Sabtu, 14 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


7 ditahan bersama senjata api

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

Ahmad Ibrahim (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd. Jan (dua dari kiri), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, ACP Nashir Ya (kanan) menunjukkan sepucuk pistol dan 12 butir peluru serta dua laras senapang angin yang dirampas dalam dua operasi sempena Op Cantas Khas baru-baru ini semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Seta, semalam.

ALOR SETAR 13 Sept. - Op Cantas Khas yang dilancarkan sejak pertengahan bulan lalu terus mencatatkan kejayaan apabila Polis Kedah berjaya menahan tujuh lelaki dan merampas tiga senjata api dan 12 butir peluru dalam tempoh lima hari sehingga awal pagi ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, tangkapan pertama melibatkan lima lelaki yang dipercayai terlibat dalam rompakan senjata api di Pokok Sena pada 4 September lalu dan suspek diberkas di beberapa lokasi berasingan sekitar Kepala Batas dan Jitra sejak Isnin lalu.

Beliau berkata, polis turut merampas sepucuk pistol jenis Revolver dan 12 butir peluru dipercayai digunakan suspek berusia 20 hingga 40 tahun itu dalam rompakan tersebut.

"Dalam rompakan kira-kira pukul 10.45 pagi itu dua lelaki bersenjatakan pistol dan parang merompak sebuah kedai getah sekerap di Pokok Sena dan melarikan wang tunai RM35,000.

"Hasil siasatan polis berjaya memberkas lima lelaki di Kepala Batas dan Jitra serta merampas sepucuk pistol dan 12 butir peluru," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.

Sementara dalam operasi kedua semalam, polis menahan dua lelaki berketurunan Siam berusia lingkungan 20-an dan 40-an kerana memiliki dua laras senapang angin buatan sendiri di Sik.

"Polis menasihatkan mana-mana individu yang mempunyai senapang angin tanpa lesen dan mereka mungkin tidak mengetahui bahawa ini adalah satu kesalahan supaya menyerah kepada pihak polis.

"Polis akan meneruskan Op Cantas Khas ini di seluruh negeri termasuk memberi tumpuan di sepanjang jalan dari Sungai Petani sehingga Bukit Kayu Hitam kerana kita percaya laluan ini digunakan oleh penjenayah untuk ke negara jiran," katanya.

Kata beliau, operasi ini juga akan memberi tumpuan di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Kulim.

Tambah Ahmad, setakat ini pihaknya menangkap 514 orang daripada 5,581 yang diperiksa selain merampas 22 kenderaan, empat pucuk pistol, tujuh senapang tempur, 13 senapang angin, 12 parang panjang, sebilah pisau 'spring', sebilah pisau bersarung, kerambit dan dua buku lima.

Op Cantas: Maritim Malaysia kawal perairan

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

PULAU PINANG 13 Sept. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini bekerjasama dengan polis bagi mengawasi pergerakan ahli kongsi gelap yang cuba menyeludup keluar negara melalui jalan laut bagi mengelak ditahan dalam Op Cantas Khas.

Ketua Penguat Kuasa Wilayah Maritim 2, Kamaruzaman Abu Hassan berkata, meskipun tiada tangkapan dibuat setakat ini, pihaknya sentiasa memantau keadaan bagi mencegah perkara itu berlaku.

Menurutnya, pemantauan dilakukan 24 jam dan tumpuan diberikan terhadap bot-bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Kita juga akan menjalankan pemeriksaan di kawasan sangkar ikan dan bot yang menggaji pekerja asing," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Menurut Kamaruzaman, buat masa ini kebanyakan penahanan yang dibuat melibatkan warga asing.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kebanyakan majikan menggaji pekerja asing khususnya warga Myanmar dan rata-rata mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Pekerja asing ini sanggup terjun ke dalam laut bagi mengelak dicekup semasa serbuan. Namun kita berjaya menahan mereka dengan bantuan penyelam sebelum diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamaruzaman berkata, beberapa dasar pelesenan baharu digubal untuk membanteras pencerobohan pukat tunda.

Katanya, peraturan tersebut dibuat oleh Jabatan Perikanan dan akan berkuat kuasa November ini selepas kerajaan menerima banyak aduan daripada golongan nelayan.

"Pihak kami menerima banyak aduan daripada nelayan dan kita ambil pendekatan mencadangkan dasar baharu digubal agar aduan daripada nelayan berkurangan dan pemeriksaan dapat dipertingkatkan," katanya.

RM1 juta untuk selenggara sistem perparitan di kawasan banjir di Kepala Batas

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

KEPALA BATAS 13 Sept. - Sebanyak RM1 juta diperlukan untuk menyelenggara sistem perparitan di beberapa kawasan yang kerap dilanda banjir di sini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan memohon peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tujuan itu.

Beliau berkata, peruntukan itu dapat mengatasi masalah sistem perparitan yang tidak sistematik di beberapa kawasan di Kepala Batas yang menyebabkan banjir kilat sering berlaku terutama ketika hujan lebat.

Kata beliau, pihaknya mengenal pasti antara kawasan yang terbabit dengan sistem perparitan yang tidak terancang adalah di Permatang Bertam, Lahar Ikan Mati, Permatang Manggis dan Pokok Cempedak melibatkan 70 buah rumah yang sering berlaku banjir kilat terutama apabila hujan.

"Penduduk datang meminta saya membantu mereka kerana setiap kali banjir kilat, mereka akan kerugian dan saya akan berbincang dan cuba mendapatkan peruntukan untuk menyelenggara sistem perparitan di situ," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika melawat beberapa kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Permatang Bertam di sini, bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JS) dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Reezal Merican juga berharap kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan masalah perparitan di kawasan terbabit dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mewujudkan undang-undang kecil bagi memantau kawasan perparitan di kawasan kampung.

"MPSP banyak memberi tumpuan kepada kawasan perparitan di kawasan taman saja dan kurang perhatian di kawasan kampung," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved