Sabtu, 14 September 2013

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Program MDAB bantu ramai pelajar bumiputera

Posted: 14 Sep 2013 02:15 AM PDT

PUTRAJAYA 14 Sept. - Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah berjaya membantu ramai pelajar bumiputera miskin yang tercicir di negara ini menyambung pengajian mereka.

Pengarah MDAB, Prof. Madya Mohd. Hanafiah Harun berkata, sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, seramai 17,268 pelajar telah diambil untuk menyambung pengajian di UiTM seluruh negara dalam pelbagai jurusan.

Beliau berkata, prestasi pelajar di bawah program MDAB menunjukkan sesuatu yang positif apabila 80 peratus pelajar yang mengikuti program tersebut bagi kumpulan pertama berjaya menyambung pengajian ke peringkat diploma.

"Program ini telah memberi peluang kedua kepada pelajar terlibat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sekiranya peluang tersebut tidak diberikan kemungkinan besar pelajar-pelajar ini tidak lagi mempunyai harapan untuk meneruskan cita-cita mereka itu.

"Melalu program ini kebajikan pelajar akan dijaga oleh UiTM menerusi dana MDAB, mereka akan menerima biasiswa yang disumbangkan oleh pelbagai badan korporat dan juga orang perseorangan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Hanafiah menyampaikan hadiah kepada pemenang Larian MDAB 2013 yang diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sebanyak 3,000 peserta menyertai larian tersebut yang bermula pada pukul 7 pagi dan membabitkan sembilan kategori iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka, lelaki veteran, wanita veteran, lelaki senior veteran, lelaki junior, wanita junior, institusi pengajian tinggi (IPT) lelaki dan wanita IPT.

Menurut Hanafiah, sehingga kini dana untuk membantu pelajar di bawah program MDAB telah terkumpul sebanyak RM27 juta hasil sumbangan pelbagai pihak.

"Hari ini kita juga berjaya mengumpul dana sebanyak RM55,227 hasil sumbangan peserta larian dan ini membuktikan mereka juga menyokong penuh program yang dilaksanakan oleh UiTM untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik," katanya. - UTUSAN ONLINE

7 rakyat Malaysia di Zamboanga disahkan selamat

Posted: 14 Sep 2013 02:10 AM PDT

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila dan Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City berjaya mengesan tujuh warganegara Malaysia yang berada di Zamboanga semasa pertembungan dua kumpulan bersenjata iaitu Rogue MNLF Element (RME) dengan pasukan keselamatan Filipina pada Isnin lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut, kesemua rakyat Malaysia itu selamat dan tidak terperangkap dalam pertembungan yang berlaku di Zamboanga.

"Dua daripada mereka kini telah diberi bantuan untuk keluar dari Zamboanga menggunakan jalan darat berikutan lapangan terbang telah ditutup kepada penerbangan komersial dan dua lagi telah berpindah ke selatan Filipina sebelum kejadian RME berlaku.

"Dua daripada tiga warganegara yang selamat masing-masing berada di bawah perlindungan pihak berkuasa Filipina dan seorang lagi yang dipercayai berada di Basilan serta usaha menghubunginya sedang dijalankan," kata kenyataan tersebut.

Tambahnya, Kementerian Luar kini sedang memberi keutamaan kepada perpindahan kesemua mereka dari kawasan konflik demi keselamatan dan menguruskan kepulangan ke tanah air.

"Kementerian ingin menasihati sekali lagi kepada rakyat Malaysia yang berhasrat membuat perjalanan ke Zamboanga atau kawasan yang kurang selamat supaya menunda hasrat buat sementara waktu sehingga keadaan keselamatan kembali pulih," katanya. - UTUSAN ONLINE

KDN setuju bina tembok di sempadan Malaysia-Thai

Posted: 14 Sep 2013 01:34 AM PDT

KOTA BAHARU 14 Sept. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini bersetuju dengan cadangan polis Kelantan agar kerajaan membina tembok dan pagar di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi mengekang masalah penyeludupan dadah dan senjata api.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan segera berunding dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan cadangan itu di sempadan sepanjang 121 kilometer di negeri ini.

"Selain itu KDN juga akan mewartakan sepanjang tebing sungai di sempadan itu sebagai kawasan keselamatan dan cadangan ini perlu disegerakan," katanya selepas mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan semua Ketua Polis Daerah di negeri itu.

Beliau berkata jika semua cadangan itu menjadi kenyataan, semua pangkalan haram di sepanjang sempadan itu akan lumpuh.

"Kita memahami jika keadaan itu berlaku, ia akan menjejaskan aktiviti ekonomi penduduk tetapi mana yang lebih penting apakah mahu meneruskan aktiviti seperti itu atau melumpuhkan kegiatan penyeludupan senjata api dan dadah," katanya.

Menurutnya kerajaan tidak boleh mengambil kira faktor ekonomi semata-mata tanpa melihat isu keselamatan yang menjadi tunjang dan rakyat negeri itu perlu diberi keutamaan bagi mereka merasa selamat dan selesa melakukan aktiviti seharian. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved