Khamis, 3 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Transformasi, ulama mahu ke mana?

Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid

MENJELANG pemilihan jawatan tertinggi dalam UMNO yang bakal berlangsung dalam beberapa hari lagi, ada kempen untuk membawa masuk kumpulan berpendidikan agama untuk menyeimbangkan kedudukan profesional bagi memantapkan perjuangan dan pembentukan dasar parti.

Malah, wacana penubuhan Majlis Ulama yang setaraf dengan kedudukan Naib Presiden kebelakangan ini semakin hangat disuarakan oleh ahli parti bagi menonjolkan kedudukan ulama adalah penting dalam parti. Ini termasuklah meluruskan persepsi yang mengatakan UMNO meminggirkan peranan ulama dalam menentukan hala tuju dan dasar parti.

Menyoroti kemunculan kepimpinan ulama dalam UMNO, hanya bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad merupakan tokoh yang paling lama diterima berbanding dengan tokoh berpendidikan agama lain. Sejarah itu memberikan gambaran, selepas diberikan peluang, kenapakah hayat politik ulama yang ada dalam UMNO tidak panjang.

Gambaran ini memberikan tafsiran bahawa golongan yang berpendidikan agama tidak merupakan pemimpin yang berkesan, kerana sifatnya terlalu mengharapkan kesempurnaan sedangkan kaedah meraih kesempurnaan tidak dapat diterjemahkan dengan baik dan berkesan.

Golongan ulama yang cekap dalam memperkatakan isu, hebat memberikan pandangan dan kritikan sebenarnya tidak bersifat praktikal dalam tindakan, tidak berjaya menterjemahkan ilmunya untuk menyelesaikan masalah kehidupan.

Kemunculan ulama muda dalam UMNO misalnya pernah dilihat sebagai perkembangan positif tetapi sebaliknya apabila mereka mempunyai kedudukan dalam parti, suara mereka sudah tidak lagi membuktikan kesungguhan untuk memantapkan perjuangan parti.

Suara-suara melakukan perubahan sebelum terpilih memegang kuasa tidak lagi kedengaran dan diterjemahkan secara berkesan. Ulama seperti ini kemudiannya dipanggil sebagai ulama politik, kerana tindakannya tidak lagi konsisten dengan apa yang diperjuangkan termasuk mencari kekayaan peribadi dan menunjukkan kemewahan, mempamerkan sikap riak dan sukar menerima pandangan orang lain.

Situasi seperti ini sentiasa berulang-ulang sehingga ada sebahagian rakyat mulai muak dengan sikap pemimpin agama yang berada dalam UMNO, semakin lama berkuasa semakin kehilangan jiwa agamanya. Jiwa agama bukan bermaksud sentiasa mencari peluang untuk menjadi imam berjemaah ataupun membaca khutbah apabila pemimpin utama hadir sama.

Jiwa agama sejati ialah menegakkan prinsip yang jelas, tidak mudah lentur dengan perubahan mencari kerjasama dengan bukan Islam yang tidak menghormati Islam.

Misalnya, ketika UMNO bergema dengan proses peremajaan dengan mendekatkan diri meraih sokongan golongan muda, para ulama masih belum dapat merumuskan strategi dan pendekatan yang boleh diterima oleh kumpulan yang semakin ramai dan berpengaruh. Sebaliknya, pemimpin profesional dapat menterjemahkan keperluan golongan muda dalam konteks kehendak asasi mereka, sedangkan pemimpin agama masih dengan pendekatan menghukum dan retorik.

Golongan ulama tidak banyak memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat untuk berhubung dengan golongan muda, masih gemar mengadakan aktiviti ceramah dan forum yang tidak diminati oleh mereka. Apabila parti dicemuh, pemimpin ulama seharusnya bangkit untuk memperbetulkan persepsi menerusi pendekatan yang mudah diterima dan tidak terlalu bergantung kepada aktiviti berbentuk ceremonial atau large volume error.

Pemimpin ulama seharusnya mampu mendengar suara-suara mereka, yang mana proses itu boleh membawa kepada peningkatan keyakinan dengan memberikan ruang dan peluang dengan lebih meluas, bukannya memaksa golongan muda mendengarnya.

Golongan agama dalam parti tidak seharusnya mengehadkan pengetahuan mereka, sebaliknya wajib memahami ilmu-ilmu bantu yang lain, termasuk psikologi dan pengetahuan profesional yang memungkinkan peningkatan minat golongan muda untuk menyokong parti.

Kalau pemimpin agama dapat menterjemahkan ilmunya menjadi sesuatu yang praktikal, memahami keperluan psikologi, ia akan membolehkan golongan muda mempercayai bahawa kepimpinan sedemikian itulah yang boleh diharapkan untuk membangunkan parti dan kemaslahatan ummah.

Pemimpin agama tidak mudah terpengaruh dengan keperluan meletakkan kepentingan diri di tempat teratas. Misalnya mengenai penularan fahaman Syiah, belum lahir golongan ulama dalam UMNO yang berani memulihkan pengikutnya untuk kembali kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Atas sebab itulah ulama dilihat gagal memugarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada ancaman Syiah, walhal fahaman itu mempunyai kedudukan yang jelas bertentangan dari segi akidah dan undang-undang.

Belum muncul seorang pemimpin ulama dalam UMNO yang berani berdepan secara intelektual dengan kelompok Syiah. Paling ramai ialah golongan ulama yang hanya cekap membuat selaran dan mendedahkan pelanggaran akidah golongan tersebut secara jarak jauh ataupun menerusi media, sedangkan apa yang lebih diperlukan adalah turun padang mencari dan memulihkan mereka.

Ketidaksanggupan itulah menyebabkan segelintir pemimpin ulama hanya berani bercakap secara lantang dalam forum, yang mana khalayaknya adalah kumpulan least resistance dan bukannya khalayak sasaran sebenar.

Itulah sebenarnya transformasi politik yang wajib dilaksanakan oleh kelompok ulama dalam UMNO jika mahukan Islam terus mantap dan sukar digugat. Transformasi pendekatan politik hendaklah disusuli dengan kemantapan psikologi bila berhadapan dengan kumpulan berkenaan, bukannya sekadar riuh rendah secara bermusim.

UMNO perlu menjejaki semula sejarah penubuhannya dan belajar daripada pengalaman bagaimana Biro Agamanya berpecah, membentuk sebuah kumpulan siasah yang akhirnya menjadi lawan politiknya. Tentunya, setelah berpecah kaedah persaingan menjadi lebih sengit dan sesekali kedengaran tindakan yang amat memualkan sehingga kedudukan Islam semakin tercabar.

Transformasi perlu bermula daripada diri sendiri sebagaimana perintah Nabi Muhammad yang bersabda ibda binafsik" (mula dari dirimu sendiri). Dalam konteks dan situasi yang sebeginilah ulama dalam parti perlu berperanan sebagai pencerah dan pendidik kepada semua elemen dalam parti agar selari dengan prinsip-prinsip Islam.

Ketokohan seorang ulama juga boleh dilihat sejauh mana ia dapat bertahan dengan godaan dan dugaan politik yang menawarkan kekayaan dan keselesaan hidup dengan cara yang cepat. Ulama akan dipandang tinggi dan tabik hormat sekiranya ulama tersebut mempamerkan dirinya sebagai sosok yang sederhana, zuhud dan berjuang secara istiqamah mempertahankan Islam sebagai teras parti dan negara.

Demikian Nabi bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: Tidaklah seorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak berhasad dengki kepada orang yang lebih daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya dan tidak mencari upahan kebendaan dengan ilmunya."

Antara lain tugas yang harus dilaksanakan oleh ulama dalam kedudukan mereka sebagai pewaris Nabi iaitu memberi contoh sosialisasi dan teladan. Justeru Nabi SAW dicipta Allah sebagai teladan (lihat surah al-Ahzab ayat 21) atau sebagaimana keterangan isteri baginda Aisyah r.a., sikap dan tingkah laku Rasulullah adalah al-Quran. Dari hakikat ini pewaris Nabi dituntut bukan sekadar menampilkan satu peribadi yang baik tetapi yang terbaik.

Orang yang paling alim dalam kalangan manusia harus mengatur segala urusan umatnya kerana ia akan bertindak berdasarkan maslahat terbaik bagi seluruh umat dan keluar daripada kejahilan yang akan menyebabkan mudarat yang lebih luas bagi setiap anggota masyarakat.

Pada masa sama, ulama yang dibariskan dalam parti dan kepimpinan negara perlu mempunyai pemikiran yang progresif, tidak jumud, menyokong kebebasan intelektual dan tidak terkongkong dengan doktrin agama tertentu. Ulama yang mempunyai wawasan yang luas akan memberikan pencerahan dan kefahaman yang bernas kepada umat Islam.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Kesederhanaan menatang kemuafakatan

Posted: 03 Oct 2013 11:01 AM PDT

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia.

BERTOLAK daripada cadangan penubuhan Gerakan Kesederhanaan Global pada tahun 2010, dengan nada yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru agar kesederhanaan diamalkan supaya dapat mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai latar agama dan etnik di Kenyataan Nasional pada Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-68 di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"Dengan memperkukuhkan kembali komitmen kita terhadap kesederhanaan dan menyelesaikan masalah politik yang mengakibatkan wujudnya keadaan tidak stabil, kita mampu kembali berkuasa. Kita mampu pinggirkan puak pelampau dan memperjuangkan agenda keamanan, keharmonian serta keadilan," kata Najib di perhimpunan tersebut.

Najib menjadikan peristiwa yang berlaku di merata dunia yang menyaksikan bagaimana puak pelampau menggunakan agama sebagai perisai untuk melakukan keganasan sedangkan keamanan dipinta ke atas komuniti yang wajar bersama menentang kumpulan ini yang merobohkan keluarga, masyarakat dan negara. Amalan songsang sehingga rusuhan dan pembunuhan berterusan berlaku kerana vakum yang ditinggalkan oleh kepimpinan sederhana diambil- alih oleh golongan radikal dan ekstrem akibat tingkah laku pengikutnya sendiri.

Dalam menatang kemuafakatan, kesederhanaan menjadi tanggungjawab semua warga. Najib menyatakan bahawa 'kesederhanaan tidak patut ditafsir sebagai kelemahan, manakala perjuangan menentang mereka yang menganjurkan keganasan serta menyeru kepada kedamaian, bukan mempamerkan kelemahan, tetapi sebaliknya kekuatan kita'.

Agenda kemuafakatan berpusatkan kepada kesederhanaan telah menjadi teras kepimpinan Najib sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2009. Kemuafakatan yang sering dijadikan sumber rujukan adalah melalui konsep penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Bagaimanakah ia mampu dilestarikan dalam konteks masyarakat yang saban hari semakin kompleks dengan perubahan persekitaran alam, ekonomi dan struktur politik serta sosial? Ia sebenarnya bergantung kepada usaha berterusan dalam berhadapan dengan cabaran dan dilema untuk memastikan tidak akan lahir insiden yang mencurigakan atau kebimbangan ke atas masyarakat secara umum walaupun ada peristiwa kecil berlaku saban hari.

Masyarakat global sering menjadikan Malaysia sebagai rujukan, nota kaki dan contoh dalam memerihalkan kependudukan dan hubungan antara etnik walaupun ada ketikanya warga Malaysia sendiri mengkritik latar hubungan keetnikan ini. Hatta, penampilan Najib dengan konsep Al-Wasatiyyah atau kesederhanaan di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu September 2013 merupakan pengiktirafan ke atas keabsahan yang sudah dihormati oleh dunia umumnya.

Malahan, ia juga bertujuan membolehkan negara-negara lain khususnya negara Islam dan dunia ketiga yang acap kali berhadapan dengan konflik pergerakan puak pelampau boleh bangkit bersama mempertahankan kedamaian demi masa depan yang tidak menentu terutama di negara yang masih bergelut dengan kancah konflik dan ancaman pembersihan etnik.

Kita juga dapat membaca, mendengar dan melihat apa yang telah dan sedang berlaku di beberapa negara termasuk Rwanda, Sri Lanka, Yugoslavia, Filipina, Thailand, Fiji, Sudan, Nigeria dan Syria namun, Malaysia masih diklasifikasikan oleh pemikir luar sebagai aman walaupun tafsiran dalam negara berbeza-beza sehingga ada yang cuba memencilkan penghormatan itu tanpa menafikan ada juga pihak luar radikal bertanggapan Malaysia akan berhadapan dengan rusuhan pada bila-bila masa.

Ia barangkali ada hubungan dengan kepentingan politik segelintir pihak luar yang kecewa kerana penentangan mereka gagal diterjemahkan dalam bentuk sokongan di pilihan raya umum terutama ketika mereka menyoal isu berkaitan dengan demokrasi, hak asasi, minoriti, jurang bandar dan luar bandar dan isu sosial yang lain.

Kesederhanaan di fasa nasional penting untuk diangkat ke arena antarabangsa. Hormat, faham dan menerima di antara satu sama lain menjadi asas dalam membina nilai kesederhanaan. Walau berbeza dari segi agama, etnik, kaum, kepercayaan, ideologi kepartian politik dan proses sosialisasi masing-masing, jika keperibadian berpaksikan kepada kesederhanaan yang mengutamakan nilai persamaan kemanusiaan, maka ia akan memudahkan proses untuk menutup bucu-bucu yang memberikan ruang kepada permusuhan dan perselisihan.

Dalam syarahan 'The New Meetings, Moderation: The New Modernity' di New York yang dihos oleh Fareed Zakaria pula, Najib menyatakan bahawa 'jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman'. Ia menampakkan usaha menjadikan Pergerakan Wassatiyah Global supaya dapat mencari titik pertemuan dan kerjasama untuk menyelesaikan masalah dunia terutama melalui dialog dan rundingan dari berkonfrontasi.

Tidak ada agama yang meminta umatnya membunuh yang tidak berdosa kerana ia berlandaskan kepada pegangan nilai keagamaan yang sempit. Fobia berteraskan kepada agama dan etnik jika disemarakkan menjadi propaganda boleh mengambil-alih pengertian sebenar sesuatu agama sehingga bersifat stereotaip, etnosentrik dan prejudis serta melahirkan kebimbangan syak wasangka yang akhirnya boleh mengkebumikan warisan sesuatu masyarakat atau komuniti.

Rampasan nilai sebenar keagamaan oleh segolongan yang berkepentingan mahupun pengganas keagamaan atas kepentingan sendiri memerlukan golongan bersifat sederhana tidak bersikap senyap dan membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh puak radikal kerana kumpulan ini akan bertanggapan menerima persetujuan tidak bertulis dari anggota masyarakat yang mendiamkan diri. Yang senyap dan diam perlu keluar dari kepompong keselesaan agar turut sama menentang secara terbuka sebarang tindakan golongan yang rakus bergerak diluar batasan kemanusiaan.

Pertembungan nilai amalan baru masa kini, tafsiran, pengurusan dan kumpulan umur juga akan menyumbang ke atas perilaku sedemikian rupa. Maka, rasa sifat bertanggungjawab ke atas nilai kenegaraan amat penting dalam usaha kita mempertahankan apa yang sudah diiktiraf selama ini yang turut memerlukan penambahbaikan dilakukan secara berterusan supaya peningkatan taraf hidup berkualiti dalam kumpulan di bawah garis kemiskinan akan memberikan mereka keadilan sosial yang akan memberikan nilai tambah kepada pemetaan dunia luar ke atas Malaysia. Kepunyaan dengan sifat kompromi dan berkorban juga mencermin nilai kesederhanaan yang telah mendasari susur- galur pembentukan negara-bangsa selama ini tetapi ia bukan satu jaminan akan bersifat kekal.

Malaysia sudah merungkai perincian yang wajar dijadikan sebagai kayu ukur kepada nilai yang dikongsi dan cabaran besar adalah untuk terus memastikan negara ini kekal muhibbah, aman, damai dan harmoni agar kesederhanaan akan menatang kemuafakatan hubungan pelbagai etnik tanah air ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved