Rabu, 11 September 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


3,000 penduduk terputus hubungan

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

HALIM Hassan (kiri) melihat jambatan yang menjadi laluan penduduk kampung runtuh di Kampung Keladi, Kulim, Kedah, semalam.

KULIM 10 Sept. - Kira-kira 3,000 penduduk dari beberapa kampung terputus hubungan apabila jambatan utama yang menghubungkan Kampung Keladi dan Kampung Seberang Sungai, Kulim di sini runtuh sejak Khamis lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Habibah Md. Isa, 50, berkata, jambatan itu patah di bahagian tengah selepas hujan lebat kira-kira pukul 4 petang pada hari tersebut.

"Apabila jambatan lama itu runtuh, banyak masalah timbul penduduk terpaksa guna laluan lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, jambatan tersebut sebelum ini turut menjadi laluan utama kepada penduduk di Kampung Sungai Limau, Bukit Kukus, Air Hitam, Taman Selasih dan Pondok Labu.

"Jambatan sepanjang 40 meter itu dibina pada tahun 2002 lalu melibatkan peruntukan lebih RM80,000. Ia berlaku kerana tiang utama jambatan itu tiba-tiba tenggelam ke dalam sungai, puncanya mungkin masalah tanah dalam sungai itu," katanya.

Seorang penduduk, Abu Bakar Ahmad, 67, berkata, jambatan juga sering digunakan oleh pelajar ke Sekolah Kebangsaan (SK) Keladi dan Sekolah Menengah Kebangaan (SMK) Keladi.

"Jalan ini juga digunakan oleh penduduk untuk keluar ke pekan Kulim dan kami harap pihak berkenaan melakukan sesuatu agar masalah ini tidak berlarutan," katanya.

Seorang suri rumah, Marina Abdullah, 37, berkata, kerosakan pada jambatan itu jika dibiarkan boleh membahayakan sesiapa sahaja yang melintasinya.

"Sebelum kejadian tidak diingin berlaku, langkah sewajarnya perlu diambil," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Halim Hassan berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa penduduk yang sering menggunakan laluan jambatan itu.

"Saya sudah maklumkan hal itu kepada pihak berkenaan di pejabat daerah Kulim dan berharap masalah itu disampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir untuk tindakan lanjut," katanya.

Tuanku Zara seru graduan jayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Tuanku Zara Salim menyampaikan Pingat Emas Canselor kepada Izza Hasrina Ismail dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris Kali Ke-15 di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Tanjung Malim, Perak, semalam.

TANJUNG MALIM 10 Sept. - Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim menyeru para graduan merealisasikan kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) bagi memacu kemajuan pendidikan tanah air.

Baginda yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah, transformasi pendidikan yang ditegaskan kepemimpinan negara amat relevan sekali gus memerlukan tindakan serta keupayaan pelaksanaan bagi menjayakannya.

"Para graduan berperanan penting merealisasikan kejayaan pelan-pelan tersebut. Terapkan idealisme yang diimpikan dalam gerak kerja ketika melaksanakan tugas setelah berada di luar kampus.

"Jadilah insan kamil yang mengagungkan kebesaran penciptanya. Jadilah warga yang menyanjung semangat kesetiaan kepada raja dan negaranya.

"Jadilah insan budiman, mensejahterakan masyarakat melalui lidah bicara dan hemah tindakan seorang pendidik," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam sidang pembukaan Istiadat Konvokesyen UPSI Kali Ke-15 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalananthan dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Zakaria Kasa.

Sebanyak 6,541 graduan dianugerahkan ijazah dan diploma dalam sesi konvokesyen kali ini melibatkan 23 pemegang doktor falsafah (PhD), sarjana (790), ijazah sarjana muda (2,882) dan diploma (2,756).

Sesi konvokesyen UPSI kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus bilangan graduan berbanding 3,322 pada tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Zara turut berkenan melantik Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Dr. Zakri Abdul Hamid sebagai Pro-Canselor UPSI yang baharu.

Selain itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Sejarah, masing-masing kepada Tan Sri Dr. Muhammad Rais Abdul Karim dan Tan Sri Omar Mohd. Hashim.

Dalam pada itu, Tuanku Zara turut menyeru para graduan supaya menghayati sepenuhnya Falsafah Pendidikan Negara yang mentafsir pendidikan sebagai usaha berterusan memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan seimbang.

Selain itu, baginda turut menyarankan para graduan menyemai hasrat melanjutkan pengajian di peringkat ijazah lanjutan kerana usaha menimba ilmu tidak seharusnya terhenti setelah berjaya menggenggam segulung ijazah.

"Budaya intelek hendaklah sentiasa disemarakkan dalam diri graduan. Seorang pendidik tidak boleh memisahkan diri daripada rasa cinta terhadap ilmu.

"Jadilah seorang pendidik dihormati yang mengamalkan sifat budaya intelek; mencermin diri sebagai insan berilmu, bertenaga dan berupaya mengharungi cabaran serta evolusi dunia pendidikan," titah baginda.

Calon jawatan Rektor Kuin dikenal pasti - MB

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

ALOR SETAR 10 Sept. - Calon untuk mengisi jawatan Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin) telah dimuktamadkan dan pelantikan itu diyakini dapat menyelesaikan kemelut yang melanda kolej tersebut.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, beliau belum boleh mendedahkan nama rektor baharu tersebut kerana surat tawaran belum dikeluarkan.

"Daripada perjumpaan dengan calon berkenaan, nampaknya beliau sangat berminat untuk menerima tawaran tersebut.

"Beliau ialah orang Malaysia, bukan orang dalam Kuin dan pemilihan ini datang daripada satu jawatankuasa khas yang telah melalui proses yang telus," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pelajar-pelajar Kedah yang akan melanjutkan pelajaran ke Jordan di Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, calon baharu rektor itu juga diyakini dapat mengembalikan maruah dan martabat Kuin yang dilanda pelbagai masalah.

"Kita perlukan seorang rektor yang boleh selesaikan banyak masalah dalaman Kuin dan membawa masa depan Kuin ke landasan yang kukuh," jelasnya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, kerajaan negeri juga tidak bercadang membubarkan Insaniah Holdings kerana matlamat asal penubuhannya masih relevan sehingga kini.

"Sekarang kita cuma mahu perbetulkan apa yang dilakukan sebelum ini. Antara masalahnya ialah akaun di bawah anak syarikat Insaniah Holding yang susah untuk kita nak dapatkan penyata yang boleh diterima oleh pihak pengaudit," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved