Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Ancaman denggi di Selangor membimbangkan

Posted: 11 Oct 2013 02:54 AM PDT

SHAH ALAM 11 Okt. - Ancaman denggi di Selangor berada dalam keadaan yang sangat membimbangkan berikutan meningkatnya kes jangkitan dan kematian serta lokaliti wabak setakat minggu ke-40 tahun ini.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor hari ini terdapat 11,498 kes dilaporkan setakat 5 Oktober lepas iaitu peningkatan 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Dalam pada itu, sebanyak 230 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh Selangor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) daripadanya di daerah Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di daerah Gombak.

Jabatan itu dalam kenyataan menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti hotspot atau wabak berlarutan di Selangor.

Selain itu, ancaman denggi di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan apabila 23,829 kes dilaporkan tahun ini, iaitu meningkat 42.44 peratus berbanding 16,729 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 52 kematian dilaporkan setakat ini berbanding 27 kematian bagi tempoh sama tahun lepas. - BERNAMA

Malaysia Airlines sedih kematian kru, penumpang

Posted: 11 Oct 2013 01:19 AM PDT

KUALA LUMPUR 11 Okt. - Malaysia Airlines (MAS) meluahkan rasa sedih atas kematian pembantu juruterbang MASwings, Marc Joel Bansh, 22 dan penumpang Tan Ah Chai, 96, susulan nahas pesawat Twin Otter milik MASwings di Kudat semalam.

MAS dalam kenyataan hari ini berkata, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan yang juga Pengerusi MASwings Ahmad Jauhari Yahya sudah menziarahi semua mangsa yang dirawat di hospital di Kudat bagi memastikan kebajikan mereka dijaga.

Pesawat malang itu membawa 16 orang termasuk kru dan daripada jumlah itu 15 ialah rakyat Malaysia manakala seorang lagi warga Filipina.

Nahas berlaku dalam kawasan Lapangan Terbang Kudat pada pukul 2.50 petang semalam ketika pesawat yang dikemudi oleh Kapten Wan Mohd Abd Amir Wan Yahya bersama-sama Marc Joel sedang melakukan pendaratan.

Menurut kenyataan itu pesawat tersebut berada dalam keadaan baik sebelum nahas berlaku.

Punca kejadian masih belum dapat dipastikan dan MAS bersama-sama MASwings akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan, kata kenyataan itu.

"Malaysia Airlines juga melakukan segala yang mampu untuk membantu pihak terjejas menghadapi tempoh sukar ini," kata kenyataan itu.

MAS juga membuka pusat perkhidmatan yang beroperasi 24 jam dan keluarga mangsa boleh menghubungi talian 03-78841234 untuk sebarang pertanyaan. - BERNAMA

TH urus badal haji untuk jemaah meninggal dunia

Posted: 11 Oct 2013 12:10 AM PDT

GEORGETOWN 11 Okt. - Lembaga Tabung Haji akan menyempurnakan ibadah badal haji bagi jemaah yang meninggal dunia sebelum sempat melaksanakan wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah yang jatuh pada 14 Oktober ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya akan turun padang untuk memperkenalkan pegawai yang akan menguruskan penghantaran barang dan sijil kematian jemaah haji yang meninggal dunia, kepada waris mereka.

"Kita telah menubuhkan bilik gerakan khusus untuk tujuan ini bagi memastikan segala urusan berkenaan jemaah haji yang meninggal dunia berjalan lancar.

"Setakat ini lapan orang jemaah meninggal dunia iaitu tiga dari Perak, masing-masing seorang dari Kedah, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang," katanya di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Salbiah Osman, 69, yang merupakan jemaah haji kelapan negara meninggal dunia di tanah suci Mekah.

Terdahulu, keluarga arwah mengadakan tahlil di rumahnya di Sungai Tiram, Bayan Lepas di sini.

Salbiah yang meninggal dunia akibat strok dan serangan jantung dikebumikan di tanah perkuburan Syaraek, Makkah, 8 Oktober lepas. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved