Rabu, 11 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Dr. Mahathir nafi terlibat projek IC

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

DR. MAHATHIR Mohamad hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah.

KOTA KINABALU 11 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menafikan terlibat dalam mana-mana projek IC termasuk Projek IC Mahathir seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau yang merupakan saksi ke-209 dalam prosiding Suruhanjaya Diraja (RCI) tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut menegaskan bahawa tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi melaksanakan projek IC berkenaan.

''Saya hanya baru mendengar tentang 'projek IC'. Saya tidak tahu tentang perkara ini, ada orang kata projek Mahathir.

''Nama saya telah digunakan di mana-mana, malah digelar ultra rasis tetapi saya tidak ambil peduli,'' katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali, Manoj Kurup dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dr. Mahathir yang berkot kelabu dilihat tenang dan lancar menjawab semua soalan yang dikemukakan. Beliau hadir dengan ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak pernah memberi arahan kepada sesiapa untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang negara.

''Sebaliknya, segala arahan yang diberi sepanjang menjadi Perdana Menteri adalah berlandaskan kepada undang-undang dan Perlembagaan negara,'' katanya yang menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Tegasnya, beliau tidak pernah memberi arahan kepada mana-mana pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Mohd. Salleh; bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayob; dan bekas setiausaha politiknya, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin untuk mengeluarkan kad pengenalan kepada rakyat asing yang tidak berkelayakan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Berkaitan dengan pemberian kewarganegaraan yang didakwa sesetengah pihak amat mudah dikeluarkan di negeri ini, beliau berkata, perkara itu ditentukan oleh pihak berkuasa selepas mengambil kira pelbagai aspek dalam perundangan negara seperti tempoh bermastautin dan sebagainya.

Ujar Dr.Mahathir, sesiapa sahaja yang menjadi warganegara akan mempunyai hak untuk mendaftar sebagai pemilih di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi.

Tambah beliau, jika terdapat penyalahgunaan dalam pemberian kewarganegaraan adalah disebabkan individu tertentu yang gagal melaksanakan amanah dengan baik tetapi tidak melibatkan polisi dan dasar kerajaan.

Ditanya tentang individu yang pernah ditahan kerana mengeluarkan kad pengenalan dengan cara salah termasuk pegawai dari Majlis Keselamatan Negara, beliau menegaskan, ia dilakukan melalui justifikasi sewajarnya.

''Mereka mungkin melakukan sesuatu yang salah. Saya tidak tahu, itu jelas berkaitan isu kad pengenalan. Kita tidak semudahnya menahan orang tanpa alasan,'' katanya.

Mengulas tentang persepsi sesetengah pihak yang mengaitkan isu kad pengenalan palsu dan kemasukan UMNO ke Sabah, Dr. Mahathir berkata, isu kad pengenalan dan kewarganegaraan ini telah timbul sejak Parti Bersatu Sabah (PBS) berkuasa lagi.

''UMNO datang kerana dalam pilihan raya 1999, PBS keluar daripada BN, jadi UMNO perlu datang bagi menguruskan kempen,'' katanya.

Sementara itu, ketika ditanya Pengerusi RCI, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong sama ada beliau bersetuju tentang persepsi dalam kalangan rakyat Sabah bahawa masalah PATI di Sabah berada pada tahap yang serius, Dr. Mahathir mengakui perkara itu perlu ditangani dengan bersungguh-sungguh.

''Kerajaan telah pun melakukan pelbagai tindakan bagi mengatasi masalah itu termasuk menghantar mereka kembali ke negara asal.

''Masalahnya mereka datang kembali dalam beberapa hari dan menyusup ke kampung air di mana tiada pihak berkuasa seperti Imigresen dan polis,'' ujarnya.

Mahkamah tolak bedah siasat semula mayat anak tersepit

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

IPOH 11 Sept. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang bapa supaya mayat anak lelakinya yang ditemui mati tersepit pada palang besi tingkap dapur ketika cuba menceroboh masuk rumah jirannya pada Julai lalu dibedah siasat buat kali kedua.

Perkembangan terbaru itu sekali gus menyebabkan urusan pengebumian Sherol Aizam, 27, kekal tertangguh sehingga hari ini meskipun telah 54 hari disimpan dalam Bilik Mayat Hospital Raja Permaisuri Bainon (HRPB) di sini.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memutuskan demikian setelah mendapati permohonan Mohd. Damanhuri Mohd. Fuat, 50, yang diwakili peguam, Mohd. Fitri Asmuni tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertimbangkan.

Kata beliau, ini kerana Mohd. Damanhuri berbuat demikian hanya kerana ingin mengetahui punca kesam lebam yang terdapat pada badan anaknya sedangkan perkara itu telah direkodkan dalam laporan bedah siasat pertama yang dibuat pakar perubatan HRPB.

''Dalam laporan tersebut juga telah dinyatakan kematian mangsa bukan sahaja berpunca kerana sesak nafas akibat tersepit malahan kesan daripada tiga jenis dadah yang ditemui dalam badan dan air kencingnya.

''Oleh itu, persoalannya jika dilakukan bedah siasat kedua atau ketiga sekalipun adakah doktor dapat mengetahui punca dan siapa yang telah menyebabkan kesan lebam berkenaan?

''Kalau tidak boleh, kenapa perlu buat. Oleh itu permohonan ini tidak boleh dibenarkan kerana kalau dibuat ia hanya urusan sia-sia,'' kata Hakim Zainal Adzam.

Beliau sebelum itu turut menegur tindakan Mohd. Fitri yang berkali-kali dalam hujahannya menyebut mengenai 'cakap-cakap' yang didengarnya serta keluarga mangsa yang mendakwa punca kematian Sherol Aizam berunsur jenayah.

Sambil membidas tindakan tersebut, Hakim Zainal Adzam berkata, 'hearsay' (dengar cakap) tidak boleh diterima di mahkamah sebagai bukti kerana mereka terikat dengan undang-undang mengikut Akta Keterangan.

''Sebagai peguam kamu harus bagi nasihat yang tepat kepada anak guam. Jangan ikut emosi sahaja dan buat permohonan sesuka hati hanya kerana dengar-dengar cakap orang. Ini mahkamah, bukannya kedai kopi.

''Jangan terus melatah. Sepatutnya bagi penerangan jelas bahawa hanya melalui siasatan polis dan inkues sahaja punca lebam itu dapat diketahui dan bukannya melalui permohonan ini,'' tegas Hakim Zainal Adzam.

Pada 27 Julai lalu, Mohd. Damanhuri membuat laporan polis di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan siasatan kematian anaknya dan menuntut supaya siasatan dan bedah siasat kedua dilakukan.

Menurutnya, keraguan itu berpunca selepas dia melihat keadaan mayat Sherol Aizam yang terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan.

Dalam kejadian 20 Julai lalu, tindakan Sherol Aizam yang cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran berakhir apabila dia ditemui mati tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu di Taman Saz di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Mangsa yang merupakan anak sulung dipercayai masuk dengan membuka tingkap di bahagian sinki dapur rumah jenis teres setingkat itu yang terletak selang beberapa buah dari kediaman keluarganya.

Sementara itu, Mohd. Damanhuri ketika ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau akan berbincang dengan Mohd. Fitri berkenaan tindakan lanjut yang akan dilakukan dalam kes anaknya itu.

Mohd. Fitri pula memberitahu, beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada untuk merayu atau membuat permohonan supaya satu inkues dibuat bagi mengetahui punca kesan lebam tersebut.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved