Rabu, 11 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


14,053 duduki UPSR di Melaka

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Oleh AZLI AHAD
utusanmelaka@utusan.com.my

PELAJAR Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Ayer Molek, Melaka yang menduduki peperiksaan UPSR kertas Bahasa Melayu Kefahaman di Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 10 Sept. - Sebanyak 14,053 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini yang bermula hari ini hingga Khamis di 244 pusat peperiksaan membabitkan 239 buah sekolah seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, daripada jumlah itu, 14,050 calon adalah dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala selebihnya tiga calon terdiri dari sekolah swasta.

Menurutnya, sebanyak 1,420 petugas peperiksaan turut dilantik bagi membantu kelancaran peperiksaan seperti dijadualkan.

"Sebanyak 8,191 murid merupakan calon dari Melaka Tengah, 3,482 calon dari daerah Alor Gajah manakala 2,410 calon dari daerah Jasin.

"Bagaimanapun, jumlah murid yang menduduki UPSR pada tahun ini menurun sebanyak 1,112 calon berbanding 15,165 pada tahun lalu," katanya demikian ketika ditemui selepas memantau perjalanan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek, di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Mutalib Osman, Ketua Penolong Pegawai Unit Pengurusan Sekolah Daerah Melaka Tengah, Datin Mariani Yahya dan Guru Besar SK Ayer Molek, Nor Aisah Muhamed.

UPSR akan berakhir Khamis ini setelah semua calon selesai menduduki subjek Sains, Bahasa Inggeris Kertas 1, Bahasa Inggeris Kertas 2 dan Ujian Aptitud Tahun Enam.

Md. Yunos berkata, Melaka menyasarkan peningkatan murid mendapat keputusan cemerlang 5A kepada 11.9 peratus berbanding 9.7 peratus yang dicapai tahun lalu.

''Kerajaan negeri juga mahu peratus lulus bagi semua calon UPSR dapat dilonjakkan dari 69.1 peratus pada 2012 kepada 71.8 peratus tahun ini.

''Sasaran itu seterusnya diharap dapat mencapai hasrat Jabatan Pendidikan negeri untuk memperoleh Gred Purata Negeri 2.14 berbanding 2.17 tahun sebelumnya," jelas beliau

Rimbunan Kasih berjaya kurangkan bilangan asnaf

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

Ambrin Buang (kiri) ketika melawat rumah peserta Projek Rimbunan Kasih, Serkam Darat, Melaka, kelmarin.

MELAKA 10 Sept. - Projek Rimbunan Kasih yang mula beroperasi di Serkam Darat sejak Mei lalu dilihat berjaya mengurangkan bilangan penerima asnaf dalam negeri ini.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md. Amin berkata, projek yang dibangunkan dengan peruntukan RM27 juta daripada kerajaan persekutuan dan MAIM itu memberi pendapatan bersih sebanyak RM1,400 sebulan kepada 100 orang peserta projek berkenaan yang sebelum ini merupakan penerima asnaf dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Melalui pembayaran sewaan rumah sebanyak RM100 setiap bulan secara langsung memberi pulangan tetap kepada MAIM iaitu sebanyak RM 10,000 sebulan yang dipotong melalui pendapatan mereka.

"Projek ini dianggap berhasil dan berjaya kerana para peserta menerima pendapatan bulanan secara tetap setiap bulan dan hanya RM100 ditolak untuk bayaran sewa rumah kepada MAIM sejak mereka mula menduduki rumah itu pada hujung April lalu.

"Bukan sahaja membantu peserta keluar dari golongan asnaf malah membolehkan mereka memperoleh pendapatan tetap di samping menikmati kehidupan yang lebih baik dengan mempunyai kediaman yang selesa," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi Lawatan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di Projek Rimbunan Kasih, di sini. Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Naim Abu Bakar.

Yaakub berkata, projek itu yang diusahakan itu ternyata membuahkan hasil apabila tuaian tanaman telah dipasarkan ke hotel-hotel tempatan walaupun pertanian di kawasan berkenaan yang baru memulakan operasi.

Katanya, kawasan berkeluasan 14.164 hektar itu dibahagikan 8.094 hektar untuk penempatan manakala 6.07 hektar untuk tapak pertanian serta penternakan telah dipenuhi dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, padi bukit dan ternakan ikan.

"Melalui lawatan Ketua Audit Negara, beliau melihat sendiri projek yang telah diusahakan dan memastikan peruntukan yang diberikan kerajaan sebelum ini tidak membazir dan merugikan.

"Lawatan ini juga memberi semangat kepada pihak kita untuk menambah baik lagi hasil produk agar dapat diperluaskan dan menjadi projek contoh kepada projek pertanian dan penternakan lain di negara ini," katanya.

Loji kumbahan IWK ganggu keselesaan penduduk

Posted: 10 Sep 2013 11:04 AM PDT

JEMPOL 10 Sept. - Penduduk dari Taman Mawar Fasa Dua, dekat Batu Kikir berharap agar pihak Indah Water Konsortium (IWK) membantunya menyelesaikan masalah loji kumbahan jenis mekanikal bersebelahan rumahnya yang sering mengeluarkan bau busuk.

Talib Muhammad 72, menjelaskan dia mula membeli rumah tersebut pada tahun 1996 dan sedar bahawa kedudukan rumah itu benar-benar bersebelahan dengan loji berkenaan.

''Ketika itu masalah bau tidak seperti sekarang dan ia bertambah buruk sejak beberapa tahun lalu. Lihatlah loji ini hanya ditutupi dengan pagar, bersebelahan rumah saya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mendakwa pernah mengadakan perbincangan dengan pihak IWK dan mereka berjanji mahu membantu untuk menyelesaikan masalah bau busuk tersebut.

''Entah bilalah janji itu mahu dikotakan. Sampai bilalah saya mampu bertahan dengan bau busuk ini. Buatlah sesuatu, asalkan bau busuk itu dapat diatasi," ujarnya.

Kata Talib, dengan usianya yang semakin meningkat tentulah bau busuk itu sedikit sebanyak mengganggu kesihatannya.

''Saya menjadi malu dengan tetamu yang datang ke rumah apabila setiap kali mereka akan menghidu bau busuk dari loji ini.

''Mustahillah saya akan berpindah rumah hanya kerana bau busuk yang datang dari loji ini. Ini rumah yang telah saya beli. Janganlah ada yang mengatakan demikian. Isu di sini bukan pindah tetapi loji yang mengeluarkan bau busuk ini," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved