Ahad, 6 Oktober 2013

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Transformasi pendidikan prasekolah

Posted: 06 Oct 2013 12:02 PM PDT

Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

Kementerian Pendidikan dalam usaha mentransformasikan pendidikan negara meletakkan matlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan semua kemahiran baharu mengikut keperluan mereka sekali gus menangani cabaran abad ke-21.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diperkenalkan juga turut menggariskan strategi untuk menggerakkan transformasi ini meliputi semua peringkat persekolahan termasuk prasekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, berdasarkan PPPM, kementerian akan memastikan semua kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan berpeluang mengikuti pendidikan awal tanpa mengira status sosioekonomi mereka.

"Kementerian sentiasa berusaha meluaskan akses pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan termasuk pendidikan prasekolah dan matlamat itu terkandung pada teras sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan untuk prasekolah.

"Melalui usaha itu, guru prasekolah yang terlibat akan bersaing dan berkongsi idea serta kreativiti mereka untuk melaksanakan pengajaran menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang selari dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Amalan Terbaik pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Prasekolah Kebangsaan 2013 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Konvensyen yang bertemakan Memacu Pendidikan Prasekolah melalui Amalan Terbaik dengan fokus menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek, merupakan satu usaha kementerian meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah melalui PdP yang menarik minat murid, kreatif, inovatif dan berkesan.

Melalui penganjuran konvensyen itu, memberi peluang kepada guru bersaing dan mengemukakan satu contoh PdP yang mantap dengan menggunakan pelbagai strategi dan teknik, bersesuaian dengan kehendak Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Konvensyen juga bertujuan menghasilkan model PdP menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berasaskan Projek sebagaimana yang terkandung dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan sebagai rujukan dan panduan guru prasekolah.

Selain itu, konvensyen berkenaan menjadi platform kepada pihak yang terlibat untuk menyediakan model PdP yang boleh dijadikan penanda aras dalam usaha meningkatkan kecemerlangan guru.

Di samping itu, konvensyen turut memberi idea kepada guru prasekolah untuk merancang pelbagai strategi PdP agar lebih menarik dan menyeronokkan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif.

Definisi Amalan Terbaik dalam Pengajaran dan Pembelajaran bermaksud penghasilan PdP yang selari dengan kehendak kurikulum, kreatif, menarik dan berkesan yang menghasilkan perubahan yang positif di kalangan murid.

Peserta konvensyen sebanyak 54 orang terdiri daripada guru-guru prasekolah kementerian dari seluruh negara.

Mereka membentangkan kertas kerja dan PdP dengan fokus pendekatan pembelajaran berasaskan projek.

Penyertaan peserta dibahagikan kepada empat kategori iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Setiap peserta mengikut kategori dikehendaki terlibat melaksanakan projek di prasekolah masing-masing dengan minimum pelaksanaan projek dihadkan selama tiga minggu, selari dengan kehendak Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Berdasarkan projek yang dilaksanakan, peserta dikehendaki menyediakan kertas kerja, membuat pembentangan kertas kerja (dalam masa 15 minit) dengan mempersembahkan PdP yang turut disertai oleh lapan murid.

Aktiviti lain yang dilaksanakan sepanjang konvensyen termasuklah bengkel guru, pembentangan video amalan terbaik PdP dan pameran artifak atau produk.

Siri program berfikir aras tinggi Utusan Malaysia

Posted: 06 Oct 2013 12:02 PM PDT

UNIT Pendidikan Utusan Malaysia akan menganjurkan siri program Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (HOTS) berbentuk seminar, perbengkelan dan konvensyen bagi menyahut saranan kerajaan untuk meningkatkan prestasi pelajar dan guru kepada kelas pertama dunia dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penasihat Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain memberitahu, perbengkelan HOTS akan diselangselikan dengan program motivasi diri, iaitu sebagai sebahagian modul pengurusan perubahan dalam kalangan peserta program.

''Kita akan menyuntik minda peserta dengan sikap positif apabila menerima perubahan," ujarnya.

Untuk memenuhi permintaan ibu bapa, program awal akan diadakan sempena cuti persekolahan November dan Disember ini.

Kata Dr. Ismail, program sengaja diaturkan selepas semua peperiksaan kebangsaan selesai bagi membuka peluang pada masa senggang kepada guru dan pelajar mengikuti program yang menyentuh perkara penting itu.

Bagi guru, ujar Dr. Ismail, penganjuran siri program HOTS bertujuan melengkapi input daripada beberapa program dalaman sebelum ini bagi membolehkan mereka terus melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

''Guru yang berminat juga dijemput menyertai program," katanya.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Ismail berkata, Utusan Malaysia sebagai akhbar yang sentiasa mendahului dalam program dan penganjuran program pendidikan inklusif masa kini, membuat keputusan untuk membuka pintu kepada dialog tentang HOTS pada peringkat pelajar, pendidik dan pembuat dasar .

Katanya, seminar motivasi diri dan HOTS untuk pelajar bertujuan menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia serta aspirasi pendidikan negara yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk melahirkan pelajar yang bukan hanya sekadar cemerlang dalam akademik tetapi mempunyai kemahiran daya berfikir yang tinggi.

''Pembelajaran Abad Ke-21 memerlukan murid-murid mempunyai aras motivasi dan jati diri yang tinggi bagi menghadapi keperluan dalam proses pembelajaran yang semakin mencabar," kata Dr. Ismail.

Tambahnya, lebih penting lagi, program sebagai persediaan pelajar menghadapi peperiksaan serta tahap baru pada penggal persekolahan 2014.

Unit Pendidikan merupakan panel perunding kepada program perubahan pengurusan pembestarian sekolah, perunding pengisian dan bahan beberapa badan korporat dan yayasan di sekolah, penganjur Festival Hari Guru peringkat kebangsaan dan pembangun laman web www.tutor.com,my.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved