Ahad, 6 Oktober 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


KIM: 14 program bantu penduduk

Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 5 Okt. - Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) akan menerajui 14 buah program ekonomi sosial yang baharu di beberapa kawasan di dalam Iskandar Malaysia dengan tujuan membantu memperkasakan golongan berpendapatan rendah.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap program tersebut dirangka untuk melibatkan tenaga mahir dan perkhidmatan sedia ada kepada penduduk di kawasan terlibat.

"Projek yang dipanggil Kawan Iskandar Malaysia (KIM) ini melibatkan pelbagai projek baharu yang disasarkan untuk penduduk kampung dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 di pelbagai mukim atau daerah.

"IRDA juga akan bekerjasama dengan Bank Rakyat untuk menawarkan pinjaman mudah sebanyak RM14 juta untuk projek-projek tersebut. Inisiatif ini secara keseluruhannya menawarkan pendapatan tambahan kepada penduduk kampung bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam kepesatan Iskandar Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek eko-pelancongan di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, di sini yang juga projek pertama daripada 14 program yang dilancarkan.

Menurut Mohamed Khalid, projek tersebut akan menyaksikan Kampung Sungai Melayu yang berusia lebih 100 tahun dapat menyesuaikan diri dan bergerak seiring dengan kemajuan melalui pelbagai tarikan eko-pelancongan.

"Program pertama ini akan menjadi penanda aras kepada 13 program lain yang akan menyusul. Terdapat 14 mukim dengan 87 buah kampung di dalam Iskandar Malaysia dan kita harap penduduk dari perkampungan tradisional atau penempatan Orang Asli mendapat faedah daripada program ini," katanya.

Tambah beliau, penduduk kampung perlu kompatetif dengan perkembangan semasa dan IRDA diamanahkan untuk menjalankan program ekonomi sosial yang spesifik untuk membantu dalam hal tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, program melibatkan mukim lain akan diumumkan kemudian dan pihaknya telah mengenal pasti projek-projek berpotensi yang akan dikembangkan menerusi koperasi di mukim terlibat dan skim pembiayaan mikro.

Ketegasan bapa rahsia kejayaan Solehin

Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT

Mohd. Solehin Mohd. Nasir dan Ng Yee Lin menunjukkan Pingat Jaya Cemerlang sempena majlis Konvokesyen UTHM ke 13 di UTHM, Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT 5 Okt. - Didikan tegas bapa yang merupakan anggota polis menjadi pendorong kepada kejayaan Mohd. Solehin Mohd. Nasir sehingga menerima Anugerah Diraja Pingat Jaya Cemerlang sempena Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Mohd. Solehin, 24, yang merupakan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik berkata, bapanya, Mohd. Nasir Hamid Saltan, 50, telah mendidiknya dengan baik termasuk membuatkan jadual belajar untuknya dan dua beradik lain.

"Ayah seorang yang sangat baik tetapi dalam soal pelajaran, dia sangat tegas kerana tidak mahu anak-anaknya lalai dan ketinggalan dalam pelajaran.

"Sebab itulah dari kecil lagi dia sudah membuat jadual belajar termasuklah pada cuti hujung minggu dan amalan tersebut saya gunakan sehinggalah ketika menuntut di universiti," katanya selepas tamat majlis konvokesyen berkenaan di sini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang juga merupakan Canselor UTHM berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan Majlis Konvokesyen UTHM Ke-13 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Yang Ke-13 turut hadir ialah Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Sebanyak 3,520 orang siswazah akan menerima ijazah dan diploma masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana, sarjana muda dan diploma.

Menurut Mohd. Solehin, beliau yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.79 mengakui mengamalkan pemakanan yang sihat selain mengamalkan makan madu bagi menguatkan badan dan minda.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah sama, Ng Yee Lin, 24, yang merupakan graduan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) turut melahirkan rasa gembira kerana diberi pengiktirafan tersebut.

Yee Lin yang memperoleh CGPA 3.83 berkata, kerja keras, ulang kaji secara berkumpulan selain sokongan daripada rakan-rakan sekuliah serta keluarga menjadi asas kejayaannya.

Beliau turut mengakui mengamalkan minum susu dan belajar seawal pukul 5 pagi setiap kali setelah banyak membantunya untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved