-satu tugas.

Insya-Allah jika kita dipandang dan dihormati pada semua masa, kita akan jadi jentera pilihan raya lebih berkesan dan menarik lebih ramai orang bersama kita, menyokong kerajaan sedia ada. Ini cabaran-cabaran yang mesti kita fikiran, Insya-Allah kita boleh menyatupadukan wanita menjadi jentera transformasi untuk parti, transformasi negara, jadi kumpulan yang disegani, digeruni dan dihormati.

Menjadi jambatan antara anak muda dengan kerajaan

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh Azman Anuar
rencana@utusan.com.my

Zaman Pemuda UMNO dahulu dengan Pemuda UMNO sekarang kata Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar amat berbeza.

"Dalam era keterbukaan ini, Pemuda tidak boleh lagi jadi golongan pendesak. Pemuda tidak perlu turun ke jalan raya untuk mendesak sesuatu. Kerana tindakan itu sinonim dengan pihak pembangkang.

"Saya lebih suka pendekatan Pemuda yang datang jumpa pemimpin dan mengadakan perundingan. Contohnya saf Pemuda zaman 2008 hingga kini, mengamalkan BN Youth Lab di mana kita mengadakan makmal Pemuda BN. Kita cuba mengatasi kelemahan dan memenuhi keperluan anak-anak muda. Akhirnya kita zahirkan kepada pihak kerajaan.

"Misalnya masalah pekerjaan, perumahan, kos sara hidup, pendidikan dan sebagainya. Akhirnya timbul BN Job Fair, BN Youth Education Scholarship (YES), timbul rumah PR1Ma, kerajaan tubuh Rumah Pertamaku, semua ini adalah desakan daripada Pemuda," kata Jamawi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenom, melihat kesungguhan Pemuda menyelesaikan isu adalah lebih sesuai secara musyawarah berbanding dengan menyuarakannya di jalan raya.

Exco Pemuda UMNO Malaysia itu menegaskan dalam zaman keterbukaan ini ada isu yang boleh dan tidak boleh disuarakan secara terbuka. Oleh itu dalam Pemuda harus ada pemimpin yang memahami bahawa ada isu-isu yang boleh diketengahkan secara meluas dan ada isu yang boleh kita bawa perundingan dengan pihak kerajaan.

"Kita cuba elak hilang sokongan walaupun ada mendesak Pemuda seharusnya lebih lantang, tetapi kelantangan itu bolehkah menarik sokongan atau menghilangkan sokongan?" soal Jamawi.

Dalam keterbukaan berpolitik sekarang beliau yang bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia tetap yakin matlamat 'alif ba ta' - agama bangsa dan tanah air itu menjadi keutamaan perjuangan. Cuma beliau bimbang kekangan yang dihadapi adalah keterbukaan ini menyebabkan UMNO hilang sokongan.

Oleh itu Jamawi berpendapat perjuangan Pemuda kena ikut kesesuaian. Pemuda harus bergerak untuk menarik sokongan semua kaum. Dalam konteks pemilihan dalam Pemuda UMNO, ia hendaklah mengutamakan pencarian pemimpin bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Menghadapi PRU-14 berbeza cara menghadapi PRU-13 dan PRU-12. Jadi kata Jamawi, kita tidak boleh memikirkan hanya pengundi Melayu, Cina dan India sahaja kerana kita kena fikir juga pengundi bumiputera Islam dan bumiputera bukan Islam, pengundi anak muda Melayu bandar, dan anak muda Melayu luar bandar, isu-isu kebudayaan, kaum dan sebagainya.

"Perkara sensitif inilah yang akan dilambungkan oleh pihak pembangkang. Kita, Pemuda jangan terperangkap untuk smash. Contohnya dalam isu kalimah Allah yang melambungnya ialah Lim Guan Eng. Kemudian kita smash habis-habisan. Akhirnya statistik menunjukkan di Sabah kita hilang 12 kerusi.

"Dalam PRU-12 kita hilang satu kerusi DUN di Tawau dan PRU-13 kita hilang 12 kerusi dan enam kerusi itu adalah kerusi bumiputera bukan Islam. Dan satu kerusi Parlimen yang kita kalah ialah kerusi Presiden UPKO Tan Sri Bernard Dompok yang majoriti pengundi Penampang itu ialah bumiputera bukan Islam.

"Malahan Datuk Maximus Ongkili hanya menang kelebihan 600 undi sahaja. Ini yang saya katakan Pemuda harus menjuarai isu. Apa isu yang harus diperjuangkan dan apa isu yang harus dibincangkan. Apa yang harus dibincangkan boleh kita bawa kepada menteri dan apa isu yang harus diperjuangkan, kita bawa ke peringkat akar umbi," jelas Jamawi.

Dalam memperkukuhkan kepimpinan Pemuda UMNO, Jamawi memberitahu beliau lebih suka menjadi orang nombor dua yang setia dalam melaksanakan program dan aktiviti Pemuda.

"Berdasarkan PRU-12 dan PRU-13, tugas untuk menarik sokongan orang muda amat penting. Statistik dalam PRU-13, sokongan pengundi muda Sabah dan Sarawak 82 peratus (%) kepada BN, pengundi muda Melayu luar bandar di Semenanjung 52% mengundi BN manakala pengundi muda Melayu bandar hanya 28 % undi BN.

"Berdasarkan kepada statistik begini, kita cuma menang 133 kerusi Parlimen. Jadi kalau kita mahu menang lebih 133 kerusi, seharusnya perkara pertama iaitu 82% pengundi di Sabah dan Sarawak mesti kita kekalkan. Kedua, sebanyak 52 % pengundi muda luar bandar mesti kita pertingkatkan. Ketiga, pengundi muda bandar kita rungkai dan cari mekanisme bagaimana untuk membela dan bawa mereka mengundi BN.

"Jadi ketiga-tiga perkara ini harus kita buat. Perkara pertama yang ingin saya buat ialah Pemuda dilihat sebagai jambatan kepada kerajaan. Kita mahu parti menguasai kerajaan di peringkat bawahan dapat dizahirkan.

"Contohnya kerajaan peruntukkan RM700 juta untuk Tekun, RM300 juta AIM memperkasakan ekonomi bumiputera, RM1 bilion disediakan untuk Mara menyediakan aktiviti latihan dan kemahiran. Alangkah baiknya kita minta ketua-ketua Pemuda cawangan mengemukakan cadangan ini."

Menurut Jamawi, ada lima skim latihan yang boleh diikuti, skim gunting rambut, latihan membaiki motosikal, latihan kemahiran pendawaian elektrik, latihan membaiki kenderaan dan latihan membaiki pendingin hawa.

Kalau kelima-lima skim latihan dapat diperkasakan di peringkat akar umbi Pemuda, maka sekurang-kurangnya satu kampung mempunyai lima atau enam orang mendapat latihan kemahiran.

Selepas enam bulan atau setahun, mohon modal daripada Mara maka mereka boleh menjadi usahawan kecil di peringkat kampung maka barulah anak-anak muda melihat bahawa transformasi atau pengukuhan ekonomi bumiputera peringkat bawahan dibawa oleh Pemuda.

Inilah mekanisme bagaimana Pemuda UMNO Malaysia dapat menjadi jambatan kepada anak muda dan kerajaan. Dalam tempoh lima tahun ini, jika kita dapat perkasakan maka sokongan rakyat pada PRU-14 akan bertambah kuat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved