Isnin, 16 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Kibar 50,000 Jalur Gemilang

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Oleh MOHAMMAD DZULHISHAM CHE HASSIM
utusanmelaka@utusan.com.my

IDRIS Haron (tengah) memegang sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records bersama peserta Larian Merdeka Sungai Melaka di Banda Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 15 Sept. - Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) mencatat nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) selepas berjaya mengibarkan sebanyak 50,000 Jalur Gemilang sepanjang Sungai Melaka sempena Larian Merdeka Sungai Melaka, di sini hari ini.

Jalur Gemilang yang dipasang sepanjang sungai sejauh 10.5 kilometer itu diiktiraf MBR sebagai Jalur Gemilang paling banyak dipamerkan sepanjang sungai berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, usaha PPSPM untuk menyemarakkan bulan kemerdekaan itu membuahkan hasil apabila diiktiraf MBR sekali gus mengangkat imej negeri ini.

"Hari ini Melaka sekali lagi melakar sejarah apabila dicatatkan dalam MBR dan usaha yang dimainkan PPSPM ini bukan sahaja meningkatkan imej negeri malah dilihat sebagai daya tarikan kepada pelancong.

"Tidak sempurna lawatan ke negeri ini tanpa melawat Sungai Melaka jadi usaha PPSPM ini harus dipuji kerana mengindahkan lagi sungai ini dengan kibaran Jalur Gemilang bertepatan dengan sambutan bulan kemerdekaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Larian Merdeka Sungai Melaka bersama hampir 1,500 peserta yang bermula di Muara Sungai Melaka, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Baharom Majid, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad.

Sementara itu, Idris berkata, projek pengindahan Sungai Melaka yang kini sedang giat dilaksanakan perlu disiapkan mengikut jadual kerana kerajaan negeri bakal menganjurkan Marathon Antarabangsa Sungai Melaka tahun hadapan.

"Ketika menyertai larian ini saya turut meninjau projek pengindahan Sungai Melaka yang giat dilaksanakan dan setakat ini saya berpuas hati dengan perkembangannya kerana tahun hadapan kita akan adakan marathon Sungai Melaka peringkat antarabangsa," katanya.

Kanak-kanak prasekolah perlu dididik dalam persekitaran terbuka

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

Para pelajar membuat persembahan pada pertandingan tarian rampai dalam Karnival Bijak Prasekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.

KUALA PILAH 15 Sept. - Membentuk pemikiran kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun perlu mengambil kira aspek perubahan sikap dan kematangan interaksi supaya lebih berani ketika di alam persekolahan sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar berkata, mereka yang mendidik kanak-kanak prasekolah perlu lebih berani membawa elemen persekitaran yang agak mencabar supaya asuhan itu dapat menambah jati diri kanak-kanak untuk lebih berdikari.

"Apa juga aktiviti yang dilakukan, sama ada dalam bilik darjah mahupun kegiatan luar, kanak-kanak prasekolah wajar dididik dalam persekitaran terbuka, umpamanya bercerita dalam bahasa Melayu dan Inggeris, berpidato, membaca al-Quran, lakonan dan sebagainya di hadapan khalayak ramai.

"Ini akan dapat menunjukkan satu semangat keyakinan diri yang tinggi dan apabila mereka masuk ke alam persekolahan, golongan kanak-kanak inilah yang akan menjadi pencetus idea, pemikiran baharu serta lebih berani menyatakan pandangan mereka," katanya di Pelangai, dekat sini hari ini.

Norhayati berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Karnival Bijak Prasekolah peringkat daerah itu di Sekolah Kebangsaan Pelangai, dekat sini hari ini.

Katanya, biarpun kanak-kanak itu masih gugup dan takut untuk bergaul namun perubahan sikap itu perlu ditangani pendidik untuk menyaksikan proses kematangannya.

"Saya lihat hari ini pelajar begitu berani membuat persembahan seperti tarian Zalin dan Endang yang menjadi salah satu slot pertandingan. Mereka bergaul dan beraksi dalam satu kumpulan. Ini perlukan keberanian dan itulah yang saya maksudkan perubahan sikap positif," ujarnya.

Sebanyak 368 pelajar pra sekolah seluruh daerah itu mengambil bahagian dalam pertandingan tarian rampai, nyanyian solo, menyusun ayat dan perkataan dalam bahasa Melayu dan Inggeris selain mewarna.

55,554 terima lesen memandu SKSJ

Posted: 15 Sep 2013 10:56 AM PDT

SEREMBAN 15 Sept. - Sebanyak 55,554 orang terutama di kawasan luar bandar menerima manfaat daripada program anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi 133 Program 1 Komuniti 1 JPJ (SKSJ) di seluruh negara yang mula diperkenal sejak 2009.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Datuk Yusoff Ayob berkata, program berkenaan merupakan usaha berterusan pihaknya memberi kemudahan kepada masyarakat luar bandar memperoleh lesen memandu percubaan (P) dengan lebih mudah.

Menurutnya, program berkenaan lebih menyasarkan kepada warga emas selain masyarakat Orang Asli bagi membantu mereka mengurangkan beban kos tinggi sekiranya mengikuti keseluruhan prosedur pengambilan lesen di mana-mana institut memandu di seluruh negara.

"Biarpun kita mengendalikan program ini tetapi aspek keselamatan tidak pernah diabaikan malah diberikan keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program SKSJ Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan, Datuk Ishak Ismail dan Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah.

Ditanya mengenai jumlah yang mendapat manfaat bagi program berkenaan di negeri ini, Yusoff menjelaskan, seramai 3,267 orang telah mendapat lesen memandu percubaan di negeri ini menerusi 10 program yang dianjurkan dari 2009 hingga hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved