Rabu, 9 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


RISDA peruntuk RM2.475 juta

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

RAUB 9 Okt. - RISDA daerah Raub memperuntukkan sebanyak RM2.475 juta bagi bantuan sara hidup one off kepada 4,950 pekebun kecil yang layak di daerah ini bagi mengatasi bebanan hidup berikutan kemerosotan harga getah ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin (gambar) berkata, bantuan itu diberikan kepada pekebun kecil yang mempunyai keluasan kebun tidak melebihi 2.5 hektar.

Katanya, kerajaan akan terus membantu pekebun kecil Risda berikutan permintaan terhadap komoditi getah menurun ekoran kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

"Kerajaan akan terus memantau para pekebun kecil seluruh negara bagi memastikan mereka terus menikmati kehidupan yang lebih selesa semasa harga dan permintaan terhadap getah menurun.

"Bantuan yang diberikan itu tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan kehidupan mereka, walaupun mereka sebenarnya tidak terjebak dalam kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sara hidup one off kepada pekebun kecil RISDA daerah Raub di pekarangan pejabat Risda di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Shahiruddin memberitahu, kerajaan negeri akan menganjurkan satu seminar khas bagi membincangkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera negeri Pahang pada November depan.

Tambahnya, seminar tersebut bertujuan melihat kelemahan dan kemajuan bumiputera dan orang Melayu di negeri ini yang terdiri daripada peniaga kecil, kontraktor dan usahawan serta mereka yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana.

Shahiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong berkata, melalui seminar tersebut, kerajaan negeri akan menyusun langkah lebih terancang untuk merapatkan jurang perbezaan dari segi pemilikan hartanah di negeri ini.

Graduan IPG perlu realisasi pelan pembangunan pendidikan

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan anugerah cemerlang kepada Maznah Abdullah dari Kursus Diploma Perguruan Malaysia-Kemas pada majlis Konvokesyen Kali Ke-25 di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Tahun 2013, Kuala Lipis, semalam.

KUALA LIPIS 9 Okt. - Para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu memainkan peranan utama bagi merealisasikan pelan pembangunan pendidikan dan melahirkan generasi pelajar yang berilmu serta bersahsiah tinggi.

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, mereka bukan sahaja perlu melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai kemahiran dan berakhlak mulia.

Titah baginda, cabaran dunia pendidikan kini semakin hebat yang menuntut kepada kecekalan dan kesabaran bagi merealisasikan matlamat kerajaan untuk membangun dan memartabatkan negara.

"Oleh itu, seluruh warga pendidik harus bersedia untuk menghadapi fenomena ini bagi melahirkan pelajar yang cemerlang, berkemahiran dan berakhlak mulia.

"Saya berharap para guru terutamanya yang masih muda usianya melengkapkan diri dengan segala keperluan bagi memenuhi tuntutan semasa tersebut," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah demikian dalam majlis Konvokesyen Ke-25 Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Tahun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir Sultanah Kalsom dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada majlis itu, baginda menyampaikan diploma kepada 170 graduan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) Pendidikan Prasekolah (Kemas), Jawi-al-Quran dan Fardu Ain (J-Qaf), dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia - Kursus Dalam Cuti (KDC).

Titah baginda, graduan dan bakal guru juga berperanan untuk menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Titah Sultan Ahmad Shah, warga pendidik perlu melaksanakan tugas mereka bagi merealisasikan tiga objektif utama PPPM.

"Objektif tersebut adalah untuk memahami prestasi dan cabaran semasa, mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas terhadap program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan.

"PPPM akan menjadi anjakan besar untuk membawa standard pendidikan bertaraf antarabangsa bagi memenuhi aspirasi negara serta rakyat," titah baginda.

Titah Sultan Ahmad Shah, PPPM juga menjadi harapan generasi muda membuat persiapan bagi menghadapi keperluan abad ke-21.

Tanaman terjejas sungai tercemar

Posted: 09 Oct 2013 11:32 AM PDT

KUALA LIPIS 9 Okt. - Kira-kira 600 penduduk Kampung Melaka dekat sini bimbang air Sungai Punggor yang menjadi sumber pengairan tanaman diusahakan mereka kini tercemar.

Malahan penduduk juga bimbang untuk menggunakan air sungai berkenaan sebagai alternatif jika terputus bekalan air bersih akibat tercemar dan berkeladak.

Seorang penduduk Kampung Melaka, Abdul Samah Busu Bakar, 50, berkata, air Sungai Punggor telah berubah menjadi keruh dan berwarna kemerahan pekat sejak awal tahun ini.

"Sebelum ini sungai berkenaan menjadi tumpuan penduduk untuk kegiatan harian termasuk menangkap ikan, malahan menjadi sumber alternatif jika bekalan air bersih terputus," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Melaka di sini kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 15 anak pokok kelapa sawit yang ditanam mati akibat pencemaran air Sungai Punggor menyebabkan penduduk tidak lagi menggunakan air sungai itu untuk tanaman.

"Walaupun ada penduduk mendakwa punca pencemaran sungai akibat kegiatan perlombongan bijih, namun masih belum dapat dipastikan secara jelas," katanya.

Tambahnya, penduduk berharap pihak berwajib memantau senario berkenaan untuk memelihara kebersihan sumber air dan habitat akuakultur.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved