Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Lahirkan pemimpin berwibawa

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 11 Okt. - Persatuan belia merupakan permulaan terbaik dalam melahirkan pemimpin yang berwibawa bagi mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ramai pemimpin negara memperoleh pengalaman dalam persatuan belia di tempat masing-masing sebelum melibatkan diri dalam politik dan sebagainya.

"Banyak manfaat diperolehi melalui penyertaaan dalam organisasi belia termasuk memupuk sifat kepimpinan. Kita boleh lihat kebanyakan pemimpin berjaya hari ini bermula daripada penglibatan dalam belia.

"Tidak dinafikan melalui organisasi belia, kita mampu lihat keupayaan dan kebolehan memimpin yang ditonjolkan," katanya ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Belia Negara peringkat Negeri Pahang di sini semalam.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain dan Pengarah Belia dan Sukan negeri, Kamarulzaman Hassan Mansor.

Menurut Adnan, golongan belia dalam lingkungan umur 15 hingga 40 tahun memainkan peranan yang penting dalam masyarakat melalui kemahiran dan kepakaran sedia ada.

"Di Pahang misalnya terdapat 720 pertubuhan belia berdaftar dalam pelbagai kegiatan yang menjadi pilihan.

''Saya harap golongan belia menjadi ikon yang terbaik melalui penglibatan dalam ekonomi dan pembangunan negeri secara amnya," jelasnya.

Beliau mahu golongan belia di negeri ini mempersiapkan diri dengan ilmu, kreatif dan berinovasi selain berpengetahuan dalam teknologi maklumat dalam mengharungi cabaran di masa depan.

Pada majlis tersebut, Adnan turut menyampaikan anugerah belia melibatkan 15 kategori antaranya Tokoh Jasa Belia Lelaki kepada Datuk Faisal Abdullah; Tokoh Jasa Belia Wanita kepada Datuk Mimi Asmara Abdul Malek manakala Tokoh Jasa Cemerlang Belia kepada Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Turut mendapat pengiktirafan ialah tiga pendaki Gunung Everest yang merupakan anak kelahiran negeri ini iaitu Mohd. Nasuha Shamsudin, 21; Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, kedua-duanya dari Felda Tersang 3, Raub dekat sini dan Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, dari Felda Chini Timur Satu, Pekan.

Mereka dinobatkan Anugerah Khas Daya Juang Negeri Pahang.

Abdul Fattah terima Tokoh Jasa Cemerlang Belia

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

ADNAN Yaakob (tengah) memperkatakan sesuatu kepada Abdul Fattah Abdullah (kiri) sambil diperhatikan oleh Mohd. Johari Hussin pada Malam Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2013 di Dewan Jubli Perak di Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 11 Okt. - Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Jasa Cemerlang Belia sempena Malam Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2013 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Pengiktirafan tersebut sebagai menghargai jasa beliau yang bergiat aktif dalam persatuan belia sejak 1997 hingga sekarang.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussin dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Kamarulzaman Hassan Mansor.

Pada majlis tersebut, Adnan turut menyampaikan 14 lagi anugerah, antaranya Tokoh Jasa Belia Lelaki kepada Datuk Faisal Abdullah dan Tokoh Jasa Belia Wanita kepada Datuk Mimi Asmara Abdul Malek.

Yang turut mendapat pengiktirafan ialah tiga pendaki Gunung Everest Felda yang merupakan anak kelahiran negeri ini iaitu Mohd. Nasuha Shamsudin, 21; Myrza Fasha Md. Hamyrudin, 25, kedua-duanya dari Felda Tersang 3, Raub dekat sini dan Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22, dari Felda Chini Timur Satu, Pekan.

Mereka dinobatkan Anugerah Khas Daya Juang Negeri Pahang.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Tetap Alumni Gerakan Belia 4B Malaysia berkata, beliau amat bersyukur dan terharu dengan pengiktirafan tersebut dan menyifatkan sebagai penghargaan ke atas usaha-usaha yang dilakukan dalam membangunkan golongan belia.

"Perjalanan yang saya lalui dalam memajukan golongan belia terutama dalam berpersatuan bukan sesuatu yang mudah. Prosesnya yang panjang mengajar saya menyelami kesusahan dan bersama-sama menangani setiap permasalahan yang dihadapi.

"Pengiktirafan ini amat bermakna dan memberi inspirasi untuk saya terus berbakti dalam usaha memperkasakan pembangunan belia pada masa kini," katanya ketika ditemui pemberita.

Selain itu, menurut Abdul Fattah, beliau berharap persatuan belia lebih memberi fokus dalam aktiviti ekonomi berbanding sosial dan rohani sebelum ini.

"Persatuan belia merupakan satu badan yang melahirkan ramai pemimpin masyarakat. Namun, aktiviti yang dilakukan lebih menjurus kepada sukan, budaya dan agama. Justeru, saya mencadangkan agar setiap persatuan belia melibatkan kegiatan pembangunan ekonomi dapat melahirkan lebih ramai usahawan berjaya pada masa akan datang," jelasnya.

Nilai secara kritis maklumat di media sosial

Posted: 11 Oct 2013 10:46 AM PDT

ISMAIL Abd. Muttalib (bersongkok) berbual dengan seorang DJ selepas merasmikan radio internet Kuala Sentol FM di Felda Jengka 3 di Maran, Pahang, kelmarin.

MARAN 11 Okt. - Pengguna internet perlu kritis menilai setiap maklumat dan laporan yang diperolehi daripada media sosial bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan adu domba dan fitnah.

Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, ini penting kerana media baharu seperti Facebook, Twitter dan blog semakin menjadi pilihan bagi mendapat maklumat tetapi apa yang diperolehi perlu dinilai dengan rasional.

''Kemajuan teknologi komunikasi itu satu nilai tambah ketamadunan manusia tetapi perlu digunakan dengan baik untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan.

''Justeru, rakyat perlu bersatu menghalang sebarang penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan apa juga kenyataan yang berunsur fitnah, perkauman dan keagamaan," katanya.

Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika berucap melancarkan Radio Internet Kuala Sentol FM 'Semuanya Di Sini' di Felda Jengka 3 di sini semalam.

Beliau seterusnya mahu rakyat Malaysia menggunakan kebebasan bersuara menerusi saluran media sosial dengan penuh tanggungjawab.

Tegas beliau, penggunaan media sosial adalah satu pendekatan yang sangat relevan bagi menyuarakan pendapat atau pun mempromosi produk tetapi perlu secara berhemah.

''Sebagai contoh mewujudkan radio internet adalah satu strategi paling berkesan untuk menyampaikan maklumat terus kepada pendengar.

''Radio internet Kuala Sentol FM adalah yang pertama seumpanya di negeri ini dan mampu merintis kepada perkembangan kaedah ini di seluruh Pahang," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved