Isnin, 16 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Berkat simpanan RM20 sebulan

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my

Mohd. Zaidi Mohd. Said (dua dari kiri) beramah mesra dengan empat sekeluarga yang akan menunaikan fardu haji dalam majlis meraikan bakal jemaah haji di Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/SAZALI CHE DIN

PERMATANG PAUH 15 Sept. - Selama hampir 24 tahun, Zaid Man membuat potongan gaji bulanan sebanyak RM20 dengan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebagai simpanan untuk mengerjakan haji di Mekah.

Bekas pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, Bukit Mertajam itu tetap meneruskan rutin menyimpan duit di Tabung Haji biarpun bersara pada 1996 dan menumpukan kerja-kerja sebagai pesawah di Kampung Permatang Pasir di sini.

Menurut Zaid, 72, dia pernah mendapat panggilan menunaikan haji pada 1999 namun terpaksa ditolak pada saat-saat akhir akibat masalah yang tidak dielakkan.

"Tapi tahun ini saya tak akan menolak lagi sebab ini adalah impian saya dan isteri, Maseran Said, 69, sejak sekian lama dan perasaan teruja semakin membuak-buak untuk ke sana.

"Syukur kepada Allah kerana dapat peluang pada tahun ini serta rezeki yang diberi hasil simpanan RM20 itu selain mengerjakan bendang di kampung ini," katanya yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 1 Oktober ini dan dijangka kembali ke tanah air pada 14 November.

Zaid ditemui Utusan Malaysia dalam majlis meraikan bakal jemaah haji Parlimen Permatang Pauh yang dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO bahagian itu hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 90 jemaah menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Seorang lagi bakal jemaah, Wan Rohani Harun, 46, berkata, dia amat teruja menunaikan haji kali pertama bersama ibu, bapa dan seorang adiknya.

"Saya bersyukur dipilih untuk ke sana pada tahun ini bersama bapa, Harun Mat Taib, 73, dan ibu, Wan Esah Wan Chik, 65, serta seorang adik, Wan Rohana, 45.

"Ini kali kedua ibu dan bapa saya menunaikan haji selepas kali pertama pada 1999 dan tahun ini mereka akan menjadi mahram untuk saya dan adik," katanya yang berasal dari Kubang Semang.

Sementara itu, Zaidi berkata, majlis itu adalah acara tahunan Pemuda bahagian tersebut sebagai tanda ingatan kepada bakal jemaah haji.

Jelasnya, semua jemaah dinasihatkan memperbetulkan niat ketika melakukan ibadat dan dapat melakukan ibadat dengan sempurna.

Hampir 900 penduduk Batu Gajah tonton Tanda Putera

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

MOHD. Yusoff Kassim (tengah) bersama pelakon, Faezah Elai (depan) dan orang ramai memasuki pawagam menonton tayangan khas Tanda Putera anjuran UMNO Bahagian Batu Gajah di AEON Station 18, Ipoh, semalam.

IPOH 15 Sept. - Tayangan khas filem Tanda Putera di TGV Cinemas AEON Station 18 di sini, yang ditaja Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah, Datuk Mohd. Yusoff Kassim mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 900 orang penduduk sekitar.

Yusoff menaja lima sesi tayangan filem tersebut untuk sepanjang hari ini iaitu pada pukul 11.45 pagi, 2.15 petang, 4.30 petang, 7.30 petang dan 9.45 malam yang kesemuanya dipenuhi penonton.

Kemeriahan program tayangan itu dimeriahkan dengan kehadiran pelakon terkenal, Faezah Elai yang membawa watak Tun Rahah Mohammad Noah iaitu isteri kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak untuk bersama dengan penonton sepanjang tayangan itu.

Bercakap kepada pemberita, Yusoff berkata, beliau terpanggil membuat tayangan filem tersebut bagi membolehkan penduduk kampung di Batu Gajah memahami sejarah negara melalui Tanda Putera.

"Saya tengok sambutan cukup baik sehingga tiket pun tidak cukup. Saya tengok ada penonton menangis semasa keluar dari panggung selepas menonton filem ini.

"Mereka pun seronok hari ini kerana Faezah Elai turut bersama-sama kita untuk memberikan semangat khususnya kepada ahli-ahli UMNO Bahagian Batu Gajah," katanya dalam sidang akhbar selepas tayangan itu.

Menurut Mohd. Yusoff, beliau tidak mengetahui TGV Cinemas membuat tayangan khas filem itu yang tarikh akhir wajib tayangnya pada Rabu lalu bagi memenuhi permintaan pihaknya.

"Pihak TGV Cinemas di Kuala Lumpur beritahu mereka akan buat satu tayangan istimewa untuk kami. TGV Cinemas juga telah membuat tiket khas yang tertera nama UMNO Bahagian Batu Gajah untuk tayangan ini," ujarnya.

Beliau juga sedia mengadakan program tayangan Tanda Putera sekali lagi dalam masa terdekat sekiranya masih ramai penduduk di Batu Gajah mahu menonton filem itu.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff menyeru semua rakyat Malaysia menonton Tanda Putera kerana filem tersebut merupakan instrumen yang bagus untuk memberi pemahaman mengenai sejarah negara supaya tidak terpesong dengan sumber-sumber yang tidak betul.

Katanya, filem itu bukan hanya untuk ditonton ahli UMNO, orang Melayu dan bumiputera tetapi semua kaum yang ada di negara ini bagi mengetahui sejarah sebenar Tanah Melayu dan Malaysia.

"Sekarang, saya tengok orang Melayu sahaja yang banyak menonton filem ini. Jadi, saya harap pemimpin MCA, MIC dan Gerakan serta semua parti di dalam Barisan Nasional (BN) menayangkan filem ini ahli masing-masing," katanya.

Polis tahan empat ahli kongsi gelap Geng 04

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

PULAU PINANG 15 Sept. - Polis menahan 18 individu termasuk empat lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 dalam Op Cantas Khas di lima buah premis hiburan di Seberang Perai Selatan, Queensbay, Persiaran Gurney dan sekitar pusat bandar ini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, dalam operasi selama tujuh jam bermula pukul 8 malam itu, seramai 100 anggota terlibat memeriksa lebih 200 pengunjung.

Beliau berkata, dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Pesiaran Gurney, polis merampas tiga batang rotan dan tiga cota dipercayai untuk digunakan dalam pergaduhan.

"Ketika pemeriksaan di sebuah kelab malam di Jalan Penang pula, ada pengunjung membuang peket kecil dadah seperti syabu, ganja dan pil ekstasi ke lantai. Oleh itu, kita telah mengeluarkan saman kepada pemilik kelab berkenaan.

"Di situ juga kita memberkas empat lelaki berusia 20-an hingga 30-an dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap berdasarkan tatu di badan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas operasi berkenaan tamat di sini awal pagi semalam.

Beliau memberitahu, tujuh wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) turut ditahan dalam operasi itu selain 12 mesin judi dirampas.

"Lapan lelaki ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala tujuh GRO warga Vietnam ditahan atas kesalahan Imigresen," katanya.

Katanya, seorang pemilik premis juga akan didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di PERAK, polis menahan sembilan individu yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah dalam Op Cantas Khas, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, semua tangkapan tersebut dilakukan dalam operasi selama empat jam yang bermula 9 malam di Taman Harmoni, Buntong, dekat sini.

Beliau berkata, Op Cantas Khas itu disertai 192 pegawai dan anggota polis terdiri daripada Pasukan Gerakan Am, Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota trafik.

"Serbuan ini diadakan berdasarkan risikan pihak polis dan permintaan penduduk di kawasan ini. Melalui operasi ini, kita mahu mengesan mana-mana ahli kongsi gelap dikehendaki berdasarkan tatu di badan mereka.

"Dalam operasi ini, kita tangkap sembilan individu dan pemeriksaan dijalankan bagi mengenal pasti kumpulan kongsi gelap. Dalam operasi ini juga, kami memeriksa 212 unit rumah dengan 248 individu dan 118 kenderaan.

"Sembilan lelaki yang ditahan itu juga dikesan mempunyai tatu di badan selain memiliki senjata dan dalam senarai dikehendaki polis," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved