Jumaat, 11 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Varieti padi baharu MRQ 74 diperkenal

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamad (kanan) menanam benih padi MRQ 74 simbolik Perasmian Perlaksanaan Kaedah Padi SRI Lot Sawah Kesang Tasek, Ledang, Muar, Johor semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad

LEDANG 10 Okt. - Varieti padi baharu, MRQ 74 dengan penanaman secara sistem intensifikasi (SRI) akan diperkenal di 1,531 hektar sawah di seluruh negeri ini tahun depan bertujuan meningkatkan hasil selain mengurangkan kebergantungan terhadap beras wangi import.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani negeri, Ismail Mohamad berkata, penggunaan benih itu dengan kaedah penanaman SRI adalah berasaskan konsep pertanian semulajadi (NF) untuk menghasilkan kualiti beras yang bermutu, bersih, halal dan terjamin selamat.

"Kelebihan MRQ 74 yang merupakan varieti Maswangi adalah kandungan gula di bawah 40 peratus berbanding varieti lain. Begitu juga varieti ini tahan serangan penyakit dan dihasilkan pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Produktiviti MRQ 74 melalui SRI mampu mencecah antara lima hingga enam tan metrik bagi sehektar berbanding tiga atau empat tan metrik dengan benih biasa," katanya dalam sidang akbar selepas merasmikan Petak Percubaan Pengurusan SRI Tanaman Padi MRQ 74 dan Majlis Penerangan Pembangunan Pertanian Muar/Ledang di Kesang Tasek di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Mustapha Omar dan Pegawai Pertanian Daerah Ledang, Abdullah Rashidi.

Ismail berkata, dengan benih dan kaedah itu bukan sahaja hasil mampu meningkat antara 50 hingga 100 peratus tetapi juga menjimatkan penggunaan benih sehingga 90 peratus dan penggunaan air 25 hingga 50 peratus.

Beliau berkata, kos pengeluaran khasnya penggunaan baja dan racun kimia untuk mengawal serangga atau penyakit yang secara langsung menjejaskan alam semula jadi dapat dikurangkan selain mengembalikan kesuburan tanah melalui penggunaan mikro organisma efektif (EM).

Beliau berkata, penggunaan benih dan sistem itu di negeri yang bukan jelapang padi seperti Johor dapat bertahan dalam musim kemarau dan proses menggembur tanah hanya perlu dilakukan dua kali berbanding kebiasaannya dilakukan beberapa kali.

"Cara yang dipanggil NF ini lebih mesra alam dengan mengembalikan semula keseimbangan alam semula jadi. Misalnya hidupan air di sawah seperti ikan haruan, keli, sepat, belut dan puyu kembali membiak serta hidup dengan baik.

"Serangga berguna akan hidup bebas serta bantu ekosistem sawah padi dengan baik. Kaedah ini juga dapat mengamalkan cara-cara membuat baja dan biopestisid semula jadi untuk mencegah perosak dan penyakit tanaman padi," katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, penggunaan SRI diterima pakai di 50 buah negara, antaranya Jepun, India, Nepal, Sri Lanka, Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Brazil, Panama dan Mesir sebagai kaedah alternatif untuk hasil tuaian berganda.

Di Johor, katanya, Ledang terpilih sebagai projek perintis kerana 60 peratus daripada pengeluaran padi di negeri ini disumbangkan dari daerah ini yang mempunyai kawasan tanaman padi seluas 580.16 hektar dengan 399 peserta.

Beliau berkata, terdapat lima kawasan sawah padi utama di sini iaitu di Kesang Tasek dengan keluasan 74.70 hektar melibatkan 48 peserta, Kesang Gate (32.4 hektar dengan 30 peserta), Pulau Penarek (50.7 hektar dengan 11 peserta), Telok Rimba (151.52 hektar dengan 90 peserta) dan Sawah Ring (270 hektar dengan 220 peserta).

29 Peladang Nita terima RM225,000

Posted: 10 Oct 2013 11:38 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my

Saipolbahri Suib menyampaikan sijil kursus gaya hidup peladang kepada seorang peserta Peladang Nita di Pontian, Johor, baru-baru ini.

PONTIAN 10 Okt. - Kumpulan Peladang Wanita (Peladang Nita) negeri ini menerima suntikan kewangan sebanyak RM225,000 bagi membantu menggerakkan pelbagai aktiviti mereka.

Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Datuk Seri Saipolbahri Suib berkata, peruntukan tersebut akan diagih-agihkan kepada 29 Peladang Nita menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing.

Beliau berkata, peruntukan tersebut boleh digunakan bagi tujuan latihan kepada ahli-ahli Peladang Nita yang terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti keusahawanan, pertanian dan ternakan.

"PPNJ menaruh keyakinan bahawa sumbangan dan peranan golongan wanita dalam membantu meningkatkan taraf sosio keluarga mereka, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

"Ini terbukti dengan keahlian kira-kira 22,000 peladang wanita daripada 85,000 ahli peladang pada ketika ini," katanya semasa melancarkan penubuhan Peladang Nita Negeri Johor di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Peladang Nita negeri, Zarina Mohd. Bain; Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Shammodin Abd. Halim dan Pengurus Besar PPNJ, Rosmin Jawahir.

Sempena pelancaran tersebut, turut diadakan kursus Gaya Hidup Peladang Nita yang melibatkan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh negeri itu.

Saipolbahri berkata, PPNJ juga akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap Peladang Nita bagi tujuan pengurusan untuk membolehkan mereka bergerak dengan lancar.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata, penglibatan golongan wanita dalam bidang pertanian memberi sumbangan besar bagi memperkukuhkan ekonomi negara.

"PPNJ sentiasa ingin melihat Peladang Nita terus berjaya dengan adanya latihan serta pendedahan yang mampu mengubah masa depan mereka melalui pencapaian yang membanggakan,'' katanya.

"Sejajar dengan transformasi pertanian negara, golongan peladang termasuk Peladang Nita juga diberikan peluang untuk menceburkan diri dalam bidang yang mampu menembusi pasaran dunia," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved