Khamis, 3 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Penarik kereta didakwa bunuh pengasas AmBank

Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT

ANGGOTA polis membawa tertuduh, Koong Swee Kwan selepas didakwa di Mahkamah Majistret di atas pertuduhan membunuh pengasas AmBank di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kematian pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi setelah ditembak di sebuah tokong Cina terbela apabila seorang penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh mangsa pada hujung Julai lalu.

Koong Swee Kwan, 44, turut menghadapi tuduhan cuba membunuh isteri Hussain, Cheong Mei Kuan, 49, sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Swee Kwan yang berkemeja-T putih hanya mengangguk tanda memahami kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Penolong Pendaftar, Rosmaniar Zainuddin.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Rosmaniar.

Lelaki itu yang menetap di Batu 9 Cheras di sini didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai lalu.

Bagi tuduhan membunuh Hussain, 75, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pertuduhan cubaan membunuh Mei Kuan pula dikemukakan mengikut Seksyen 307 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengendalikan pendakwaan memohon satu tarikh sebutan bagi menunggu laporan forensik dan mahkamah kemudian menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela ditangkap di Taman Larut Tin Taiping, Perak pada 23 September lalu selepas dua bulan melarikan diri daripada diburu pihak polis.

Menurut laporan akhbar, Hussain dilaporkan mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di dada manakala Mei Kuen cedera ditembak dari jarak dekat dan cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan selepas keluar dari tokong cina tersebut.

Pada 16 Ogos lalu, pemandu teksi, Chew Siang Chee, 45, yang dipercayai memandu tertuduh pada hari kejadian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan, memiliki sepucuk pistol dan empat butir peluru hidup tanpa lesen.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di B-15-12 Kondominium Desa Cindaimas, Jalan Sekutu Persimpangan Jalan Kuchai Lama, Brickfields di sini pada pukul 5.45 petang, 3 Ogos lalu.

Sementara itu, pihak polis masih giat mengesan majikan Swee Kwan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Majikannya yang berusia 53 tahun itu dipercayai telah melarikan diri ke Australia selepas Hussain mati ditembak.

765 pelabur tuntut RM8.3 juta

Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 3 Okt. - Seramai 765 pelabur gagal menuntut semula hasil wang pelaburan dalam skim 'Ponzi' yang telah dibekukan oleh kerajaan mencecah RM8.3 juta, selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang bersidang bersama Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk David Wong Dak Wah.

Hakim Abdul Aziz ketika membacakan keputusan menyatakan, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi gagal membuat penilaian yang betul terhadap bukti keterangan yang dikemukakan.

Kuorum berkenaan berpendapat, pihak pelabur (responden) gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 61(4) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Sehubungan itu, panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan mereka menuntut semula hasil pelaburan berkenaan yang dikendalikan oleh syarikat FX Capital Consultant (M) Sdn. Bhd.

Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Anslem Charles Fernandis dari BNM dan Susheel Kaur dari SC mewakili pihak pendakwaan manakala pelabur-pelabur diwakili peguam Md. Yunos Shariff.

Skim itu yang aktif sekitar tahun 2007 dan 2008 menarik perhatian seramai 4,000 pelabur dengan wang pelaburan keseluruhannya berjumlah RM100 juta.

Skim tersebut dijanjikan pulangan lumayan dan dikendalikan oleh pengarah syarikat niaga hadapan itu, Raja Noor Asma Raja Harun, 51.

Raja Noor Asma telah dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM5 juta selepas mengaku bersalah terhadap 54 pertuduhan melaksanakan skim menipu pelabur dan bertindak sebagai broker niaga hadapan tanpa lesen serta melakukan aktiviti pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah (kini Pesuruhjaya Kehakiman) turut memerintahkan sejumlah RM8 juta yang diperoleh daripada wanita itu melalui skim berkenaan dirampas, selain sejumlah RM7,528,250.29 lagi dikenakan sebagai penalti atau enam bulan penjara jika gagal membuat pembayaran.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved