Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Penduduk dihantui banjir kilat

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

Mohd. Zalman Ibrahim mengemas sebahagian perabot rumah yang ditenggelami air akibat banjir kilat di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor, semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

KAJANG 11 Okt. - Banjir kilat di Sungai Ramal Dalam, di sini semalam merupakan yang terburuk pernah berlaku di kawasan tersebut dalam tempoh 20 tahun.

Menurut penduduk, biarpun kawasan di situ sering dilanda banjir, namun air hanya naik paras buku lali tidak seperti yang berlaku semalam mencecah sehingga paras pinggang.

Hujan lebat bermula pukul 4 petang dan berakhir kira-kira pukul 6 petang itu menyebabkan kawasan tersebut ditenggelami air sekali gus merosakkan perabot serta barang-barang di dalam rumah.

Bukan itu sahaja, motosikal dan kereta penduduk juga turut rosak akibat dimasuki air.

Tinjauan Utusan Malaysia ke Sungai Ramal Dalam hari ini mendapati, kebanyakan penduduk bertungkus-lumus membersihkan rumah mereka yang masih lecak berikutan kejadian banjir semalam.

Perabot seperti sofa dan kerusi dijemur di luar rumah bagi memastikan ia benar-benar kering dan boleh digunakan semula.

Katil dan almari kayu juga rosak akibat ditenggelami air dalam tempoh yang lama.

Selain itu, dinding-dinding rumah turut rosak dan berbau busuk.

Malah, penduduk mendakwa disebabkan banjir yang berlaku mereka terpaksa membeli sebuah alat pemancut air semata-mata bagi membersihkan perabot dan barang yang kotor.

Difahamkan terdapat beberapa faktor utama menyebabkan banjir kilat itu berlaku, antaranya projek pembinaan rumah banglo di kawasan berhampiran .

Tindakan pemaju yang menambak tanah di kawasan tersebut didakwa telah menyebabkan sebahagian kawasan terhakis sekali gus menyumbang kejadian banjir kilat.

Seorang penduduk, Suzana Abdullah, 45, berkata, banjir yang berlaku semalam merupakan yang terburuk sejak dia menetap lebih 20 tahun di situ.

"Sebelum ini memang kerap berlaku banjir, tapi disebabkan pembinaan banglo dan saliran yang tidak sempurna menyebabkan masalah banjir kilat bertambah buruk dari tahun ke tahun.

"Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada turun membuat tinjauan ke kawasan ini, namun sampai sekarang tiada jalan penyelesaian diambil," katanya.

Sementara itu, Muhammad Adzzam Khamsani, 25, berkata, dia terpaksa membersihkan semua perabot yang ada di dalam rumah kerana dipenuhi lumpur.

"Bukan senang membersihkan perabot yang kotor, kerana ia memakan masa yang lama untuk kering.

"Saya minta JPS serta wakil penduduk turun padang dan cari penyelesaian kepada masalah yang sering dihadapi penduduk di sini," ujarnya.

Dalam nada sama, Mohd. Zalman Ibrahim, 72, berkata, kejadian banjir tersebut mengakibatkan dia kerugian lebih RM10,000.

"Ada sebahagian daripada perabot saya terpaksa dibuang kerana rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Malah, katil di bilik juga turut rosak.

"Selain itu, pakaian kami juga ditenggelami air dan terpaksa dibasuh semula," katanya.

Isterinya, Esah Hassan, 64, yang menderita pelbagai penyakit berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menangani masalah tersebut dengan segera.

"Disebabkan banjir semalam, kaki makcik ditenggelami air dan menyebabkan seluruh badan kejang dan sakit," katanya yang menghidap kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung.

Pasar Usahawan Asnaf MAIWP peluang kembang perniagaan

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Penolong Pengurus Unit Pembangunan Asnaf Ekonomi Baitulmal MAIWP, Mohd. Saiful Hafiz Abdullah (bertopi merah) melawat gerai yang mengambil bahagian dalam Program Pasar Usahawan Asnaf MAIWP di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Program Pasar Usahawan Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang berlangsung pada setiap Ahad bermula 6 Oktober lalu dari pukul 7 pagi sehingga 1 tengah hari memberi peluang kepada usahawan asnaf memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Program di bawah bahagian pembangunan ekonomi MAIWP itu menggunakan khidmat Interlink Impact Holding Sdn. Bhd. (IIHSB) selaku penggerak utama.

Pengarah IIHSB, Amizar Abu Adam berkata, menerusi program itu pihaknya berhasrat membangunkan usahawan-usahawan asnaf di seluruh negara.

Menurutnya, pasar ini melibatkan seramai 48 usahawan yang menjalankan perniagaan menjual makanan, barangan runcit, barangan basah, pakaian dan aksesori.

"Antara objektif program ini untuk memberi peluang kepada usahawan asnaf memulakan dan mengembangkan perniagaan selain memberi persediaan kepada mereka untuk mencari tapak dan seterusnya mampu berniaga sendiri tanpa dibantu serta melatih usahawan untuk berdikari seterusnya keluar daripada status asnaf," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Amizar memberitahu, pihaknya telah merangka pelbagai strategi bagi membantu belia, ibu tunggal, siswazah menganggur dan asnaf miskin bandar menerusi program yang sesuai seperti program Produk Pembangunan Pertanian dan Industri Asas Tani yang boleh menjamin keuntungan kepada usahawan-usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan.

"Dalam program ini, pelbagai elemen penting ditekankan seperti penjenamaan, pelabelan dan pembungkusan yang lebih berkesan untuk pasaran dalam dan juga luar negeri.

"Program Pasar Usahawan Asnaf umpamanya melibatkan pelbagai agensi termasuk di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," jelasnya.

Beliau seterunya menyeru masyarakat supaya menyokong penglibatan asnaf dalam perniagaan agar mereka mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.

MPS serbu rumah simpan barang lusuh

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang bertungkus-lumus mengeluarkan barang kitar semula yang disimpan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Memasukki pekarangan sebuah rumah teres di Taman Desa Jaya, Kepong di sini cukup mengejutkan.

Timbunan pelbagai barangan lusuh didapati memenuhi kawasan luar rumah berkenaan selain bau memual menusuk hidung.

Selain kehadiran makhluk perosak seperti lipas, tikus dan ulat sampah, kawasan persekitaran di situ sememangnya cukup menyakitkan mata dan tidak sesuai dijadikan tempat berteduh.

Bertindak atas aduan penduduk dan hasil siasatan, satu Operasi Bersepadu Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan bersama Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dijalankan ke atas kediaman tersebut di sini hari ini.

Dalam serbuan yang dijalankan oleh kira-kira 20 Penguat Kuasa MPS kira-kira pukul 10 pagi, berlaku pergelutan antara penguat kuasa dengan tuan rumah berusia pertengahan 30-an yang dilihat enggan memberi kerjasama.

Suasana pilu menyelubungi operasi tersebut apabila dua anak kecil berusia tiga tahun dan enam bulan tidak berhenti-henti menangis.

Ketua Operasinya, Siti Fatimah Ibrahim berkata, operasi tersebut merupakan kali ketiga dijalankan selepas tuan rumah masih berdegil dan tetap meneruskan kegiatan menjadikan kediaman sebagai tempat menyimpan barangan lusuh.

Menurutnya, dalam operasi itu pelbagai barangan lusuh dan kitar semula termasuk sebuah kereta buruk telah disita.

"Notis peringatan dan kompaun telah diberikan sebelum ini selepas pihak kami menerima aduan dan siasatan telah dilakukan," katanya.

Tambah Siti Fatimah, pihaknyajuga dimaklumkan oleh wakil penduduk di situ keluarga berkenaan dalam serba serbi kekurangan dan bergantung hidup dengan mengutip dan menjual besi buruk.

"Diharapkan pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wakil rakyat di kawasan ini boleh membantu keluarga tersebut," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved