Ahad, 6 Oktober 2013

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Simulasi pemilihan lancar

Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.mny

Para peserta mendengar arahan pihak urus setia sebelum membuang undi dalam proses simulasi pemilihan UMNO 2013 di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 5 Okt. - Simulasi pemilihan UMNO bagi negeri Selangor hari ini berjalan lancar apabila 400 orang perwakilan dari bahagian Shah Alam mencuba sistem pengundian yang akan digunakan dalam menentukan kepimpinan di peringkat bahagian dan Pusat parti itu pada 12 dan 19 Oktober ini.

Bermula kira-kira pukul 8 pagi, simulasi tersebut didahului dengan proses pendaftaran para perwakilan kemudiannya diikuti dengan proses pengundian jawatan Majlis Tertinggi (MT) dan jawatankuasa bahagian yang berlangsung selama satu jam bermula pukul 9.30 pagi ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO Selangor, Datuk Salamon Selamat ketika ditemui berkata, pihaknya telah memanggil kesemua jawatankuasa pemilihan, setiausaha, setiausaha kerja, penolong setiausaha sayap-sayap di setiap 22 UMNO bahagian negeri itu untuk terlibat dalam simulasi tersebut.

"Daripada simulasi itu, mereka telah diberikan penerangan serta pemahaman bagaimana kaedah pemilihan UMNO akan dilaksanakan di setiap bahagian di negeri ini," katanya kepada pemberita di sini.

Tambah Salamon, para peserta yang terlibat dalam simulasi itu turut diberikan pendedahan tentang kaedah pengundian serta proses kiraan undi dibuat.

Mengulas lanjut mengenai proses pemilihan sebenar sayap-sayap dan bahagian di Selangor nanti, Salamon menyatakan, proses pendaftaran para perwakilan akan bermula pada pukul 8 pagi hingga 9 pagi diikuti proses pengundian yang diadakan secara rasmi bermula 9.30 pagi sehingga ditutup pada pukul 1 petang.

Selepas tempoh pengundian itu, katanya, proses pengiraan undi dijangka dibuat pada pukul 1.30 petang sehingga pukul 5 petang dengan calon-calon yang bertanding atau wakil mereka dibenarkan untuk melihat proses itu dijalankan.

"Bagaimanapun, jika ada kertas undi ragu, Ketua Penyelia Pemilihan Bahagian mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kertas undi tersebut diterima atau sebaliknya," ujar beliau.

Pada masa sama, Salamon turut menyatakan, bagi melicinkan proses pemilihan UMNO di negeri ini, pihaknya akan menggerakkan seramai 440 orang anggota Jawatankuasa Pemilihan di negeri ini selain dibantu 1,540 sukarelawan yang akan ditempatkan di 22 UMNO bahagian seluruh Selangor.

Malah, beliau turut menasihatkan setiap UMNO bahagian di negeri ini supaya menyediakan tempat yang sesuai bagi membolehkan pemilihan parti diadakan dengan lancar termasuk memastikan keselamatan berada pada tahap yang terbaik.

KFC kutip RM2.5 juta menerusi WHR

Posted: 05 Oct 2013 11:27 AM PDT

Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah melepaskan peserta acara jalan kaki amal sempena kempen World Hunger Relief 2013 di hadapan Istana Kehakiman di Presint 3, Putrajaya, semalam. - Mingguan/HANAFI KHAMIS

PUTRAJAYA 5 Okt. - Sebanyak RM2.5 juta berjaya dikumpulkan oleh KFC dan Pizza Hut Malaysia menerusi kempen World Hunger Relief (WHR) yang dijalankan sejak dua bulan lalu.

Naib Presiden Kanan QSR Brand Sdn. Bhd., Ling Mee Jiuan berkata, kesemua derma tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai, badan korporat dan promosi hidangan istimewa di semua restoran miliknya di seluruh negara sepanjang kempen itu dijalankan.

"Sebahagian daripada derma ini akan diserahkan kepada Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWFP) untuk membantu kerja-kerja bantuan kelaparan di seluruh dunia.

"Sebahagian lagi akan disumbangkan kepada badan-badan amal dan kebajikan tempatan melalui Program Penyayang KFC dan kempen lain yang berkaitan di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pelepasan acara jalan kaki amal yang disempurnakan Sultanah Johor, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Pada majlis sama, Tuanku Raja Zarith turut berkenaan menyampaikan sumbangan hasil derma tersebut kepada beberapa badan amal dan kebajikan tempatan.

Menurut Mee Jiuan, sejak program itu dilancarkan enam tahun lalu, sumbangan dana sebanyak RM11 juta berjaya dikumpul.

Dalam pada itu, beliau berkata, lebih 14,000 orang menyertai acara jalan kaki yang melibatkan jarak sejauh tiga hingga lima kilometer itu.

Katanya, aktiviti jalan kaki amal tersebut bukan sahaja mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangannya malah orang ramai yang merupakan pelanggan setia KFC dan Pizza Hut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved