Khamis, 12 September 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Seni kraf tangan terus berkembang

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

hasil kraf daripada surat khabar lama keluaran Asrina Craft Enterprise di Taman Ayer Keroh Height, Melaka.

MELAKA 11 Sept. - Seni kraftangan merupakan sesuatu perlakuan atau kerja yang dihasilkan daripada kreativiti atau daya cipta menggunakan tangan.

Kebiasaannya seni kraf tangan di negara ini lebih tertumpu kepada kemahiran seseorang bagi menghasilkan produk berasaskan teknik tertentu sama ada ukiran, jahitan, lakaran mahupun anyaman.

Di negara ini kebanyakan kraf tangan yang dihasilkan amat sinonim dengan identiti masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Tidak kira dari segi anyaman, ukiran mahupun motif atau corak yang digunakan selalunya akan dikaitkan dengan identiti sesuatu bangsa.

Kraf tangan yang dianggap tradisional di negara ini termasuk batik, ukiran kayu, penghasilan wau, labu sayong dan anyaman manik.

Boleh dikatakan kebanyakan negeri di negara ini mempunyai produk kraf tangan tertentu yang melambangkan identiti masyarakat tempatannya.

Kebanyakan hasil kraf diakui amat halus dan mempunyai nilai tersendiri bagi mereka yang begitu meminati seni kraf.

Peredaran masa membawa seni kraf ke tahap yang lebih membanggakan.

Bukan hanya menjadi kebanggaan masyarakat tempatan malah kegilaan golongan pelancong dari luar negara untuk dijadikan cenderamata.

Maka tidak hairanlah jika ramai yang sanggup berbelanja besar demi memiliki sesuatu produk kraf untuk dijadikan sebagai hiasan rumah.

Dalam bidang pendidikan misalnya, kepentingan seni kraftangan turut diberi tumpuan menerusi subjek seni di sekolah bagi memastikan masyarakat di negara ini tidak cetek dalam menghasilkan kraf biarpun sekadar anyaman.

Terkini, siapa sangka dengan menggunakan bahan terbuang, sesuatu hasil kraf juga dapat dihasilkan dengan sempurna.

Jika pada zaman dahulu, hasil kraf lebih tertumpu kepada penggunaan bahan semula jadi seperti kulit kayu, kulit binatang, daun pokok, tempurung, sabut kelapa dan sebagainya, namun kini menggunakan bahan seperti kertas surat khabar juga mampu menghasilkan kraf yang menawan hati.

Kraf anyaman kertas menjadi antara trend terkini kepada peminat seni kraf kerana bahannya lebih murah dan senang diperoleh.

Bagi mereka mengapa harus berbelanja besar sedangkan kepuasan menghasilkan produk kraf daripada bahan terbuang mampu mendatangkan pendapatan yang tidak kurang banyaknya.

Seni kraf tangan yang dihasilkan daripada kertas surat khabar ini sebenarnya bukan baharu.

Kebanyakan peminat tegar seni itu memberitahu, bidang ini telah lama berkembang sejak 10 tahun lalu namun tidak begitu dipedulikan masyarakat kerana menganggap kerja menghasilkan kraf daripada bahan itu sekadar hobi dan mengisi masa lapang.

Bagi yang pandai merebut peluang yang ada, idea mengkomersialkan kraf itu mampu mendatangkan pulangan lumayan serta boleh dijadikan punca pendapatan jika tahu caranya.

Antara produk kraf tangan yang boleh dihasilkan menerusi bahan itu termasuk bakul, bekas telur, tudung saji, lampu hiasan, hiasan dinding dan sebagainya.

Dengan modal yang tidak sampai RM100, ratusan bakul telur dapat dihasilkan dalam tempoh hanya beberapa hari.

Antara bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kraf tangan daripada surat khabar ialah kertas surat khabar, gam, lidi (untuk menghasilkan gulungan kertas yang sempurna), pemotong dan pewarna.

Seni kraf yang berkembang sejak berabad lamanya di negara ini dilihat tidak akan terhenti malah akan terus berkembang seiring berkembangnya kemajuan dan daya cipta si penghasil seni kraf itu sendiri.

Rozalina komersialkan kraf surat khabar

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

MELAKA 11 Sept. - Bermula hanya sekadar hobi dan memenuhi masa terluang, pengusaha kraf menggunakan surat khabar, Rozalina A. Rahman, 40, mengambil keputusan berhenti kerja untuk lebih serius menghasilkan kraf tersebut.

Biarpun mengambil masa sejak 10 tahun lalu bagi menguasai seni anyaman menghasilkan produk kraf berasaskan akhbar, namun wanita yang cukup mesra dengan panggilan Kak Lina ini menganggap usahanya berbaloi kerana produknya itu kini mendapat sambutan dari dalam dan luar negara.

Dibantu suaminya, seorang bekas tentera, Mohd. Asri Maarip, 44, Rozalina menganggap seni kraf daripada bahan kitar semula itu tidak jauh bezanya berbanding rotan.

Tidak mahu produk yang dihasilkan seakan-akan sama dengan produk pengusaha lain, dia mencipta trademark sendiri dengan menghasilkan seni hias berasaskan teknik tertentu termasuk anyaman, pintalan dan quiling demi kepuasan para pelanggannya.

Alhamdulillah sejak tiga tahun serius mengusahakan kraf ini sambutan memang di luar jangkaan. Saya amat mementingkan kualiti barang yang dihasilkan dan saya faham pelanggan juga sudah tentu mahukan hasil setimpal dengan jumlah wang yang mereka keluarkan untuk membeli sesuatu produk.

Setakat ini saya memberi pilihan kepada pelanggan memilih sendiri warna produk yang dihasilkan dan kualiti warna inilah yang sentiasa saya jaga supaya dapat bertahan lama," katanya.

Kata Rozalina, dia tidak mempraktikkan anyaman secara mudah iaitu menggunakan dawai sebaliknya menganyam dengan tangan dan sehalus mungkin bagi memastikan kekukuhan produk yang dihasilkan.

Katanya, untuk menghasilkan sebuah bakul dobi misalnya, memerlukan kemahiran asas serta teknik gulungan kertas surat khabar yang baik.

Daripada gulungan yang baik itulah, katanya, dapat menghasilkan lenturan yang memudahkan kerja anyaman sehingga dapat disiapkan.

Rozalina berkata, proses menghasilkan sesebuah bakul tidak memakan masa yang lama kerana dia hanya mengambil masa kurang tiga hari untuk menghasilkan antara satu hingga tiga buah bakul bersaiz besar.

Selain dipasarkan di seluruh negara, produknya itu telah pun memasuki pasaran luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

Sementara itu, menurut Mohd. Asri, membantu perniagaan isterinya membolehkan dia turut mempelajari teknik menghasilkan kraftangan yang baik.

Bagi saya tiada peliknya orang lelaki membuat kerja kraf tangan apatah lagi bertujuan menyokong serta membantu isteri berniaga.

Apa yang penting, perlu ada kemahuan dan minat barulah kerja kraf yang dihasilkan menepati cita rasa ramai," katanya.

Bagi pelajar mereka, Nurhayati Mohd. Ali, 29, potensi kraf tangan yang dihasilkan daripada bahan terbuang itu bukan hanya murah malah menyokong usaha kerajaan memelihara alam sekitar.

Dia yang merupakan seorang suri rumah beranggapan, kerja menghasilkan kraf tangan memerlukan minat tersendiri.

Saya melihat potensi yang besar menerusi seni kraf ini terutama bekas telur kerana mudah dihasilkan dan cantik jika pandai diserikan dengan hiasan tertentu.

Saya baru lagi sebagai pelajar dan setakat ini penguasaan anyaman saya masih belum sempurna, namun saya pasti jika ada kemahuan pasti saya akan dapat menguasai seni ini tidak lama lagi," katanya.

Projek bandar baharu di Jempol

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 11 Sept. - Sebuah bandar baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat oleh Kumpulan IOI di daerah ini bagi memenuhi permintaan tempatan dan keselesaan awam.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Wan Razali Wan Awang (gambar) memberitahu, antara pakej yang ada dalam projek pembangunan itu ialah pembinaan pasar raya Tesco Stores (M) Sdn. Bhd (Tesco Malaysia), restoran makanan segera McDonald serta satu laluan pintas menghubungkan Mahsan ke Rompin.

''Projek ini melibatkan keluasan tanah seluas 202.35 hektar dan ketika ini kerja menolak dan meratakan tanah telah pun siap dilakukan," katanya di sini hari ini.

Katanya, bagi pasar raya Tesco, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah pun meluluskan pembinaannya pada Ogos lalu dan syarikat itu perlu menyegerakan pembinaan dalam tempoh dua tahun serta beroperasi selewat-lewatnya Ogos 2015.

Selain itu kata Wan Razali, jalan pintas yang akan dibina kelak merupakan projek penyuraian kesesakan terutamanya di persimpangan utama Bahau-Rompin berdekatan landasan kereta api Bahau.

''Buat masa ini pengguna jalan raya terpaksa melalui jalan itu untuk ke Bahau dan Rompin, malah kerap kali berhadapan kesesakan khususnya hujung minggu.

''Laluan baharu ini akan lebih pendek dan boleh digunakan orang ramai untuk ke Segamat, Johor," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Wan Razali juga menegaskan pihaknya telah kehilangan 30 anak pokok gaharu yang ditanam di Dataran Seri Jempol, Feldajaya Selatan pada Mei lalu.

''Pokok gaharu ini kita terima sumbangan Tesco ketika pelancaran program penghijauan bumi dan ketika itu sebanyak 4,000 anak pokok jenis itu diterima. Hari ini 30 daripadanya telah hilang.

''Kita memahami pokok ini mempunyai pasaran yang tinggi dan untuk itu, pihak majlis akan mendapatkan kerjasama Polis Bantuan Felda untuk mengawasi kawasan tanaman berkenaan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved