Khamis, 12 September 2013

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Hubungan cinta masih baik

Posted: 11 Sep 2013 09:53 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar TV3
Pakaian DOUBLE WOOT

WALAUPUN berjauhan, hubungan cinta antara nelydia dan qi masih lagi utuh.

PUNYA rupa dan popular, tentu ramai yang akan memandang atau memerhatikan kita. Pasti kita akan terasa kita adalah 'hebat' apabila berada di lapangan seni, dunia idaman banyak orang. Tetapi berbeza pula keadaanya dengan pelakon kacukan Melayu-Siam, Nelydia Senrose atau selesa dengan panggilan manja, Nelly.

Akui Nelly, dia sebenarnya takut untuk berjumpa peminat. Jawapan itu agak mengejutkan apabila Nelly memberitahu sebegitu ketika bertemunya dalam satu sesi fotografi khas yang diatur Hits, baru-baru ini.

"Saya ini seorang yang pemalu. Secara jujurnya, saya mengaku saya memang gabra apabila menjadi tumpuan. Sebab itu, apabila melalui peminat saya akan menjadi risau kerana saya tidak suka untuk menjadi perhatian ramai.

"Bukan sebab saya tidak selesa, cuma saya tidak pandai bercakap atau berbual. Biasanya, saya akan ambil masa untuk menyesuaikan diri bukan sahaja dengan peminat malah dengan kawan-kawan saya sebelum ini pun macam itu.

"Tetapi saya harap semua peminat jangan salah faham. Saya masih menghargai jasa baik mereka yang sentiasa membantu dan menyokong karier saya. Nama saya tidak akan naik tanpa adanya mereka.

"Oleh itu, saya minta maaf dahulu kepada semua peminat. Jika ada jumpa saya di mana-mana. Kalau ada yang menegur tetapi saya tidak membalas. Jangan buruk sangka dahulu. Itulah sikap sebenar saya," luah pelakon berwajah comel ini.

Mungkin itu yang dikatakan rendah diri. Yelah, kata Nelly yang sudah menjangkau usia 19 tahun, sejak mendapat tawaran yang mencurah-curah selepas diperkenalkan dalam drama bersiri Spa Q, dia juga tidak pernah untuk mendabik dada mahupun berasa besar memandangkan situasi industri perfileman dan penerbitan drama tempatan tidak menentu.

Keadaan itu ditambah pula dengan persaingan yang sangat besar dan kehadiran bakat baru yang silih berganti.

"Saya berlakon kerana minat yang mendalam dalam bidang seni dan bukan sekadar untuk mencari glamor serta untuk meraih populariti. Terus terang, saya ingin dikenali kerana bakat dan bukan gosip murahan mahupun kontroversi.

"Maklumlah, saya bermula dari bawah dan tiada asas dalam bidang lakonan. Sekarang pun kita lihat banyak muka baru muncul dan tidak kurang juga berbakat.

"Saya tidak pernah meletakkan diri antara yang terbaik kerana ada lagi bakat baru dan muda lebih berkebolehan," katanya yang memulakan pembabitan dalam bidang lakonan sejak usia 13 tahun.

Dalam pada itu, Nelly juga mengakui dia lebih mementingkan sesuatu yang lebih menjamin masa depan dan kini fokus utama adalah pada pelajaran yang menjadi jaminan masa depannya nanti.

Sebab itu, dia memilih untuk berehat sepanjang bulan September ini dan tidak menerima sebarang tawaran berlakon.

"Saya rasa saya sudah banyak ketinggalan sejak melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi. Jadi, semasa berehat ini, setiap masa saya akan saya habiskan di kolej dengan menghadiri kuliah dan mengadakan perbincangan bersama rakan. Jadi, memang tiada masa untuk saya memikirkan soal menerima tawaran berlakon.

"Saya fikir sekarang penting untuk saya cuba bersikap realistik dalam hidup. Saya belajar untuk masa depan dan sekurang-kurangnya mesti ada segulung ijazah dalam bidang berbeza. Kalau takdir menentukan bakat saya dihargai dan diperlukan sampai bila-bila, saya bersyukur.

"Bagaimanapun, andai orang tidak perlukan saya lagi, dengan kelulusan diperoleh, sekurang-kurangnya saya boleh menyertai bidang baru dan saya minati," kata pelajar Kolej SEGI, Subang Jaya, Selangor ini.

Lakonan lebih dewasa

BARU sekarang nama Nelly menjadi perbualan dan dia semakin menjadi perhatian serta dikenali umum. Semuanya gara-gara kegilaan ramai terhadap drama bersiri lakonannya, Setia Hujung Nyawa.

Sebaik disiarkan di TV3 melalui slot Akasia sepanjang dua minggu, drama terbitan Suhan Movies & Trading dan arahan Emi Maziah itu ditonton hampir tiga juta orang, sekali gus membuatkan penonton buka mata terhadap bakat Nelydia membawakan watak Ersalina berganding dengan Amar Ashraf sebagai Zain Hakimi.

"Saya amat bersyukur dengan perkembangan itu dan gembira kerana sekarang orang memberikan perhatian terhadap lakonan saya," ujarnya.

Terbaru, sekali lagi menerusi slot Akasia, drama bersiri 24 episod, Cinta Jannah telah menambah populariti kepada Nelly.

Gandingannya bersama dengan pelakon kacak, Aeril Zafrel dalam drama yang mula bersiaran pada 14 Ogos lalu setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 petang di TV3 dikatakan telah mendewasakan lakonan Nelly.

Jelas Nelly yang melakonkan watak Jannah dalam drama itu, memang watak itu telah memberikan nafas baru dalam lakonan.

"Jujur saya katakan, banyak perkara yang saya pelajari semasa membawakan watak Jannah.

"Cabaran yang saya perlu hadapi adalah watak itu sendiri yang menceritakan seorang gadis kampung. Perwatakan gadis kampung perlu saya hayati supaya watak yang dibawa berkesan untuk tontonan semua.

"Sebab itu, semasa penggambaran, banyak benda yang saya perhatikan dan amati betul-betul semasa berada di sebuah kampung di Melaka," katanya.

Mungkin, ramai yang berpendapat lakonan Nelly dalam drama itu semakin mantap.

"Ia memang pengalaman baru buat saya. Saya juga mendapat reaksi memberangsangkan daripada peminat yang menyukai lakonan saya dalam cerita itu," jelasnya.

Cemerlang cara Yuna

Posted: 11 Sep 2013 09:53 PM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

DALAM masa tiga tahun ini dia bertungkus lumus menyediakan tapak terbaik di laman seni suara Amerika Syarikat. Siapa sangka keunikan personaliti serta bakat yang tidak perlu dipertikai dia diterima dengan baik penggerak industri di sana. Mengorak langkah sebagai antara artis Malaysia paling berjaya diluar negara, sambutan yang di berikan gadis berumur 28 tahun ini sungguh luar biasa.

Kita lupakan kisah cinta tidak menjadinya dengan Qi Razali yang kemudian beralih kepada seorang jejaka Inggeris, bagi Hits kekuatan Yunalis Zarai atau Yuna lebih dari cebisan kisah remajanya itu. Menemuinya baru-baru ini selepas menjayakan konsert Yuna & Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di Istana Budaya dapat kita nilai kembali sisi kematangan yang ingin gadis yang pamerkan.

Bagaimanapun kesibukan Yuna membuatkan peminatnya di Malaysia hanya menerima khabarnya melalui kekuatan dunia maya.

Namun Yuna telah memilih untuk menutup laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini dan seolah-olah ada sesuatu yang berlaku. Apakah yang dia tidak puas hati? Apakah ada komen-komen peminat yang menyentuh hati wanitanya?

Menyangkal menjadi lebih eksklusif, bagi Yuna sudah sampainya dia meletakkan had perkongsian hidupnya kini.

"Saya tutup akaun Instagram bukan sebab saya mahu eksklusifkan diri. Cuma pada saya selama ini sudah banyak saya kongsikan dengan umum. Saya rasa Ziana Zain juga tiada Instagram, apa yang cuba sampaikan sudah sampai masanya saya simpan sahaja perkara yang terlalu peribadi dan hanya berkongsi mengenai karier sahaja.

"Nilai eksklusif itu akan datang sendiri kemudian. Ia lebih kepada permulaan sebenarnya," kata Yuna mengulas kewajarannya menutup akaun di laman sosial tersebut.

Bagi Yuna, dalam tempoh masa selama tujuh tahun ini, sudah banyak rahsia hidupnya dikongsi dengan semua orang.

"Jadi, ini waktu yang sesuai untuk saya berhenti melakukan perkara ini. Di masa hadapan saya juga akan berkeluarga, dan berkongsi gambar anak serta keluarga bukan sesuatu yang selesa. Saya harap peminat boleh jelas dengan niat saya ini, kerana yang pasti ia bukan soal eksklusif," katanya.

Nikmati cuti dengan keluarga

Dengan konsertnya yang baru sahaja berakhir hujung minggu lalu, Yuna mungkin masih lagi berada di negara ini. Menurut Yuna kelebihan untuk bercuti ini akan digunakan sebaik mungkin untuk melepaskan rindunya kepada keluarga. Namun apa yang lebih mencuri tumpuan sewaktu Yuna menjayakan konsertnya ini adalah kehadiran Jules Schratter yang khabarnya mereka kini sedang menjalinkan hubungan cinta.

"Selepas konsert ini saya akan luangkan masa lebih kurang seminggu untuk bersama keluarga, sebelum terbang pulang ke Amerika Syarikat. Soal dia, (Jules) tiada apa yang mahu saya katakan. Tetapi sesuatu yang seronok untuk melihat seseorang yang datang dari jauh untuk menyokong saya di konsert ini. Dan Jules akan pulang dahulu, kami tidak akan pulang ke sana bersama-sama," katanya tersipu malu.

Bercakap mengenai kematangan di dalam karier seninya kini, ternyata Yuna masih seorang yang merendah diri seperti dahulu. Tidak mahu terlalu berbicara mengenai pengalaman selama tujuh tahun bagi Yuna keberaniannya ini berkait rapat dengan cinta yang amat dalam terhadap bidang muzik.

"Memang sewaktu menerima tawaran untuk mengadakan konsert di Istana Budaya saya agak takut, bukan apa mengadakan konsert di sini sepertinya impian semua penyanyi muda seperti saya.

"Berbanding pengalaman muzik penyanyi hebat lain saya tahu tujuh tahun masih lagi baru, bagaimanapun pengalaman mengadakan persembahan di gig seluruh Amerika banyak membantu saya didalam menjayakan konsert kali ini,"katanya.

Sibuk menantikan album terbarunya yang bakal di lancarkan secara global pada 29 Oktober ini, menurut Yuna sebagai anak Malaysia dia tidak lupa untuk menyelitkan beberapa elemen muzik melayu didalam beberapa lagu miliknya.

"Secara dasarnya album ini bergenra pop, bagaimanapun ada di antara lagu-lagu ini kalau kita dengar betul-betul mempunyai unsur muzik melayu.

"Akan dilancarkan secara global, dimana peminat disini juga bakal menikmati album ini serentak dengan peminat lain di seluruh dunia. Dan mungkin juga saya akan pulang untuk melancarkan album ini disini," katanya.

Menjelaskan kerjasama yang terjalin di antara dia dan gitaris kumpulan Incubus, Mike Einziger, menurut Yuna secara jujurnya dia amat terharu untuk mengetahui Mike mempunyai pendapat yang baik mengenai muzik pilihannya.

"Pada 2007, Incubus pernah ke Kuala Lumpur dan saya berada betul-betul di hadapan Mike, sebab saya memang suka dengan gitar. Waktu itu memang saya langsung tidak fikir akan mendapat peluang sebesar ini.

"Mendapat e-mel daripada pihak pengurusan mengenai Mike yang memuji muzik saya bagaikan suatu mimpi. Dan bermula dari situ kami terus berhubung dan dia sendiri yang menawarkan diri untuk bersama saya di konsert ini. Mengenai bayaran, apa yang boleh saya katakan kami mengambil tanggungjawab memastikan semua kelengkapan sepanjang dia berada disini dijaga dengan baik," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved