Isnin, 16 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Keputusan ujian MUET diumum Khamis Ini

Posted: 16 Sep 2013 01:52 AM PDT

KUALA LUMPUR 16 Sept. - Keputusan ujian Malaysian University English Test (MUET) Sesi Julai 2013 akan dikeluarkan Khamis ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam kenyataan hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai 10 pagi hari tersebut manakala calon persendirian individu akan memperoleh keputusan mereka melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan ujian mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MUET RESULT NO. KAD PENGENALAN dan menghantarnya ke 15888, mulai 12.01 tengah malam 19 Sept 2013.

Menurut kenyataan itu, mereka juga boleh berbuat demikian melalui sistem dalam talian dengan melayari portal MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 9 pagi, pada tarikh tersebut.

"Calon yang tidak berpuas hati dengan keputusan MUET boleh membuat rayuan penyemakan semula keputusan MUET dengan bayaran RM70," menurut kenyataan itu.

Tarikh tutup rayuan semak semula ialah 30 Sept dan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh didapatkan melalui portal MPM. - BERNAMA

Hari Malaysia: PM ucap tahniah kepada Sarawak

Posted: 16 Sep 2013 01:50 AM PDT

KUCHING 16 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak yang berjaya menganjurkan dua acara besar, perarakan kapal berhias dan sambutan Hari Malaysia Ke-50 di Padang Merdeka di sini dengan sangat berjaya.

Ucapan tahniah itu disampaikan menerusi Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, menteri yang bertanggungjawab bagi sambutan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia Ke-50.

Abang Johari berkata, Perdana Menteri juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada peserta dan orang ramai yang tetap hadir serta bersemangat, walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu.

"Perdana Menteri menyampaikan salam penghargaan kepada semua yang mengambil bahagian, termasuk orang ramai yang hadir memeriahkan acara hari ini. Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sarawak yang berjaya menganjurkan dua acara besar dengan begitu cemerlang," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. - BERNAMA

Mara mampu laksana agenda perkasa Bumiputera

Posted: 16 Sep 2013 12:41 AM PDT

MUAR 16 Sept. - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin Majlis Amanah Rakyat (Mara) mampu melaksanakan tanggungjawabnya melaksanakan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Ini kerana agensi di bawah kementeriannya itu sudah menjalani penambahbaikan dan bersedia menggalas misi memastikan usaha meningkatkan daya upaya orang Melayu dan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

"Kita sudah menambah baik agensi ini supaya tiada kepincangan ketika kita melaksanakan dasar yang diberikan kepada agensi ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya UMNO bahagian Bakri di kediaman Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Saipolbahri Shuib di Kampung Tengah, Air Hitam di sini malam tadi.

Kira-kira 10,000 orang hadir di majlis itu termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi.

Shafie berkata, Mara yang menerima suntikan dana pendidikan RM1 bilion untuk membiayai program latihan, pendidikan, keusahawanan dan inovasi kepada golongan muda di bawah agenda itu telah melatih dan menghantar ramai anak muda dari luar bandar melanjutkan pengajian di luar negara sejak sekian lama.

Katanya, dengan pemantauan oleh sebuah agensi yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan membantu pelaksanaan program itu mencapai matlamat seperti dikehendaki. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved