Sabtu, 14 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Cara mudah cari kerja sesuai

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

MD. Jais Sarday (dua dari kanan) menyentuh bebola elektronik sebagai simbolik Majlis Perasmian Kepak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, Johor, semalam. - utusan/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 13 Sept. - Kerajaan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sedang membangunkan satu sistem yang memudahkan golongan pencari kerja mendapatkan kerjaya bersesuaian.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Sistem Pengurusan Tenaga Kerja Johor itu berperanan mengurus dan memantau data penawaran serta permintaan modal insan di seluruh negeri.

"Sistem berkenaan menyimpan maklumat mengenai pelbagai kekosongan jawatan dan peluang kerjaya yang terdapat di seluruh negeri bagi memudahkan pencari kerja serta majikan, sekali gus membantu kerajaan negeri dan IRDA mencapai matlamat tahap guna tenaga penuh.

"Selain itu sistem berkenaan juga akan mengandungi maklumat penting dalam proses merangka dasar dan strategi berkaitan modal insan bagi memenuhi kehendak industri," katanya dalam Majlis Perasmian Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday.

Yang hadir sama, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Elias Hasran dan Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Tambah Mohamed Khaled, sistem itu juga dijangka dapat mengesan kekurangan modal insan bagi sesuatu bidang kemahiran yang diperlukan industri dan pada masa sama membantu dalam perancangan program pembangunan sumber manusia.

"Malah dengan data yang terperinci, secara tidak langsung dapat menyegerakan tindakan membuat keputusan dan pelaksanaan secepat mungkin,'' ujarnya.

Sementara itu, Kepak 2013 yang akan berlangsung sehingga Ahad ini menyaksikan pembabitan 100 gerai terdiri daripada 36 peluang kerjaya, 18 perniagaan, 25 sektor kemahiran yang membabitkan 3,000 kekosongan jawatan.

"Sejak penganjuran tiga tahun lalu, Kepak berjaya memadankan lebih 2,000 pencari kerja di negeri ini mengikut kelayakan masing-masing," katanya.

RM182,850 bina, baiki rumah ahli PBTM Muar

Posted: 13 Sep 2013 11:52 AM PDT

MUAR 13 Sept. - Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Muar membiayai pembinaan tiga rumah baharu dan membaik pulih tiga rumah ahlinya dengan kos RM182,850 dalam fasa pertama Program 1Malaysia Baik Pulih Rumah Veteran Tentera.

Pengerusinya, Shamsudin Rais berkata, daripada jumlah tersebut RM149,850 adalah kos untuk membina rumah baharu dengan tiga bilik di Kampung Seri Tanjung, Bakri; Kampung Serom 4, Sungai Mati, Tangkak, Ledang dan Jalan Khalidi, Muar.

"Sementara selebihnya iaitu RM33,000 adalah untuk kos baik pulih rumah di Sawah Ring, Jorak dan di Panchor, Pagoh. Kerja-kerja pembinaan dan baik pulih itu sedang dilakukan lapan jurutera Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bagi setiap rumah baharu, kos pembinaannya RM49,950 manakala kos baik pulih rumah pula setiap sebuah RM11,000," katanya dalam majlis tahlil dan doa selamat PBTM Cawangan Muar meraikan bakal haji di pejabat persatuan itu, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang ingin memohon peruntukan tersebut untuk fasa kedua masih lagi dibuka pendaftarannya dan ahli-ahli persatuan yang berminat boleh datang ke pejabat bagi mendapatkan borang permohonan.

Shamsudin berkata, pelaksanaan fasa kedua akan dilakukan tahun depan dan antara syaratnya ialah pemohon perlu miliki tanah sendiri dan tidak mempunyai pencen.

"Bagi ahli yang berpencen tetapi pendapatannya rendah akan dipertimbangkan untuk kelayakan permohonan tersebut. Apa yang perlu dilakukan hanya datang ke Pejabat PBTM Cawagan Muar untuk pertimbangan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, seramai tujuh bakal haji berkenaan menerima sumbangan berupa kelengkapan menunaikan haji termasuk wang tunai daripada pengerusi persatuan berkenaan.

Shamsudin berkata, acara tahunan PBTM itu juga merupakan salah satu cara untuk menghargai ahli-ahlinya yang selama ini membantu dan menyokong perjuangan persatuan berkenaan dalam membela kebajikan mereka.

"Saya minta bakal haji dapat menyempurnakan haji sebaik-baiknya dan mendapat haji mabrur. Bakal haji perlu menjaga kesihatan sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Bilangan bakal haji pada tahun ini kurang berbanding tahun lalu iaitu 15 orang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved