Ahad, 6 Oktober 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Perkeso keluar pampasan RM1.4b

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Ketua Eksekutif Perkeso, K. Selvarajah (kanan) berbual dengan peserta selepas program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Maran, Pahang, semalam.

MARAN 6 Okt. - Sebanyak 42,194 kes kemalangan di tempat kerja membabitkan jumlah pampasan lebih RM1.4 bilion dicatatkan dari Januari sehingga Ogos lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, kes itu perlu ditangani segera melalui pendekatan lebih efektif bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Menurutnya, perangkaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan kes kemalangan dilaporkan meningkat sebanyak 2.76 peratus daripada 59,897 pada 2011 kepada 61,552 kes tahun lalu.

"Daripada jumlah tersebut, kategori kemalangan perjalanan ke tempat kerja meningkat sebanyak 5.83 peratus iaitu 26,256 kes pada tahun lalu berbanding 24,809 kes pada 2011.

"Peningkatan itu jika tidak dibendung akan mengakibatkan kerugian kepada semua pihak iaitu keluarga pekerja, majikan dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (Operasi), Datuk Mohd. Sharif Hussien dalam Program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini semalam.

Menurut Ismail, kementeriannya memandang serius peningkatan jumlah kes itu kerana akan memberi kesan terhadap pembangunan negara.

Katanya, semua pihak terutama pemimpin masyarakat wajar memainkan peranan bagi mengurang dan membendung kadar kemalangan di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Dalam membendung gejala ini, kementerian bersama Perkeso akan mengadakan seminar pencegahan kemalangan peringkat kebangsaan bagi mencari mekanisme terbaik mengurangkan kemalangan tersebut," katanya.

Tambah beliau, kementerian dan Perkeso akan meminta kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya, polis dan pemimpin setempat bagi memupuk kesedaran mengenai keutamaan keselamatan di tempat kerja.

Beri didikan, latihan kepada ahli Pandu Puteri - Tunku Azizah

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dikelilingi ahli Pandu Puteri ketika tiba untuk menyertai Program Khidmat Sosial Pandu Puteri Lipis di Hospital Lipis, Kuala Lipis, Pahang, semalam.

KUALA LIPIS 6 Okt. - Para guru sekolah perlu memberi didikan dan latihan kepada ahli Pandu Puteri (PP) dalam usaha melahirkan individu yang boleh dicontohi, bersahsiah serta berpotensi dalam semua bidang.

Pengerusi Pandu Puteri Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, pendedahan tersebut perlu diterapkan di peringkat Pandu Puteri Tunas di sekolah rendah dengan pengetahuan serta kemahiran seimbang yang mampu membolehkan mereka berbakti kepada masyarakat.

Baginda bertitah, ahli persatuan itu hendaklah dilatih melakukan kerja sukarela serta kemahiran kelangsungan hidup yang perlu diketahui yang merupakan sebahagian daripada proses kehidupan.

"Kerja sukarela sama ada di sekolah dan masyarakat antara amalan positif yang memberi kesan baik dalam perkembangan diri dan sahsiah mereka," titah baginda dalam Program Khidmat Sosial Pandu Puteri Lipis di Hospital Lipis di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long; Pengarah Hospital Lipis, Dr. Sharifuddin Saad dan Pengerusi Pandu Puteri Lipis, Datin Mahani Sudin.

Tunku Azizah bertitah, semangat sukarela dalam apa juga bidang merupakan satu latihan dalam usaha membangun dan mencipta generasi wanita pada masa akan datang.

"Membantu gadis remaja merupakan tanggungjawab semua pihak dalam membangunkan potensi mereka sepenuhnya sebagai warganegara berdisiplin dan bertanggungjawab," titah baginda.

Terdahulu Tunku Azizah gembira dengan kerjasama ahli Pandu Puteri Lipis bersama Hospital Lipis dalam menjayakan program tersebut bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan kesihatan kanak-kanak.

"Saya yakin program ini membantu ahli Pandu Puteri mengenali lebih dekat perkhidmatan hospital di sini dan pada masa sama membimbing mereka ke arah penjagaan kesihatan," titah baginda.

Indeks jenayah Pahang turun 5.19%

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

KUANTAN 6 Okt. - Indeks jenayah di Pahang mencatatkan penurunan sebanyak 5.19 peratus dalam tempoh lapan bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, sepanjang Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 3,711 kes dicatatkan berbanding 3,914 kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Statistik ini menunjukkan kadar jenayah di seluruh negeri tahun ini menurun 203 kes berbanding tahun lalu," katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Hari Kesedaran Jenayah Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Sharifuddin memberitahu, daripada jumlah itu, jenayah kekerasan mencatat penurunan sebanyak 7.32 peratus iaitu sebanyak 772 kes berbanding 833 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, antara kes jenayah kekerasan menunjukkan penurunan ialah rogol, cabul, samun berkumpulan bersenjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api dan ugutan jenayah.

"Bagi jenayah harta benda pula turut menurun sebanyak 4.61 peratus atau 2,939 kes berbanding 3,081 kes pada tempoh sama tahun lalu.

"Antara kes jenayah harta benda yang menunjukkan penurunan ialah curi, curi ragut dan pecah rumah pada waktu siang," katanya.

Menurut beliau, jumlah penyelesaian kes bagi tempoh itu pula adalah sebanyak 1,862 kes atau 50.18 peratus.

Dalam pada itu, kata beliau, penurunan kadar jenayah ini adalah kerjasama masyarakat dengan polis menerusi program kesedaran yang dijalankan.

"Menjadi tanggungjawab orang ramai untuk mencegahnya menerusi pelbagai pendekatan bersepadu seperti Hari Kesedaran Jenayah atau menyalurkan maklumat berkaitan perlakuan jenayah," kata beliau.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved