Rabu, 11 September 2013

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Amukan Harimau Muda

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ALI MAHMOOD
dayne.ghazali@utusan.com.my

Nasir (dua kanan) diserbu rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pembukaan Malaysia menentang Thailand dalam aksi Pestabola Merdeka di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Malaysia menang 3-0. - UTUSAN/ MAHATHIR ALI

KUANTAN - Harimau Muda bagaikan masih lapar meskipun telah menempah tempat pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2013 apabila penuh bergaya membenam Thailand 3-0 dalam aksi penutup peringkat kumpulan di hadapan 5,000 penonton di Stadium Darul Makmur, semalam.

Penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun, Rozaimi Abdul Rahman membuktikan bisanya perlu diberi perhatian oleh Ong Kim Swee apabila meledak dua jaringan pada minit ke-27 dan 80 dengan gol pertama Malaysia disumbangkan Mohd. Nasir Basharuddin pada minit ke-11.

Keputusan itu turut membantu Myanmar bertemu Malaysia di perlawanan akhir selepas menang 2-0 di Stadium Temerloh dan mengatasi Thailand dengan perbezaan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat empat mata.

Harimau Muda mudah merobek gawang Thailand pada minit ke-11 lagi melalui rembatan leret pemain tengah Perak, Nasir Basharuddin dari dalam kotak penalti.

Melalui sepakan percuma yang diambil oleh pemain FC Ryukyu, Nazirul Naim dari sebelah kiri, penjaga gol Thailand, Abeefaesan Ya sekadar menumbuk lemah sebelum bola sampai singgah di kaki Nasir yang melepaskan rembatan leret bagi gol pembukaan Malaysia.

Kehilangan ketua pasukan, Mahamasabri Awaebuesa di bahagian pertahanan jelas amat dirasai oleh Thailand apabila 16 minit kemudian, gawang skuad Gajah Putih bocor lagi, kali ini giliran pemain yang berasal dari Sabah, Rozaimi.

Tindakan bijak Sivanesan yang melepasi perangkap ofsaid di sebelah kanan memberikan ruang kepada Rozaimi yang berlari pantas ke dalam kotak penalti tanpa dikawal oleh mana-mana pemain sebelum memperdayakan Abeefaesan dan menolak masuk bagi jaringan kedua tuan rumah.

Rozaimi terus mengganas lagi pada minit ke-80 hasil gerakan skil individu yang menarik dengan mengatasi tiga pertahanan lawan dan menjaringkan gol yang cantik menerusi rembatan kencang di luar kotak penalti.

Kim Swee mengakui kemenangan yang dicapai oleh Harimau Muda hari ini ekoran sikap positif yang dipamerkan oleh barisan pemain mudanya di samping keletihan pihak lawan yang menggunakan sebahagian besar pemain yang sama pada tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.

''Kemenangan itu membuktikan sesiapa sahaja dalam pasukan ini boleh berada dalam kesebelasan utama dan situasi itu pasti akan terus membuatkan saya pening kepala memilih siapa yang akan digunakan pada aksi akhir nanti," katanya.

Rombakan berani BAM

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Barisan jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mengalami perubahan apabila Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG), Tan Aik Mong sudah bersedia mendedahkan senarai baharu rombakan jurulatih termasuk yang diturunkan pangkat.

Aik Mong mengambil masa selama tiga hari untuk melakukan rombakan kecil selepas berbincang dengan beberapa individu yang berpengaruh dalam sukan badminton seperti penilai bebas BAM, Razif Sidek serta barisan jurulatih terdahulu termasuk ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her.

Aik Mong difahamkan sudah memiliki senarai tersebut, namun belum mahu mendedahkannya kepada pihak media semalam dengan memberi alasan bahawa dia terlalu sibuk dan mengadakan perbincangan bersama Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Datuk Marina Chin.

"Saya baru keluar dari SSBJ, saya agak penat untuk bertemu media dan menjelaskan tentang perubahan barisan jurulatih BAM, esok (hari ini) saya akan memberitahu semua," katanya.

Aik Mong yang merupakan bekas pemain badminton negara era 60-an dan 70-an dijangka membuat perubahan termasuk jurulatih perseorangan, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita dan beregu campuran serta mereka yang diturunkan pangkat melatih pemain akademi di SSBJ.

Terdapat juga spekulasi bahawa jurulatih di SSBJ akan diberi ruang untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan selepas tempat mereka digantikan jurulatih yang diturunkan pangkat.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa jawatan yang dipegang Kim Her sekarang menjadi tanda tanya selepas kontraknya yang berakhir pada Februari 2014 masih belum disambung, malah bekas pemain beregu negara itu juga tidak mahu memberi sebarang komen lanjut semalam mengenai kedudukannya dengan hanya memberi jawapan 'semua tanya kepada Aik Mong'.

Kim Her dijangka diberikan peranan baharu iaitu menjadi pembantu kepada Aik Mong, manakala jurulatih yang akan melatih pemain beregu lelaki bakal diberikan kepada pembantunya, Paulus Firma sambil dibantu oleh Chang Kim Wai yang sebelum ini menjadi jurulatih di SSBJ.

Tidak banyak perubahan bagi jurulatih perseorangan lelaki dengan Rashid Sidek dan Tey Seu Bock masih diberi kepercayaan untuk meneruskan tugas mereka cuma mereka akan dibantu oleh jurulatih dari China, Zhou Kejian. Ini bermakna Kejian dinaikkan pangkat selepas beberapa tahun mencungkil bakat baru di SSBJ.

Pemain perseorangan dan beregu wanita dijangka mendapat sentuhan jurulatih baharu dari SSBJ, Ronny Agustinus dan Ng Mee Fen dinaikkan pangkat bersama-sama bekas pemain beregu wanita negara, Wong Pei Tty.

Sementara tugas jurulatih beregu campuran masih kekal di bawah tanggungjawab Jeremy Gan.

Ini bermakna mereka yang melatih skuad utama seperti Hendrawan, Mohd. Hazwan Jamaluddin, Rosman Abd. Razak, Woon Sze Mei, Chong Kien Ling, Wong Tat Meng dan Chin Eei Hui dijangka melatih pemain remaja di SSBJ.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved