Sabtu, 14 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


79 pembeli gembira terima kunci

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh MOHAMAD AIZIM BAHARON
utusanN9@utusan.com.my

ABDUL Rahman Dahlan (kiri) menyerahkan replika kunci kepada wakil pembeli Sarimen Sapiei (kanan) di Projek Perumahan Kariah Sri Akrab, Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kelmarin.

KUALA PILAH 13 Sept - Penantian selama 14 tahun oleh seramai 79 pembeli rumah projek perumahan Kariah Sri Akrab, Juasseh dekat sini untuk memiliki rumah sendiri berakhir apabila menerima kunci rumah tersebut daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan pada satu majlis di sini semalam.

Para pembeli rumah itu bersyukur selepas projek itu yang terbengkalai sejak 2001 berjaya disiapkan oleh kontraktor penyelamat, MYA Construction Sdn. Bhd yang dilantik oleh kerajaan pada Mei 2012.

Pembinaan 93 unit rumah kos sederhana itu berjaya disiapkan oleh kontraktor berkenaan dalam tempoh 12 bulan dengan jumlah pembiayaan oleh kerajaan sebanyak RM5.1 juta.

Pembeli, Sarimen Sapiei, 46, gembira apabila menerima kunci rumah yang telah dinanti-nantikan oleh beliau dan keluarga sejak ia dibeli pada 1999.

Katanya, selepas projek itu diisytiharkan sebagai terbengkalai pada 2003, dia terpaksa membeli rumah di kawasan lain sebagai tempat tinggal tetapi masih perlu menjelaskan bayaran ansuran pinjaman kerajaan sebanyak RM540 sebulan untuk rumah di Kariah Sri Akrab itu.

"Pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa diharungi tetapi dengan doa dan harapan, rumah ini akhirnya siap juga dan kami sekeluarga sangat lega kerana masalah itu selesai selepas menunggu selama 14 tahun," katanya yang juga Guru Kolej Vokasional Juasseh.

Pesara Felda, Ishak Kamaruddin, 57, berkata, dia terpaksa menanggung hutang bayaran ansuran rumah itu selama 14 tahun disebabkan kegagalan pemaju asal menyiapkan projek berkenaan.

"Alhamdulillah, masalah ini selesai selepas campur tangan dan keprihatinan wakil rakyat, pihak kementerian, Jabatan Perumahan Negara dan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Hamidah Adam, 50, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah membantu pembeli mendapat kunci rumah itu yang kebetulan jatuh pada tarikh hari lahirnya.

"Ini merupakan hadiah hari lahir saya dan kami amat bersyukur kerana segala beban yang kami tanggung akibat membayar ansuran pinjaman bank sebanyak RM373 sebulan akhirnya berbaloi kerana dapat juga kami tinggal di rumah ini.

"Kami sekeluarga bercadang berpindah ke rumah baharu ini sebelum hujung tahun ini juga," katanya.

Pembeli, Rosmawati Mat Rais, 46, memberitahu, beban hutang pinjaman perumahan serta terpaksa membayar sewa rumah selama lebih 14 tahun yang ditanggung oleh keluarganya akhirnya berakhir dengan menerima sijil layak menduduki (CFO) rumah itu semalam.

"Kami membeli rumah ini pada tahun 1999 dan apabila projek terbengkalai kami telah menyewa sebanyak empat buah rumah sepanjang menunggu projek rumah ini siap.

"Saya amat kasihan melihat suami yang merupakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terpaksa menanggung beban membayar ansuran rumah dan pada masa yang sama menanggung kami sekeluarga," ujarnya.

Suri rumah itu memberitahu, semasa membeli rumah tersebut, anaknya masih kecil tetapi kini telah dewasa.

PPDNKK serbu premis seleweng gas dan diesel

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

SAIFULBAHRI Abdul Kadir (kiri) menunjukkan lori tangki yang digunakan untuk memindahkan gas memasak bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis di Kuala Sawah, Seremban, semalam.

SEREMBAN 13 Sept. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri menumpaskan sindiket penyelewengan gas masak dan diesel subsidi dalam dua serbuan berasingan di Kuala Sawah di sini semalam.

Timbalan Pengarah PPDNKK negeri, Saifulbahri Abdul Kadir berkata, dalam serbuan itu sebanyak 420 tong gas masak serta kira-kira 3,000 liter diesel yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM150,000 dirampas.

Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 1 petang itu, pihaknya menyerbu sebuah premis di Jalan Kuala Sawah dan menemukan sebanyak 420 tong gas masak yang dalam proses pemindahan ke dalam sebuah lori tangki.

"Ketika serbuan terdapat tiga pekerja di premis itu sedang memindahkan gas ke dalam sebuah lori tangki. Kita percaya gas itu akan dijual kepada industri bagi meraih keuntungan," katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, dalam serbuan kedua pula, pihaknya menyerbu sebuah lagi premis berhampiran dan menemukan sebanyak 3,000 liter diesel yang disimpan dalam beberapa tangki di lokasi berkenaan.

"Kita percaya diesel itu dibeli di stesen-stesen minyak sebelum dikumpul di sini untuk dijual di pasaran gelap.

"Buat masa ini, kita juga sedang menyiasat berapa lama premis berkenaan beroperasi selain dalang terlibat dalam penyelewengan itu," ujarnya.

Kata Saifulbahri, kesemua barangan berkenaan telah dirampas termasuk menyita empat buah lori tangki.

"Kes itu disiasat bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.

Naik taraf arked Mara RM7.7 juta dijangka siap 2014

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

SEREMBAN 13 Sept. - Mara memperuntukkan sebanyak RM7.7 juta bagi menampung kos projek pembinaan Arked Mara baharu di Jalan Tuanku Munawir dekat sini yang dijangkakan siap Oktober 2014.

Pengarah Bahagian Infrastruktur Ibu Pejabat Mara, Adilah Hassan berkata, pihaknya telah menyerahkan segala urusan pembinaan arked tersebut kepada kontraktor terpilih 10 September lalu dan kerja pembinaan akan dimulakan secepat mungkin.

''Projek ini bertujuan menggantikan bangunan lama yang sudah berusia 47 tahun kerana kita bimbang dengan keadaan strukturnya yang mungkin membahayakan keselamatan orang ramai.

''Bangunan baru ini akan meliputi ruang niaga tiga tingkat dengan menampilkan konsep lebih moden sekali gus memberikan keselesaan serta ruang yang lebih kondusif kepada peniaga serta orang ramai," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, sebaik sahaja projek itu selesai, peniaga berkelayakan boleh memohon bagi mendapatkan ruang perniagaan masing-masing.

''Ini sememangnya hasrat Mara dalam usaha melahirkan usahawan berdaya saing untuk ditempatkan di lokasi strategik

''Kami bukan sahaja berhasrat menyediakan peluang perniagaan, malah sentiasa berusaha menyediakan ruang perniagaan yang lebih baik," ujarnya.

Tambahnya, terdapat 47 projek bangunan Mara di seluruh negeri ini yang melibatkan 487 lot kedai.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan kekecewaan 30 peniaga asal yang kecewa dengan pihak pengurusan berikutan gagal menunaikan janji dibuat kepada mereka.

Peniaga terbabit mendakwa mereka telah diarahkan untuk mengosongkan premis di bangunan Arked Mara yang lama bagi memberi laluan projek menaik taraf bangunan berkenaan yang telah dikosongkan sejak Mac tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved