Isnin, 16 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Setinggan sifar di Kuantan 2014

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 16 Sept. - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mensasarkan setinggan sifar menjelang Mac tahun depan apabila kira-kira 437 keluarga setinggan yang direkodkan berpindah ke Perumahan Rakyat Disewa Flat Permatang Pak Mahat di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (gambar) berkata, hampir kesemua setinggan tersebut layak dan kini dalam proses untuk dipindahkan secara berperingkat.

"Kita tidak ada masalah melakukan penempatan semula pada setinggan tersebut kerana unit-unit perumahan mencukupi malah melebihi daripada jumlah rumah setinggan yang diduduki kini.

"Kerajaan negeri mahukan yang terbaik supaya mereka dapat meningkatkan kualiti serta taraf hidup dengan pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Penyelarasan Operasi Roboh Bangunan di Tok Keramat di sini semalam.

Menurut Muhammad Safian, sebanyak 37 unit rumah setinggan di Tok Keramat yang dibina sejak 30 tahun lalu terpaksa dirobohkan berikutan kawasan berkenaan tidak sesuai dijadikan penempatan dan milik persendirian.

"Justeru, sebanyak 80 unit rumah disediakan dan mereka diberi tempoh kira-kira dua bulan untuk merobohkan rumah berkenaan iaitu berakhir pada Rabu ini.

"Bagaimanapun, sehingga kini hanya terdapat 10 buah rumah masih belum dirobohkan walaupun MPK telah memberikan tempoh lanjutan perpindahan kepada mereka yang bermula 1 Ogos lalu," jelasnya.

Katanya, sebanyak 80 buah unit rumah disediakan berikutan hasil bancian mendapati terdapat dua hingga tiga ketua keluarga di dalam sebuah rumah setinggan di kawasan berkenaan.

Hari Malaysia peringkat negeri Pahang penuh meriah

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

Adnan Yaakob (dua kiri) bersama peserta yang terlibat mengibarkan Jalur Gemilang selepas merasmikan Sambutan Hari Malaysia Ke-50 Peringkat Negeri Pahang di Taman Gelora, Kuantan, semalam.

KUANTAN 16 Sept. - Sambutan ulang tahun Ke-50 Hari Malaysia bagi peringkat negeri Pahang berlangsung penuh meriah dengan lebih 1,000 rakyat hadir membanjiri Taman Gelora di sini hari ini.

Semangat patriotik rakyat Pahang dalam menyambut Hari Malaysia itu terbukti apabila orang ramai mula datang seawal pukul 8 pagi walaupun sambutan bermula pada pukul 10 pagi.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu mulakan dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum persembahan nyanyian beberapa buah lagu patriotik.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Ishak Muhamad dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri itu turut diserikan dengan persembahan sajak, tarian dan nyanyian.

Sementara itu Adnan dalam ucapannya mahu semua rakyat menghargai keamanan yang telah dikecapi oleh negara selama ini.

"Bukan mudah untuk mencapai keamanan seperti ini kalau bukan kerana pemimpin dahulu bersusah payah untuk mendapat kemerdekaan bagi Malaysia.

"Justeru, kita sebagai rakyat negara ini haruslah menjaga keamanan ini dengan sebaiknya dan janganlah kita berpecah belah walaupun berlainan politik," katanya.

Ambil kira kemampuan orang Melayu

Posted: 16 Sep 2013 11:21 AM PDT

KUANTAN 16 Sept. - Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) perlu memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan seperti perumahan, kedai mahupun pengurusan harta mengambil kira kemampuan rakyat terutama orang Melayu.

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) negeri, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap (gambar) berkata, selain keuntungan, PKNP perlu mengambil kira aspek politik dalam perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan.

"Kita ambil contoh di Tanjung Lumpur, tidak salah jika kerajaan negeri mahu membangunkan kawasan ini tetapi keutamaan seharusnya diberikan kepada orang Melayu untuk menyewa atau memiliki rumah atau premis perniagaan pada kadar harga berpatutan dan mengikut kemampuan.

"Jika tidak, kita lihat sekarang apa berlaku di Tanjung Lumpur, projek perumahan gah dibangunkan di situ, tetapi adakah orang Melayu mampu memilikinya, ini yang seharusnya diberikan perhatian dan keutamaan oleh PKNP," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abd. Wahid berkata, tidak dinafikan dengan wujudnya projek-projek utama seperti perumahan, perkedaian menjadi bukti kepada potensi dan prospek masa depan yang amat cerah bagi negeri ini.

"Tetapi, perlu diingat pembangunan semestinya memberi penekanan kepada aspek sosial dan kemanusiaan," katanya.

Beliau berkata, Perkasa negeri amat berterima kasih kepada PKNP kerana memainkan peranan dan tanggungjawab sejajar dengan objektif penubuhannya iaitu bagi meningkat, mendorong, memberi kemudahan serta menjalankan usaha pembangunan ekonomi dan sosial negeri terutamanya di kawasan luar bandar demi kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, apa diharapkan PKNP akan terus memainkan peranan organisasi itu sebaik mungkin terutama dalam mewujudkan kesejahteraan serta menawarkan produk yang memenuhi cita rasa rakyat.

"Segala projek yang bakal dilaksanakan selepas ini perlu dirancang, diawasi demi kebaikan masyarakat setempat, rakyat dan negeri ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved