Khamis, 3 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


TPM minta pengundi beri BN menang di Sungai Limau

Posted: 03 Oct 2013 02:24 AM PDT

MELAKA 3 Okt. - Barisan Nasional (BN) meminta para pengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah, pada 4 November agar 'lebih mesra' dengan memberikan kemenangan kepada BN yang kembali menerajui negeri itu selepas pilihan raya umum lepas.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan negeri kini dipimpin tokoh muda berkaliber Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir sebagai Menteri Besar yang mampu membawa Kedah menjadi lebih maju.

"Cabaran bagi BN dan UMNO di kawasan itu bukan mudah tetapi kita anggap ia sebagai satu cabaran yang perlu kita hadapi dan membantu dalam memberi kemenangan kepada kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan UMNO Melaka di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi UMNO dan BN Melaka, Datuk Idris Haron.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 4 November sebagai hari pengundian dan 23 Oktober sebagai tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak 26 September lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd. Fazillah Mohd. Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, calon BN bagi pilihan raya kecil itu kebiasaannya akan diumumkan dua hari sebelum hari penamaan calon setelah pucuk pimpinan BN meluluskan senarai nama calon yang dikemukakan BN Kedah.

Beliau berkata, BN Kedah telah diminta mengenal pasti calon yang sesuai dengan perwatakan terbaik, berpengalaman dan mudah diterima masyarakat di situ.

Muhyiddin juga berkata, BN akan menggunakan tempoh 10 hari berkempen untuk menerangkan dasar dan perjuangan BN dalam membantu orang Melayu dan Bumiputera serta berjumpa dengan seberapa banyak pengundi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan segelintir calon mengenai syarat ketat yang dikenakan pada pemilihan UMNO, Muhyiddin berkata, prosedur yang tersenarai dalam pemilihan itu sebagaimana pemilihan terdahulu sewaktu membanteras politik wang.

"Peraturan dah diguna pakai dulu, dahulu pun tak ada orang komplen...yang paling utama sekali, kita tak mahu unsur politik wang atau pun unsur fitnah, tohmah mengatakan calon yang sana tak sesuai," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata calon boleh menggunakan media massa mahupun media sosial untuk memperkenalkan diri kepada perwakilan. - BERNAMA

Syarikat kawalan keselamatan sekolah boleh disenarai hitam

Posted: 03 Oct 2013 01:32 AM PDT

MELAKA 3 Okt. - Syarikat kawalan keselamatan di sekolah yang gagal mematuhi perjanjian dan melaksanakan tanggungjawab akan disenarai hitam, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementerian juga akan mengenakan syarat-syarat baharu di dalam kontrak pelantikan syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan masalah dan kekurangan berkaitan pengawal keselamatan sekolah yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 diatasi.

"Kalau mereka (syarikat kawalan keselamatan) dah tak layak kita keluarkan, kalau pun yang tersenarai atau dipilih akan ada syarat-syarat baharu yang kita akan kenakan untuk tentukan jangan berulang hal sebegini.

"Saya pun rasa agak terkilan apabila hal-hal sebegini berlaku, kita tidak ada masa nak pergi tengok setiap sekolah tetapi kita bertanggungjawab jugalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan semakan audit di 35 sekolah terpilih mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan sekolah mempunyai rekod jenayah manakala 76 pengawal dikesan tidak mengemukakan tapisan keselamatan dari balai polis berhampiran atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membuktikan mereka tiada rekod jenayah.

Selain itu, terdapat juga pengawal yang melebihi had umur dan gagal mengemukakan kepada pihak audit laporan kesihatan dari hospital kerajaan bagi membuktikan mereka masih sihat dan dapat menjalankan tugas sebagai pengawal.

Muhyiddin berkata, kementeriannya telah mengenal pasti beberapa kelemahan termasuk pemantauan yang kurang rapi walaupun syarikat pengawal keselamatan yang dipilih telah diluluskan KDN sebelum ditawarkan kontrak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan berdasarkan tawaran terbuka.

Justeru, katanya, kuasa pemantauan kontrak akan diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah yang membolehkan setiap sekolah dipantau.

"Kalau dulu ia dipantau oleh ibu pejabat, jadi nak turun setiap daerah agak sukar...dengan pendekatan baharu ini bermakna setiap sekolah itu tidak terkecuali daripada dipantau Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, ini memudahkan lagi pelaksanaan," katanya.

Pada masa ini terdapat 364 syarikat pengawal keselamatan yang diberikan kontrak di sekolah seluruh negara, kata beliau.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut meminta setiap kementerian dan kerajaan negeri mengambil perhatian berat terhadap laporan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani setiap permasalahan yang timbul.

Katanya, jika berlaku salah laku oleh pegawai, ia perlu dimaklumkan kepada agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau mengenakan tindakan tatatertib di bawah peraturan sedia ada.

"Bagi kita (kerajaan) hal begini kita anggap satu pembaziran wang rakyat dan kami dalam kerajaan tidak mahu ini berlaku, kita nak minta pegawai-pegawai yang bertanggungjawab menguruskan projek ini mengambil perhatian serius dan hal ini jangan disebut berulang kali dalam laporan audit.

"Kabinet sendiri telah mengarahkan ini dianggap penting, mesti diambil tindakan sewajarnya sama ada terhadap pegawai atau memperbaiki kelemahan kerana bagi kami, penting wang yang dibelanjakan memberikan faedah seoptimumnya kepada rakyat," katanya. - BERNAMA

Dewan Rakyat ditangguh selepas 8 hari bersidang

Posted: 03 Oct 2013 01:15 AM PDT

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen ke-13 yang bersidang sejak 23 Sept lepas ditangguhkan hari ini ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sepanjang persidangan lapan hari itu, Dewan Rakyat meluluskan empat rang undang-undang iaitu Rang Undang-undang Akta Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2012 (Pindaan) 2013, Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2013, Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2013) dan Rang Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013.

Sementara itu, 12 rang undang-undang yang dijadual dibacakan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat kali ini ditangguh dan dibawa ke persidangan akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika membentangkan usul menangguhkan mesyuarat hari ini, mengucapkan terima kasih kepada anggota Parlimen dan memohon maaf sebarang kekasaran bahasa sepanjang persidangan itu berlangsung.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee berkata, beliau bagi pihak Yang Dipertua Dewan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada anggota Parlimen yang memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan mesyuarat itu dapat disempurnakan.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, pegawai Parlimen, wakil media massa dan pihak yang turut terlibat.

"Akhir kata, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha," katanya. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved