Khamis, 3 Oktober 2013

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Searasi bersama

Posted: 02 Oct 2013 11:30 PM PDT

Wan Suhaimi berkemahiran membaiki peralatan elektrik.

"Bagi yang mempersoalkan tentang fizikal saya dan selalu bertanya kenapa saya dilahirkan dengan tubuh kecil 'kerdil', sebenarnya mereka tidak memahami takdir dan ketentuan Allah.

"Bukan dipinta dilahirkan sebegini. Semua ini adalah ketentuan dari-Nya. Walaupun kerdil, saya bersyukur kerana diberi peluang untuk berkahwin dan menjalani kehidupan seperti orang biasa," ujar Wan Suhaimi sambil tersenyum kepada isteri di sebelahnya.

Hasil perkongsian hidup sejak 12 tahun lalu, pasangan itu telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Wan Suhana yang kini berusia sembilan tahun.

Mereka bersyukur kerana anak tunggal kesayangan itu dilahirkan normal dan membesar dengan sihat seperti kanak-kanak seusianya.

Mengenang kembali detik perkahwinan, Wan Suhaimi berkata, perkenalan mereka berputik ketika sama-sama menjadi ahli Persatuan Orang-Orang Kerdil Malaysia.

"Selepas mengenali hati budi masing-masing, kami mengambil keputusan untuk bertunang dan bernikah tiga bulan kemudian. Apa yang penting hubungan kami direstui keluarga kedua-dua belah pihak.

"Dahulu saya pernah terfikir untuk membujang sehingga ke tua jika tiada wanita yang ingin berkahwin dengan saya. Tetapi, semua telah diatur oleh Allah apabila saya diberi peluang berkahwin pada tarikh keramat 29 Jun 2003," katanya disusuli ketawa kecil.

Wan Suhaimi yang berasal dari Kelantan berkata, mereka tidak pernah menjangka perkahwinan itu turut dirakamkan dalam Malaysia Books of Record sebagai pasangan orang kerdil pertama yang berkahwin

Walaupun keadaan fizikalnya begitu, dia tidak pernah mengharapkan bantuan daripada orang ramai bagi menyara keluarga. Malah dengan tulang empat kerat tersebut dia berusaha mencari rezeki yang halal.

"Selain bekerja sebagai tukang cuci di Apartmen Seri Cempaka Bandar Baru Bangi, saya juga mempunyai kemahiran membaiki peralatan elektrik.

"Barangan terbuang ini selalunya diambil di kawasan pembuangan sampah sebelum dibaiki dan diguna semula.

"Selain itu, ada juga beberapa permintaan untuk membaiki barangan elektrik oleh jiran-jiran di sekitar kawasan perumahan ini," katanya.

Ujar bapa cekal itu, bagi menambah pendapatan, dia juga bekerja secara sambilan mengambil dan menghantar budak sekolah rendah berdekatan dengan rumahnya.

"Setiap hari seawal pukul 7 pagi saya memulakan tugas menghantar budak sekolah dengan menggunakan kereta kancil milik saya yang telah diubah suai dengan keadaan fizikal saya.

"Kemudian, jam berikutnya kadang-kadang ada juga beberapa orang pekerja di kawasan ini meminta saya menghantar mereka ke pejabat.

"Pada sebelah petang jika ada waktu kelapangan saya akan menghabiskan masa mencari barangan terpakai seperti besi buruk, tin kosong dan surat khabar untuk dijual.

"Sebelah malamnya, dihabiskan untuk membaiki barangan terpakai untuk diguna semula," katanya.

Menurut Wan Suhaimi, bagi membantu mengurangkan bebanan keluarga, isterinya turut membantu menambah pendapatan dengan menjual kuih muih yang dibuat sendiri seperti apam dan lompang.

Ditanya perancangan masa depan, dia mengakui dalam usia yang sudah memasuki 50-an, dia ingin memiliki sebuah van yang boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan sendiri.

"Niat untuk memiliki van memang ada. Tetapi modal tidak ada. Saya sangat bersyukur jika ada pihak yang ingin membantu saya memiliki van sendiri.

"Ketika ini, kami juga ada menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM250 bantuan zakat daripada negeri Selangor.

"Sebahagian wang tersebujt digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM250 sebulan," katanya.

Sambil ketawa, Wan Suhaimi berkata dengan keunikan yang dimiliki mereka, dia dan isterinya pernah diambil berlakon dalam beberapa drama dan filem.

Bagi sesiapa yang berminat mendapatkan khidmat membaiki peralatan elektrik boleh hubungi Wan Suhaimi di talian 019-3507999. - SITI AISHAH YUSOFF

Beg kertas simpan kenangan

Posted: 02 Oct 2013 11:30 PM PDT

MINAT mendalam terhadap seni reka dan kreativiti beg kertas membuatkan Jany Tan Poo Choo, mengumpul lebih 500 beg kertas dari dalam dan luar negara, yang setiap satunya cukup istimewa dan membawa makna tersendiri.

Hobi Jany bermula apabila menerima beg kertas eksklusif selepas membeli beg berjenama United Colors of Benetton dari sebuah butik di Singapura.

Beliau yang amat tertarik dengan beg yang berwarna terang, hanya menyimpan sekeping beg kertas untuk setiap corak sejak 16 tahun lepas dan yang penting ia perlu kelihatan seperti baru tanpa kesan lipatan mahupun kedut.

"Sebahagian daripada koleksi eksklusif ini amat berharga dan sukar untuk dicari ganti," jelas beliau.

Mengenai perkongsian hobi ini dengan orang luar, Jany mengakui sukar mencari rakan daripada kumpulan sosial beliau yang memiliki hobi yang sama.

"Namun ada seorang yang mempunyai minat yang sama iaitu Muhammad Norazlin Mansur yang dikenali semasa mula-mula bekerja di Universiti Malaya (UM) tahun lepas, yang menghadiahkan kira-kira 50 keping beg kertas bertemakan universiti tertua itu," kata Jany.

Sebahagian lagi koleksi Jany dihadiahkan oleh keluarga, saudara mara dan sahabat handai termasuk empat abangnya yang menetap di luar negara.

Antara yang masih disimpan ialah beg kertas dari tempat pelancongan yang pernah dikunjungi seperti Beijing semasa Sukan Olimpik 2008, Jerman dan Maldives.

"Sekeping beg kertas dari Menara Eiffel, Paris yang dihadiahkan oleh abang yang berada di London dan sekeping beg hadiah ketika Tahun Baru Cina daripada sahabat adalah antara koleksi yang paling manis," katanya yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Korporat, Pejabat Keselamatan UM.

Beliau juga menyimpan beg kertas yang menanda peristiwa bersejarah dalam hidupnya seperti beg yang membawa anjing pertama beliau, Trust Tan pada Hari Valentine 13 tahun yang lepas, beg konvokesyen yang memuatkan jubah konvo untuk hari penganugerahan ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik yang diterima pada 2005.

Beg konvokesyen itu amat bernilai kerana mengingatkan akan kemanisan zaman belajar di universiti yang berprestij itu, apatah lagi beliau bergraduasi pada tahun yang sama dengan ulang tahun satu abad universiti itu.

Pada tahun-tahun awal hobinya, Jany menyimpan koleksi beg kertas itu dalam kotak kadbod yang disusun dalam sebuah bilik kecil di rumahnya.

"Apabila koleksi bertambah banyak, saya merasa agak bimbang jika ia rosak akibat kelembapan atau serangga, jadi saya pindahkan ke dalam kotak plastik yang diletakkan dalam bilik khas yang sentiasa dipastikan kering dan bersih," jelas beliau.

Menjaga beg kertas sebagai hobi pada masa lapang lebih mudah kerana tidak mengumpul debu, tidak perlu kerap dikesat dan tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding mengumpul koleksi barangan lain seperti cawan atau botol mini minyak wangi. — BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved