Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Benjy dibebas tuduhan miliki dadah

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

BENJY (tiga dari kiri) bersama barisan peguamnya selepas dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan memiliki dadah di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini terhadap tuduhan pindaan memiliki dadah jenis syabu, Jun lalu.

Selain Benjy, 34, turut dilepas dan dibebaskan adalah empat rakannya iaitu Imran Radzi, 32, Afifi Hamidi, 27, serta pasangan suami isteri Asmanizam Mohamed Akhir, 32, dan Norazila Arzami, 27.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene memaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan ke atas kelima-lima tertuduh terbabit.

Ai Rene memohon kesemua lima tertuduh dilepas tanpa dibebaskan memandangkan seorang lagi rakan mereka, Zain Amir Zainal Khairi, 37, yang didakwa atas pertuduhan sama telah mengaku bersalah dan didenda RM4,000 atau penjara dua bulan oleh mahkamah yang sama.

Anak kepada pelakon Azean Irdawaty itu didakwa bersama-sama lima yang lain atas tuduhan pindaan memiliki satu beg kecil berzip yang mengandungi 2.99 gram syabu di rumah bernombor C-2-2 Oakleaf Park Kondo, Blok C, Persiaran Bukit Jaya, Hulu Kelang, kira-kira pukul 11.30 pagi, 26 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan asal ketika mereka dihadapkan ke mahkamah pada 2 Julai lalu, kesemuanya didakwa memiliki satu beg kecil berzip yang mengandungi 4.7 gram dadah berkenaan di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan pindaan ke atas kesemua mereka dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mengetuai barisan pembelaan bagaimanapun memohon mahkamah melepas dan membebaskan kelima-lima tertuduh dengan alasan Zain Amir telah mengaku bersalah atas pertuduhan itu sebelum ini.

Mahkamah membenarkan permohonan Amer Hamzah.

Benjy ketika ditemui di luar mahkamah selepas itu melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut.

"Buat masa ini saya mahu jauhkan diri daripada industri ini (perfileman) dan tumpukan kepada perniagaan. Kes ini banyak memberi impak, saya kehilangan kerja kerana tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya," katanya.

Pada 17 Ogos tahun lalu, Mahkamah Majistret di ibu negara menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan selepas mendapati Benjy bersalah memiliki syabu seberat 0.24 gram.

Dua rakan lepas bebas tuduhan rasuah

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

SHAH ALAM 11 Okt. - Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini amat bermakna kepada dua sahabat apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 setelah disabitkan atas dua tuduhan rasuah.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian setelah membenarkan rayuan Azman Annhar, 47, dan Latifah Mahfodz, 48, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang semasa mensabitkan tuduhan rasuah berhubung aktiviti pengeluaran pasir secara haram di Hulu Langat.

Hakim Ghazali dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai saksi walaupun ketika perbicaraan, beberapa saksi mengaitkan nama Abu Kassim dalam kes itu.

"Kegagalan memanggil Abu Kassim sebagai saksi adalah prejudis kepada pihak pendakwaan. Justeru, mahkamah membenarkan rayuan perayu-perayu dan melepas serta membebaskan kedua-dua mereka daripada tuduhan tersebut," kata beliau.

Pada 10 Oktober 2011, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM100,000 atau penjara 10 bulan terhadap Azman dan Latifah bagi dua pertuduhan setelah mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, seramai 24 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan telah dipanggil memberikan keterangan.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada kontraktor, Adnan Abd. Mokhtar, 44, untuk diberikan kepada Pejabat Tanah Daerah Hulu Langat dan SPRM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan supaya jabatan berkenaan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang menjalankan aktiviti pengeluaran pasir secara tidak sah di tanah kerajaan di Bukit Enggang, Hulu Langat.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10 malam, 14 Januari 2010 di Restoran Thoiba di No. 11A, Jalan 2, Batu 9, Cheras, Hulu Langat.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima rasuah RM10,000 daripada Nur Aida Ariffin untuk tujuan sama di tempat yang sama pada pukul 5.25 petang, 18 Januari 2010.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Selepas prosiding tamat, Azman ketika ditemui media di luar mahkamah hanya mengucapkan 'Alhamdulillah' tanda bersyukur manakala Latifah menyatakan dia gembira kerana semuanya selamat.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved