Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Enam agenda tumpuan Rahman Dahlan

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Abdul Rahman Dahlan (kanan) diiringi oleh Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin (tengah) melawat bazar Jalan Masjid India di Program Food For Life Minggu Ke-188 di Perkarangan Masjid India, Kuala Lumpur, pada 8 Oktober lalu. - UTUSAN/ ABDUL NAZIR MOHAMED

KIRA-KIRA pukul 8.00 malam (8 Oktober) lalu ibu pejabat syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. menerima kunjungan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Kedatangan beliau diiringi dengan beberapa pengurusan tertinggi kementerian antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Noriah Hashim; Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar), Datuk Halimi Abdul Manaf; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Datuk Ab. Rahim Md. Noor.

Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Dr. Mohd Padzil Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datin Maziah Adnan.

Abdul Rahman yang sebelum ini merupakan seorang Ahli Parlimen yang cukup vokal ketika berbahas di Dewan Rakyat sebenarnya bukanlah asing dengan pihak Utusan Malaysia.

Rata-rata wartawan Utusan Malaysia malah akhbar-akhbar lain yang sering membuat liputan Dewan Rakyat pasti akan mengenalinya kerana kepetahannya mematahkan hujah-hujah pihak pembangkang dengan menggunakan fakta-fakta bernas dan tepat.

Bagaimanapun kelibatnya sebagai penyokong kerajaan yang berperanan mempertahankan kerajaan, dalam masa sama 'menyerang' pihak pembangkang pada sesi Parlimen kali ini tidak lagi kelihatan apabila beliau dilantik sebagai menteri penuh selepas berjaya mempertahankan kawasan Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Malah ketika ditanya mengenai perkara tersebut semasa berkunjung ke pejabat Utusan, Abdul Rahman mengakui yang beliau kadang kala 'geram' dengan pihak pembangkang namun terpaksa dipendamkan memandangkan kedudukannya sebagai seorang menteri.

Berbalik pada sesi lawatannya ke pejabat Utusan, Abdul Rahman serta ahli-ahli rombongannya menarik perhatian mengenai enam program baru kementeriannya yang bertujuan mensejahterakan hidup rakyat di bandar sekali gus memberi lebih keselesaan kepada golongan terbabit terutama dalam keadaan kos hidup semakin meningkat.

Enam program itu ialah:

n Penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP).

Beliau berkata, penubuhan JPP merupakan satu anjakan baru di bawah kementeriannya khusus untuk membantu rakyat yang tinggal di kawasan bandar.

JPP katanya akan berfungsi sama seperti dengan Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang bertindak sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat.

''Dengan adanya JPP penduduk-penduduk mempunyai platform untuk membuat sebarang aduan terhadap masalah atau sebarang isu yang mereka hadapi. Melalui JPP setiap masalah itu akan dipanjangkan kepada pihak kerajaan untuk diselesaikan dengan segera,'' katanya lagi.

n Program rumah transit

Ujarnya, program tersebut bertujuan membantu pasangan muda yang baru berkahwin untuk memiliki sebuah kediaman yang selesa di kawasan bandar.

Sasaran ditujukan kepada pasangan yang memiliki pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dan tempoh sewaan yang ditetapkan adalah selama dua tahun.

Kata Abdul Rahman, kerajaan berpendapat dalam tempoh dua tahun pasangan terbabit mampu mencari jalan untuk membeli rumah pertama mereka dalam tempoh berkenaan.

Sebagai permulaan kepada projek tersebut, tumpuan akan dilaksanakan di bandar besar seperti Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke bandar-bandar lain pada masa akan datang.

Dalam pada itu Abdul Rahman dalam satu kenyataan akhbar pada 11 Julai lalu berkata, pihak kementerian memperuntukkan 10 peratus daripada jumlah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa golongan berkenaan dengan kadar hanya RM124 sebulan di bawah program itu.

n Xchange Rakyat

Menurut beliau, melalui program tersebut pihak kementerian akan membantu mana-mana penduduk bandar yang mempunyai kemahiran atau bakat tertentu untuk menambahkan pendapatan mereka.

Untuk itu pihak kementerian akan mewujudkan gerbang Xchange Rakyat di internet bagi memudahkan orang ramai menggunakan khidmat mereka.

''Ini bukannya program pekerjaan kedua sebaliknya kita gunakan segala kemahiran atau bakat yang mereka ada dan mungkin juga itu merupakan hobi mereka untuk kita tingkatkan pendapatan masing-masing,'' katanya.

Apatah lagi katanya dalam keadaan kos sara hidup di bandar yang semakin meningkat.

Sebagai contoh beliau berkata terdapat penduduk di kawasan bandar yang mempunyai bakat serta kemahiran tertentu antaranya sebagai guru tuisyen, tukang masak, tukang paip atau pun sebagai penjaga kanak-kanak.

''Melalui program ini anda boleh menjadi seorang guru dan seorang tukang masak yang baik, atau seorang pemandu teksi atau seorang tukang baiki paip. Hasilnya anda boleh menjanakan wang daripada kemahiran dengan bekerja pada hujung minggu atau pada waktu malam, " katanya.

Kata Abdul Rahman, melalui gerbang Xchange juga penduduk boleh mendapat maklumat mengenai perkara-perkara lain antaranya kemudahan car pool yang ditawarkan oleh mana-mana penduduk bertujuan mengurangkan kos pengangkutan.

n Buskers Corner

Abdul Rahman berkata, Buskers Corner merupakan satu inisiatf kementerian menyediakan sudut-sudut tertentu di kawasan-kawasan terpilih khusus untuk pemuzik jalanan membuat persembahan.

Beliau yakin melalui program Buskers Corner selain memberi peluang kepada pemuzik jalanan menampilkan bakat mereka, orang ramai terutama generasi muda boleh menjadikannya sebagai salah satu aktiviti yang menghiburkan.

Malah beliau berkata, pihak kementerian juga merancang menyediakan sudut-sudut untuk persembahan teater-teater mini bagi menghiburkan warga kota.

n Program Bahasa Inggeris

Abdul Rahman berkata, program itu juga merupakan program baru pihak kementerian dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar termasuk juga graduan yang telah menamatkan pengajian.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti bentuk aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi memudahkan program tersebut dilaksanakan.

''Saya yakin program ini mampu memberi manfaat serta nilai tambah kepada para pelajar dan graduan terutama dalam usaha kita mempersiapkan mereka dengan kemahiran berbahasa Inggeris,'' ujarnya.

n Transformasi Sosial

Terakhir katanya ialah inisiatif transformasi sosial yang bertujuan untuk menjadikan warga kota lebih seimbang, adil dan saksama.

Bahkan beliau berkata, melalui inisiatif itu juga pihak kementerian berhasrat melahirkan lebih ramai warga kota yang terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawan termasuk kerjasama dengan pihak lain antaranya, 1Malaysia For Youth (iM4U).

Semoga keputusan kalimah Allah berpihak kepada umat Islam

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh Azman Anuar

DALAM kerancakan ahli-ahli UMNO memilih barisan kepimpinan baharu untuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri hari ini, jangan dilupakan peristiwa penting yang akan dilakar pada Isnin ini.

Keputusan penting yang kita tunggu-tunggu tentang kes penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Katolik, The Herald akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober ini.

Keputusan kes ini diharap memihak kepada umat Islam supaya ia tidak dijadikan kes rujukan untuk tuntutan-tuntutan lain yang bersangkutan dengan agama Islam selepas ini. Malah diminta dijauhkan Allah juga daripada niat pihak tertentu untuk menggugat dan mencabar perkara berkaitan Raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan dan lain-lain di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Barangkali 'keberanian' untuk mencabar Perlembagaan ini bermula pada Disember 2009, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan akhbar The Herald boleh menggunakan perkataan "Allah" sebagai merujuk kepada "God" dalam akhbar itu versi bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Pusat bagaimanapun merayu keputusan tersebut. Sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan wajib diambil kira.

Dalam Perlembagaan, Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi nampaknya sekarang agama lain pula yang berlebih-lebih minta diberi hak yang sama.

Dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid Kuala Lumpur semalam, khatib menyatakan percubaan menggunakan kalimah Allah di dalam kitab selain al-Quran, akan menimbulkan kecelaruan dalam akidah atau kepercayaan umat Islam. Islam menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus).

Kedudukan agama dan umat Islam pada hari ini diancam dari segenap penjuru sama ada dari segi sosial, syariah dan akidah. Mereka melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan sehingga memberi pandangan dan pentafsiran yang salah tentang agama Islam dan kalimah Allah. Lebih mendukacitakan mereka sanggup mempertikaikannya sehingga membawa isu ini ke mahkamah.

Jika kalimah Allah dibenarkan, ada segelintir penganut Kristian mungkin bertanya; kenapa umat Islam perlu keliru? Kenapa orang Islam hendak baca Bible? Kenapa pula umat Islam hendak pergi gereja ketika orang Kristian sembahyang?

Ada juga yang ekstrem, menyatakan penganut Kristian tidak perlu kebenaran sesiapa untuk menggunakan perkataan "Allah", apatah lagi daripada orang yang 'bukan pemilik' perkataan Allah.

Sememangnya umat Islam bantah dan marah terhadap kenyataan seumpama ini. Kerana, apabila kalimah Allah digunakan secara langsung di dalam akhbar tersebut atau Bible versi bahasa Melayu, tindakan itu akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan mereka.

Lebih membimbangkan ialah agenda tersirat penggunaan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama. Perkataan Allah, solat, tauhid, Rasul, Kaabah, haji merupakan hak orang Islam yang tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak kerana ia akan menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal sifat-sifat Allah serta menggugat akidah.

Perkembangan ini sangat bahaya kerana boleh mempengaruhi umat Islam atas dasar hak asasi manusia.

Ada segelintir pemimpin Islam negara ini yang dilihat terpengaruh dengan dasar tersebut hingga tergamak memperjuangkan liberalisasi, pluralisme agama dan menghalalkan LGBT dan sanggup menggadaikan agama Islam dan negara.

Sebagai umat Islam yang beriman, kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah Allah semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain, hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

Adakah kita sanggup mendengar golongan bukan Islam memanggil gereja mereka sebagai rumah Allah? Mahukah kita mendengar panggilan nama Tuhan dan berhala mereka sebagai Allah?

Sudah pasti ramai umat Islam yang tak kuat imannya akan terkeliru, terpesong dan mungkin murtad. Jadi, umat Islam negara ini kena bertanggungjawab menyekat gerakan kelompok ekstremis dalam pertubuhan agama.

Semoga keputusan Mahkamah Rayuan Isnin ini menamatkan kebimbangan umat Islam Malaysia.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved