Khamis, 12 September 2013

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Ayuh penuhi Stadium Darul Makmur

Posted: 12 Sep 2013 11:58 AM PDT

TOK GAJAH,
Inderapura

SEBAHAGIAN pemain pasukan Malaysia meraikan kejayaan menumpaskan Myanmar pada pertandingan Pestabola Merdeka antara pasukan Malaysia bertemu Myanmar di Stadium Darul Makmur, Kuantan, baru-baru ini.

Saudara Pengarang,

Pemilihan Stadium Darul Makmur di Kuantan sebagai gelanggang utama saingan Pestabola Merdeka 2013 merupakan penghargaan kepada penyokong bola sepak Tok Gajah.

Malah kejayaan Harimau Muda layak ke perlawanan akhir esok berdepan Myanmar merupakan satu lagi bonus yang amat dinantikan bukan setakat penyokong Tok Gajah malah seluruh peminat bola sepak tanah air.

Kejayaan membenam Singapura 1-0 pada perlawanan pembukaan baru-baru ini membuka mata banyak pihak mengenai keyakinan skuad muda negara untuk muncul juara pada kali ini.

Lantaran itu, jumlah kehadiran penyokong mula meningkat setelah anak buah Ong Kim Swee membenam Myanmar 2-1 Sabtu lalu dan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Thailand kelmarin sudah pasti membuatkan peminat bola sepak tanah air teruja untuk memenuhi stadium pada aksi final.

Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan harga tiket merupakan satu tindakan yang tepat dan saya yakin puluhan ribu penyokong akan turun menyaksikan perlawanan akhir nanti.

Aksi mantap pemain kebangsaan dalam tiga perlawanan sebelum ini sudah pasti akan bertambah menarik pada perlawanan akhir.

Kepada peminat bola sepak tanah air, ayuh kita beramai-ramai memenuhi ruang di stadium untuk memberi sokongan kepada para pemain.

Kejayaan sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada kehebatan pemain malah sokongan yang padu turut memberi impak yang besar.

Tidak ada yang lebih menggembirakan melainkan melihat skuad kebangsaan menjulang piala Pestabola Merdeka pada kali ini di depan mata.

Segerakan projek jalan raya di Hulu Tembeling

Posted: 12 Sep 2013 11:58 AM PDT

WAN KEMBOJA,
Hulu Tembeling, Jerantut.

Perahu penambang antara pengangkutan di Sungai Tembeling sebagai alternatif penduduk Hulu Tembeling ke bandar Jerantut.

Saudara Pengarang,

SAYA ingin menarik perhatian kerajaan negeri sekali lagi mengenai projek jalan raya di kawasan Hulu Tembeling, daerah Jerantut yang merupakan antara kemudahan asas oleh penduduk tetapi belum direalisasikan sehingga kini.

Untuk makluman, projek berkenaan yang cuma baru diselenggarakan antara Kampung Tuit, berdekatan Kuala Tahan ke Kampung Pagi sejauh 28 kilometer kini menimbulkan tanda tanya mengenai status projek itu yang kelihatan agak lembap.

Penduduk Hulu Tembeling sememangnya amat dahagakan kemudahan jalan raya yang nampaknya kemudahan itu masih kurang dirasai penduduk kawasan Hulu Tembeling.

Kemudahan itu kerap dijanjikan wakil rakyat dan pegawai pembangunan di peringkat Pusat dan negeri ketika turun padang ke kawasan ini, tetapi setakat ini, hanya sebagai pengisian dalam ucapan mereka semata-mata.

Sektor pertanian amat penting dilestarikan di Hulu Tembeling untuk menambah pendapatan dan mengubah taraf hidup penduduk miskin kawasan itu, tetapi tanpa jalan raya perancangan berkenaan hanya sia-sia.

Selaras dengan transformasi pembangunan kerajaan yang kerap diuar-uarkan di semua peringkat, maka projek berkenaan perlu disegerakan untuk melihat penduduk bebas daripada kepompong kemiskinan dan menikmati peluang agihan ekonomi yang sama rata.

Seperti mana yang kita maklum, ketiadaan jalan raya sudah tentu membantutkan usaha mengembangkan sektor pertanian dan pelancongan sekali gus menyebabkan ramai golongan belia berhijrah ke tempat lain.

Ketiadaan jalan raya menyebabkan lokasi di lima buah kampung masih di takuk lama seakan-akan negara baharu sahaja merdeka malah penduduk yang mampu masih 'bermimpi di siang hari' untuk memandu kereta dan parkir di halaman rumah mereka.

Boleh dikatakan agenda utama perancangan lima buah Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap tahun ialah mengemukakan permohonan dipercepat projek jalan raya untuk memacu sektor ekonomi dan sosial.

Untuk makluman, saya difahamkan projek jalan raya yang menghubungi antara Kuala Tahan hingga ke Kampung Pagi agak perlahan dan penduduk tertanya-tanya mengenai status projek berkenaan.

Saya berharap menerusi Rakan Pahang minggu ini, kerajaan negeri yang mempunyai kepemimpinan berintergriti dan mencerminkan manifestasi kebajikan rakyat dapat mempercepat projek berkenaan untuk keselesaan penduduk.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved