Isnin, 16 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tolong jangan ganggu!

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

MENJUARAI Pestabola Merdeka memberi momentum baik buat Harimau Muda untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

KUALA LUMPUR - Kejayaan menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas menumpaskan Myanmar 2-0, Sabtu lalu memberi momentum sempurna skuad Harimau Muda dalam persiapan mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini.

Begitupun, momentum positif anak-anak buah Ong Kim Swee itu mampu dirosakkan oleh komuniti bola sepak tempatan sendiri.

Sikap galak beberapa pasukan Liga Malaysia untuk memancing bintang muda negara hingga sanggup menawarkan imbuhan lumayan mampu menjadi 'perosak' yang paling membimbangkan.

Jika mengikut umur, kebanyakan pemain masih berada di bawah 23 tahun pada 2014, dan sewajarnya mereka perlu terus bersama Harimau Muda kerana banyak pendedahan antarabangsa yang boleh diperoleh berbanding bermain dalam Liga Malaysia.

Jika sebelum ini tiada siapa yang berani mengganggu pemain-pemain Harimau Muda, kelak dibimbangi apabila sudah ada satu atau dua pasukan yang berani melamar pemain, langkah ini akan diikuti oleh pasukan lain.

Sepatutnya pasukan atau kelab yang ingin berbuat demikian perlu menghormati serta faham kepentingan Harimau Muda yang membawa nama negara dan bukan bersikap mementingkan diri sendiri.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memastikan isu ini diselesaikan secepat mungkin agar ia tidak merebak seperti virus yang boleh menjejaskan mood dan motivasi wira-wira muda negara.

Nama-nama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Rozaimi Abdul Rahman, Junior Eldstal dan Mohd.Irfan Fazail antara yang menjadi dendangan peminat selepas kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang kempen Pestabola Merdeka.

Empat kemenangan daripada empat perlawanan cukup menggambarkan yang anak-anak buah Kim Swee menunjukkan peningkatan ketara melalui ilmu dan pendedahan selama lima bulan di bumi Eropah.

Aksi penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi cukup memukau sehingga ada yang berani meramalkan dia mampu menjadi lebih hebat daripada Khairul Fahmi Che Mat suatu hari nanti selepas hanya bolos satu gol dalam empat perlawanan.

Kelebihan dan ketangkasan daripada segi fizikal yang ada pada Junior dapat dimanfaatkan oleh Kim Swee di bahagian tengah dan bukannya dijadikan bahan eksperimen mengarut seperti mana dilakukan oleh Datuk K.Rajagobal apabila meletakkan pemain dari Sarawak itu di bahagian pertahanan.

D. Saarvindran dan Syahrul Azwari merupakan dua permata baru di posisi sayap, manakala Wan Zack Haikal mempamer kematangan menakjubkan selepas beraksi bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu.

Kekentalan pertahanan yang diketuai oleh Mohd. Fadhli Shas dan Nik Shahrul Mohd. Azim banyak membantu kejayaan Harimau Muda dengan tidak banyak percubaan ke arah gol dapat dilepaskan oleh pihak lawan.

Siapa yang boleh menyangka walaupun Kim Swee menurunkan sebahagian besar muka baru ketika bertemu Thailand dalam perlawanan terakhir kumpulan, mereka mampu memberi persembahan bertenaga untuk menang 3-0.

Jangan dilupakan, sebenarnya masih ada ramai pemain yang tidak dapat menyertai kejohanan kerana kecederaan seperti Ahmad Hazwan Bakri, Mohd.Fandi Othman, Izzaq Faris Ramlan dan Gary Steven Robbat.

Apa pun, kejuaraan ini tidak wajar membuatkan Harimau Muda bermegah kerana sasaran sebenar adalah memenangi pingat emas hatrik di Sukan SEA Myanmar.

Singapura, Thailand dan Myanmar pasti kembali dengan aksi lebih bahaya, manakala Indonesia dan Vietnam adalah cabaran tambahan yang perlu dihadapi.

Kijang tempang tonggak lari

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

PERPINDAHAN Norshahrul Idlan Talaha ke Johor Darul Takzim tahun lalu mencetus kontroversi.

KOTA BHARU - Juara treble 2012, Kelantan bakal kehilangan sebahagian besar tonggak utama yang dikhabarkan mahu merubah angin dengan menyertai pasukan baharu musim hadapan.

Malah lebih teruk lagi, kebanyakan pemain yang akan berhijrah adalah tonggak penting yang telah banyak berjasa kepada skuad The Red Warriors.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa melalui laman sosial facebook miliknya semalam mengesahkan mengenai senario yang cukup meresahkan peminat Kelantan itu.

Beliau bagaimanapun menegaskan, KAFA tidak akan menghalang mana-mana pemain yang mahu meninggalkan Kelantan kerana mendapat tawaran lumayan daripada pasukan lain.

Malah katanya, ada beberapa pemain telah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat untuk berhijrah musim hadapan.

"Jika The Red Warriors terpaksa membentuk pasukan baharu sekalipun, apakan daya kerana peraturan bola sepak di Malaysia memang tidak melindungi kepentingan kelab.

"Bagi yang dah biasa mengurus bola di Malaysia mereka akan memahaminya," katanya.

Akhbar pada 12 September lalu melaporkan, sebuah pasukan yang kini bersaing dalam Piala Malaysia didakwa terlibat dengan perjanjian 'pintu belakang' untuk memancing tiga tonggak utama pasukan The Red Warriors.

Menurut sumber, pasukan tersebut telah melakukan perjanjian dengan tiga pemain tersebut bagi mencapai misi mereka untuk menjadi juara Liga Super dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Antara pasukan yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat pemain The Red Warriors musim hadapan adalah Johor Darul Takzim (Johor DT), Felda United, Selangor, Terengganu, Polis dan T-Team.

Annuar turut menambah, melihat perkembangan ini, KAFA tidak mahu meletak sebarang harapan musim hadapan.

"Kita masih memikirkan apa yang boleh dan mampu kita buat. Johor DT sekali lagi bakal memperoleh pemain yang mereka mahu dari Kelantan dan Selangor.

"Mereka berhak kerana punya dana cukup besar dan kita mula merasai keperitan untuk bertahan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved