Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Wanita nyaris maut terkena tembakan di lampu isyarat

Posted: 11 Oct 2013 10:41 PM PDT

KOTA BAHARU 12 Okt. - Seorang wanita berusia 22 tahun nyaris maut terkena tembakan di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Binjai, Kubang Kerian di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata kejadian pukul 6.40 petang itu menyebabkan Nurul Atikah Sidek mengalami luka di bahagian hidung, muka serta tangan kanan dipercayai kesan terkena serpihan cermin kereta yang pecah akibat tembakan.

"Terdapat lima kesan tembakan ditemui pada kereta mangsa iaitu dua di cermin sebelah kanan pemandu, satu pada pintu dan dua di cermin hadapan sebelah pemandu.

"Tembakan itu bagaimanapun tidak tepat mengenai mangsa dan penembak kemudian melarikan diri ke arah Bachok dengan motosikal," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mazlan berkata ketika kejadian, wanita yang berasal dari Kampung Karang Banggu, Kota Baharu itu sedang memandu kereta seorang diri dari arah Bachok menghala ke Kubang Kerian sebelum berhenti di lampu isyarat itu.

Beliau berkata kereta jenis Proton Persona itu dihampiri empat individu yang menaiki dua motosikal sebelum seorang daripada pembonceng motosikal itu melepaskan lima das tembakan.

"Mangsa yang dalam keadaan berlumuran darah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan keadaannya stabil.

"Mangsa memberitahu tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa dan kemungkinan dalam kes ini suspek tersalah sasaran," katanya. - BERNAMA

4 lagi penjenayah mati ditembak

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh NORAZRIN MARZUKI
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA polis membawa keluar mayat penjenayah yang ditembak di Flat Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Hiliran, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Empat lagi penjenayah dipercayai warga asing yang menjadikan rumah orang kenamaan (VIP) sebagai sasaran samun sejak 2008, mati ditembak dalam insiden berbalas tembakan dengan sepasukan polis di Flat Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Hiliran dekat sini hari ini.

Kesemua suspek yang merupakan anggota Geng Alphard itu mati ditembak anggota dari kontinjen Kuala Lumpur yang bertindak atas maklumat berhubung satu kejadian samun di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa kira-kira pukul 3 pagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, hasil risikan, pihak polis telah menyerbu sebuah unit rumah yang dipercayai didiami oleh seorang ahli kumpulan tersebut bersama ahli keluarganya kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Katanya, semasa kejadian bagaimanapun ahli keluarga suspek berkenaan tiada di rumah itu.

"Ketika mengarahkan kesemua suspek menyerah diri, mereka bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah polis sehingga memaksa polis membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

"Selepas kejadian itu, polis yang melakukan pemeriksaan menemukan empat mayat penjenayah tersebut berusia 30-an hingga 40-an di ruang tamu, bilik tidur dan bilik air rumah tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menemukan sejumlah barang kemas yang disamun di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa, sepucuk pistol Revolver yang disamun dari sebuah rumah VIP baru-baru ini serta sebilah parang.

Mohmad menambah, siasatan mendapati rumah yang diserbu itu dijadikan transit oleh kesemua ahli kumpulan tersebut sebelum membawa barangan yang disamun ke Batam, Indonesia.

"Hasil pemeriksaan, kesemua ahli kumpulan itu dikesan kerap keluar masuk dari Batam, Indonesia, dipercayai untuk melarikan diri selepas melakukan samun selain menghantar barangan yang disamun ke negara itu bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya lagi.

Menurut beliau, polis percaya kumpulan yang terdiri daripada empat hingga enam ahli itu aktif melakukan samun dan pecah rumah khususnya kediaman VIP di sekitar ibu negara dan beberapa negeri lain sejak 2008.

Mohmad memberitahu, sebelum serbuan itu, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan di luar rumah tersebut dipercayai baru selesai menjalankan urusan jual beli barangan samun.

"Polis kini sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan terbabit yang disifatkan berbahaya kerana mempunyai senjata api dan sehubungan itu, kami meminta orang ramai membantu menyalurkan maklumat bagi membantu usaha menjejaki mereka," tambahnya.

Sementara itu, penduduk, Shah Edquan Hamdan, 18, ketika ditemui memberitahu, dia terdengar tiga bunyi letupan dan pada awal tidak menghiraukannya kerana menyangka kanak-kanak sedang bermain mercun.

"Kira-kira 10 minit selepas itu saya terdengar hiruk-pikuk orang ramai dari tingkat atas dan apabila naik ke tingkat 15 saya mendapati polis telah berada di kawasan tersebut dan tidak membenarkan penduduk masuk," katanya.

Kelmarin, tiga penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini, kurang empat jam selepas menyamun seorang wanita yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank di Bayu Perdana, Klang.

Keesokannya, iaitu kurang 24 jam selepas itu, polis Perak menembak mati tiga lagi penjenayah yang baru merompak sebuah kedai emas di bandar Meru Raya di Ipoh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved