Rabu, 11 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Beriadah sambil tenangkan fikiran

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN
utusanpahang@utusan.com.my

JETI Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah (TJPSAS) menjadi perhatian pengunjung memberi makanan kepada ikan yang terdapat di dalam tasik tersebut.

KUANTAN 11 Sept. - Beriadah bersama keluarga atau rakan di tempat menarik sudah tentu menjadi kemestian bagi mereka untuk menghabiskan masa, selain menenangkan fikiran selepas penat bekerja.

Bagi penduduk bandar pula, kawasan riadah menjadi pilihan utama untuk bersantai atau mengadakan aktiviti sukan yang akan mengeratkan hubungan sesama mereka.

Taman Jubli Perak Sultan Ahmad Shah (TJPSAS) yang terletak di Indera Mahkota dekat sini menjadi pilihan masyarakat daerah ini mengadakan pelbagai aktiviti riadah di situ.

Terletak berhampiran Jalan Sungai Lembing-Kuantan, lokasi itu menjadi tumpuan popular warga Kuantan dan mewujudkan suasana ceria di kawasan itu.

Taman itu yang terletak di tengah bandar Kuantan sentiasa menjadi tumpuan masyarakat setempat yang inginkan suasana berbeza dari laut dan pantai.

Kawasan tersebut mempunyai perbezaan dengan taman rekreasi lain di bandar ini iaitu tasik buatan yang cantik serta dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan.

Dilengkapi dengan trek joging sepanjang dua kilometer, pelbagai jenis alatan senaman turut disediakan di sepanjang laluan tersebut bagi pengunjung yang mementingkan kesihatan serta ingin melakukan senaman ringan.

Ibu bapa yang membawa anak kecil tidak perlu bimbang kerana taman itu turut menyediakan taman permainan yang sudah pasti menjadi pilihan mereka untuk bermain.

Selain itu, pengunjung berpeluang melakukan aktiviti berkayak, berbasikal dan memancing serta bermain woodball.

Bagi aktiviti berkayak, caj sebanyak RM8 dikenakan untuk kayak solo manakala RM12 pula bagi kayak yang mempunyai dua tempat duduk.

Setelah penat beriadah, pengunjung boleh berehat sambil menikmati makanan dan minuman di gerai yang menyediakan pelbagai jenis masakan panas di tepi tasik.

Mereka juga tidak perlu bimbang kerana taman itu juga menyediakan kawasan letak kereta yang luas.

Antara kemudahan lain disediakan di situ adalah tandas awam, surau, beberapa wakaf dan kawalan keselamatan sekitar taman berkenaan.

Seorang pengunjung, Ungku Siti Nurhumairah Ungku Salleh, 18, berkata, taman itu menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu.

"Saya datang ke sini untuk berjoging dan menemani adik untuk berkayak. Bagaimanapun kami datang ke sini pada hujung minggu sahaja sebab saya tinggal di asrama sebuah sekolah di sini dan kalau ada masa lapang, pasti datang sini," katanya.

Ungku Siti berkata, dia memilih lokasi itu kerana pemandangannya cantik, selain kawasannya luas serta mempunyai peralatan senaman yang disediakan.

Bagi seorang lagi pengunjung, Mohd. Adzwan Shah Mohd. Aini @ Ariffin, 28, pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama keluarga, sekali gus taman tersebut menjadi pilihan warga bandar untuk berkunjung ke situ.

"Kadang-kadang ada dianjurkan pertandingan memancing dan mereka yang berminat bermain woodball pun boleh datang ke sini. Memang sesuai bawa keluarga meluangkan masa bersama sambil beriadah di sini," ujarnya.

Sarang penagih dadah digempur

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

ANTARA barang milik penagih dadah yang dirampas dalam Ops Tapis Sepadu di ladang sawit Felda Jengka 8 dan Jengka 12, Maran, kelmarin.

MARAN 11 Sept. - Polis Pahang akan menggempur secara agresif sarang penagihan dadah di bawah Ops Tapis Sepadu di tanah rancangan Felda khususnya di Jengka bagi mengurangkan indeks kes berkaitan dadah di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Yap Toon Khuan berkata, laporan mendapati beberapa tanah rancangan Felda menjadi lokasi penagih dadah untuk melepaskan gian masing-masing di kawasan ladang kelapa sawit.

Beliau berkata, antara sarang penagih dadah yang dikenal pasti di Felda Wilayah Jengka seperti di Felda Jengka 8 dan Jengka 12 yang menjadi tumpuan pihak berkuasa untuk menanganinya secara tegas.

"Dalam Ops Tapis di Felda Jengka 8 dan Felda Jengka 12 semalam yang membabitkan lima pegawai dan 58 anggota dari IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pahang serta IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Maran, Temerloh, Kuantan dan Kuala Lipis itu, kami berjaya menahan 65 orang penagih.

"Mereka yang ditangkap merupakan buruh ladang, peniaga dan penganggur yang menjadikan kawasan berkenaan sebagai sarang untuk melepaskan gian. Turut membantu dalam Ops Tapis bersepadu ini adalah anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPK dan Pasukan Gerakan Am (PGA)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Ops Tapis bersepadu yang bermula pukul 4 pagi hingga 6 petang di ladang sawit Felda Jengka 8 dan Jengka 12 semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Supritendan Sulaiman A Hamid.

Menurutnya, menerusi Ops Tapis ini, seorang wanita berusia lewat 20-an ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki 23 gram dadah jenis heroin manakala seorang lagi ditahan di bawah Seksyen 39A akta yang sama.

Tambah beliau, turut dirampas adalah senjata tajam seperti parang sebanyak lima bilah, pisau, gunting, alat menghisap dadah, picagari, telefon bimbit dan pemutar skru.

Ahmad Tajuddin Panglima 4 Briged Mekanize baharu

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Abdul Rahim Abdul Mutalib (duduk kanan) dan Ahmad Tajudin Abdul Ghani (duduk kiri) menandatangani nota serah terima tugas sambil disaksikan oleh Razali Ahmad (tengah) di Kem Batu 10, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 11 Sept. - Brigedier Jeneral Ahmad Tajuddin Abdul Ghani dilantik sebagai Panglima 4 Briged Mekanise baharu berkuat kuasa semalam.

Beliau yang sebelum ini merupakan Pengarah Rancang, Cawangan Perancangan dan Pembangunan, Markas Tentera Darat, Kementerian Pertahanan mengambil alih tugas tersebut daripada Brigedier Jeneral Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib.

Abdul Rahim yang mula berkhidmat di Markas 4 Briged Mekanise pada 3 Februari tahun lalu bertukar ke jawatan baharu sebagai Ketua Pengarah Perancang Pembangunan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kementerian tersebut.

Perbarisan majlis serah terima tugas dilakukan di Padang Kawad 1, Rejimen Kor Armor Diraja, Kem Batu 10 di sini hari ini yang turut dihadiri Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan upacara menandatangani nota serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa serta penyerahan tombak 4 Briged Mekanise kepada Panglima 4 Briged Mekanize baharu.

Berucap dalam majlis itu, Abdul Rahim menyeru setiap anggota 4 Briged Mekanise melaksanakan segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh komited demi memastikan briged berkenaan dapat mencapai tahap optimum dalam segala aspek.

Beliau berkata, seluruh warga briged itu juga perlu bersama-sama dengan Panglima baharu merealisasikan matlamat menjadikan 4 Briged Mekanize sebagai satu ketumbukan yang mendapat sepenuh kepercayaan Tentera Darat dalam sebuah pasukan teras yang jitu dan mampan.

"Bersama-samalah menggembleng tenaga dan bakti perjuangan ke arah kecemerlangan supaya menjadi ketumbukan Mekanize yang kental dan jitu serta kekal mendukung arahan dan mandat dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Menurutnya, beliau percaya sesiapa sahaja yang menggantikannya sebagai Panglima 4 Briged Mekanise pasti akan memberikan nasihat serta penekanan yang sama kerana objektif yang ingin dicapai tidak berubah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved