Khamis, 3 Oktober 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


12 projek PPR bakal dibina

Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT

Ismail Othman

MELAKA 2 Okt. - Kerajaan negeri sedang merancang membina sebanyak 12 projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dalam tempoh lima tahun lagi dalam usaha menyediakan kemudahan kediaman kepada penduduk berpendapatan sederhana dan rendah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak tujuh projek PPR manakala selebihnya lima projek rumah mampu milik oleh pihak swasta.

Menurutnya, kerajaan negeri merancang membangunkan sebanyak sebanyak 2,600 unit rumah PPR jenis teres dalam tempoh lima tahun akan datang membabitkan 600 unit di Sungai Udang; Lipat Kajang, Jasin (500), Kampung Tun Kudu (500), Pulai 2, Jasin (400), Ayer Molek Darat (400), Bukit Rambai (400) selain pembinaan 400 unit rumah pangsa di Sungai Putat 2.

"Sementara itu, sebanyak 3,500 unit rumah mampu milik melalui projek swasta dengan keluasan dari 850 hingga 1,200 kaki persegi berharga bawah RM150,000 seunit pula bakal dibina di Durian Tunggal, Parit Melana, Machap, Kemuning dan Merlimau," katanya.

Ismail (BN-Kuala Linggi) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tey Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) mengenai rancangan kerajaan negeri membina rumah kos rendah dalam tempoh lima tahun akan datang dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-13 di Seri Negeri hari ini.

Katanya, kerajaan negeri di bawah Jabatan Perumahan Negeri meluluskan sebanyak tiga projek perumahan rakyat iaitu PPR Paya Rumput, PPR Ayer Panas dan PPR Bukit Baru.

Sementara itu, jelas Ismail, sehingga 15 September lalu, sebanyak 4,656 pemohon sedang menunggu rumah kos rendah dan sederhana di negeri ini terbahagi kepada 2,233 di daerah Melaka Tengah, 1,415 (Alor Gajah) dan 1,008 (Jasin).

"Cadangan pembinaan lebih banyak PPR di negeri ini adalah selaras dengan permintaan rakyat yang semakin meningkat.

"Semua pelaksanaan projek ini menunjukkan manifestasi keprihatinan Kerajaan Pusat terhadap keperluan perumahan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah.

"Ini sekali gus membuktikan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil kira kepentingan dalam menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

'9 Keajaiban' pendekatan terbaharu pelancongan NS

Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT

SEREMBAN 2 Okt. - Negeri Sembilan akan menggunakan pendekatan '9 Keajaiban' dalam memastikan industri pelancongan negeri ini diperhebat lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan terbaharu itu akan merujuk kepada sembilan tempat yang wajib dilawati pelancong sekiranya mereka melawat negeri ini kelak.

"Umpamanya jika kawasan Rekreasi Ulu Bendul di Kuala Pilah dimasukkan kelak, pelancong akan wajib berkunjung ke situ, selain lapan lagi tempat yang akan kita letakkan dalam '9 Keajaiban ini," katanya ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 di sini hari ini.

Kata Mohamad (BN-Rantau), dengan pendekatan terbaharu itu sasaran kerajaan untuk melihat pelancongan menjadi sebahagian dalam penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri akan tercapai melalui kehadiran yang dijangka mencecah lima juta orang itu.

"Ini akan kita kaji dan perhalusi sebagai sebahagian strategi bagi mengembangkan lagi minat pelancong datang ke negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar memberitahu, antara usaha yang dilakukan kerajaan ialah memastikan pelancong akan menginap lama di hotel mahupun resort daripada satu setengah hari kepada sekurang-kurangnya dua setengah hari.

Untuk itu, katanya, tiga aspek utama untuk memastikan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara ialah memperkasakan produk pelancongan sedia ada, memantapkan penganjuran acara pelancongan yang berimpak tinggi serta memperkenalkan pelancongan baharu bertaraf antarabangsa.

Tun Hairudin (BN-Bagan Pinang) yang menjawab soalan Abdul Rahman Mohd. Redza (BN-Linggi) berkata, ketiga-tiga aspek itu akan disokong dengan aktiviti promosi dan publisiti seperti misi jualan dalam dan luar negara, pengiklanan produk di papan iklan gergasi sepanjang lebuh raya, selain iklan dalam laman web.

Dewan gamat isu babi dan lalat

Posted: 02 Oct 2013 12:13 PM PDT

SEREMBAN 2 Okt. - Dewan Undangan Negeri hari ini gamat selepas perkataan babi yang disebut Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan merujuk kepada penternakan babi di Bukit Pelandok dekat Chuah diminta disebut sebagai khinzir oleh pembangkang.

Sambil duduk, Cha Kee Chin (DAP-Bukit Kepayang) meminta Mohamad tidak menyebut babi dengan menegaskan adalah lebih elok jika digunakan perkataan khinzir.

Bagaimanapun, Mohamad mencelah dengan berkata: "Khinzir tu apa? Mana ada orang sebut gila khinzir, orang selalu sebut gila babi. Ada ke orang kata mengkhinzir buta tetapi orang sebut membabi buta. Kalau sudah babi, maka babilah, apa yang susah sangat".

Beliau berkata demikian pada hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 di sini hari ini.

Beliau yang ketika itu sedang membuat penggulungan perbahasan ucapan terima kasih titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada istiadat pembukaan lalu berkata, kerajaan tidak mahu pelancong ke negeri ini yang melalui jalan itu disambut dengan ucapan, Selamat Datang ke Kandang Babi.

Menurut Mohamad (BN-Rantau), tanah yang dibeli bagi tujuan penternakan babi di Bukit Pelandok di Chuah itu lebih baik diubah sebagai kawasan perindustrian dan perumahan.

Katanya, perubahan itu memberi manfaat berikutan nilai tanah yang semakin meningkat sekali gus pemiliknya akan mendapat keuntungan berpanjangan.

"Pada pandangan kerajaan ketika ini, kawasan Bukit Pelandok dekat Chuah itu sudah terlalu hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ketika ini sebuah lagi Lapangan Terbang Tambang Murah 2 (LCCT2) akan dibina di situ," katanya.

Malah, beliau turut mencadangkan Jabatan Veterinar negeri mengadakan perbincangan semula dengan pemilik tanah itu supaya dapat disatukan semula dan memberikan cadangan berkenaan untuk dikaji.

"Masa beli tanah dahulu, harganya pun sudah tinggi. Sekarang apabila hendak membina ladang tertutup menelan belanja yang besar sehingga berjuta ringgit. Kita tidak mahu taukeh luar yang kaya, orang tempatan terus menjadi pekerja," katanya.

Dewan juga 'meriah' pada sesi penggulungan selepas Mohamad 'mengusik' pembangkang dalam isu lalat dan mengatakan lalat bukan sahaja banyak di Johol tetapi kawasan lain seperti Port Dickson disebabkan ladang ternak ayam konvensional dan tidak bertutup.

"Kita akan lihat lalat besar seperti langau warna hijau dan bukan lalat. Di sebelah sini 'lalat' (merujuk kepada barisan kerajaan) dan di sebelah sana langau (merujuk kepada pembangkang). Langau hinggap barangan baik jadi busuk, hinggap daging baik, dia bertelur dan daging jadi busuk. Jadi jangan jadi langau," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved