Khamis, 12 September 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Memperkasakan bakal guru

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

Oleh MOHAMED SAARI
utusan.johor@yahoo.com

MOHD. Azahar Ibrahim (tengah) menyaksikan seorang peserta (kanan) menyerahkan cenderamata kepada keluarga angkat di Kampung Sawah Baru, Labis, Johor, baru-baru ini.

LABIS 11 Sept. - Golongan guru merupakan komponen penting yang menjadi teras dalam usaha mendidik dan melahirkan modal insan yang mampu menjulang martabat negara dalam era globalisasi ini.

Sehubungan itu, pelbagai usaha dijalankan bagi memperkasa golongan tersebut bertujuan memastikan mereka mampu melahirkan modal insan yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani, selain menjadi benteng negara daripada pelbagai bentuk ancaman.

Program Bina Insan Guru yang menjadi syarat wajib bagi semua guru pelatih sebelum layak menerima ijazah seterusnya bergelar pendidik anak bangsa dan merupakan landasan terbaik memantapkan ilmu dan jati diri mereka.

Bagi memenuhi syarat tersebut, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussien Onn (IPGTHO) tidak ketinggalan menganjurkan program berkenaan yang disertai 66 pelatih bersama 10 pensyarah selama tiga hari di Kampung Sawah Baru dekat sini baru-baru ini.

Pensyarah Kokurikulum, Abd. Jabar A. Rahman berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada bakal guru berdepan dengan masyarakat, terutamanya di kawasan pedalaman dan kampung tradisi.

"Program ini merupakan peluang terbaik pelatih yang datang dari pelbagai latar belakang memahami gaya hidup serta keperluan pendidikan masyarakat luar bandar dan digunakan sebagai panduan apabila bergelar pendidik kelak.

"Sepanjang program berlangsung setiap peserta dikehendaki mengendalikan semua aktiviti yang dirancang bagi memberi peluang mereka menonjolkan bakat kepimpinan serta memperkasakan kemahiran berfikir," katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, setiap peserta diwajibkan menjalankan aktiviti khidmat sosial dan dinilai tahap penglibatan mereka serta keberkesanan peranan yang dimainkan untuk masyarakat setempat oleh 10 pensyarah yang turut serta.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah sukaneka, senamrobik, perlawanan futsal dan bola jaring, kem motivasi, kembara sosial, sambutan kemerdekaan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Abd. Jabar berkata, profesion perguruan kini memerlukan pengorbanan serta kesabaran yang tinggi, selain peranan memajukan masyarakat setempat, terutamanya di kawasan luar bandar melalui aktiviti bersama.

Dengan menyertai program itu, peserta bukan sahaja dapat menyelami kehidupan masyarakat luar bandar, malah mampu menilai keperluan mereka terutama dalam bidang pendidikan anak-anak.

Di samping itu, program tersebut juga merupakan persiapan daripada segi mental dan emosi bagi menghadapi cabaran yang bakal ditempohi sekiranya ditempatkan di kawasan pedalaman yang agak jauh daripada arus pembangunan.

Sementara itu, seorang penduduk, Salwah Abd. Rahman, 45, mengakui program tersebut yang pertama kali diadakan di kampungnya membawa banyak manfaat, khususnya kepada para pelajar.

"Sebelum ini kami tidak didedahkan dengan pelbagai peluang serta syarat kemasukan untuk melanjutkan pengajian di IPG, tetapi kehadiran mereka memberi kami gambaran lebih jelas tentang perkara tersebut.

"Saya lihat ramai pelajar di kampung ini yang mula berminat dan menyimpan angan-angan untuk menjadi guru selepas mendapat maklumat daripada peserta sepanjang program berlangsung," katanya.

Beliau juga sberharap lebih banyak pusat pengajian tinggi menganjurkan aktiviti di kampungnya pada masa akan datang kerana mampu membawa banyak manfaat kepada mereka.

Perlu disebut, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tenang, Mohd. Azahar Ibrahim menyertai Majlis Penutupan Program Bina Insan Guru tersebut.

Pelatih, masyarakat kongsi manfaat

Posted: 11 Sep 2013 11:13 AM PDT

SEORANG ibu angkat (kiri) bersalaman dengan anak angkatnya pada Program Bina Insan Guru di Kampung Sawah Baru, Labis, Johor, baru-baru ini.

LABIS 11 Sept. - Penganjuran Program Bina Insan Guru bukan sahaja memberi faedah kepada peserta, malah turut membawa pelbagai manfaat penduduk setempat.

Seorang peserta, Fanly Soh Swee Fong, 21, mengakui menjadi anak angkat dan tinggal bersama keluarga Melayu selama tiga hari merupakan pengalaman baharu yang amat menarik dan sukar dilupakan.

"Saya begitu tertarik dengan peradaban mereka yang begitu menghormati antara satu sama lain dan sepanjang pemerhatian saya, bersalaman setiap kali bertemu merupakan satu yang wajib dilakukan.

"Apa yang lebih menarik, keluarga angkat saya begitu menghormati tetamu dan cuba memenuhi setiap keperluan saya serta tidak jemu memberi tunjuk ajar tentang adat resam orang Melayu," katanya yang berasal dari Bintulu, Sarawak.

Menurutnya, pengalaman mengikut bapa angkatnya menoreh getah cukup menarik dan tidak pernah terlintas dalam fikirannya untuk mencuba melakukan torehan.

Lisabet Laura Lorance, 21, yang berasal dari Sabah pula mengakui kagum dengan golongan pelajar di kawasan tersebut yang mampu memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik walaupun terdapat banyak kekurangan dalam mendapat maklumat terkini berikutan keupayaan mengakses internet yang terhad.

Beliau mengakui agak risau sekiranya tidak mampu menyesuaikan diri dengan keluarga angkat Melayu sebelum mengikuti program, tetapi segala sangkaannya meleset selepas mendapat keluarga angkat yang dianggapnya terlalu berbudi pekerti.

"Saya begitu teruja dilayan dengan baik seperti anak sendiri oleh keluarga angkat yang berusaha memenuhi setiap keperluan. Saya begitu menghargai sambutan dan layanan mereka," katanya sambil berharap dapat berpeluang kembali ke kampung tersebut pada masa akan datang dan tidak kisah jika ditugaskan mengajar di situ selepas ini.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Syed Ali Syed Abdullah Thani, 23, berkata, aktiviti bersama penduduk kampung banyak mengajarnya erti kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain, di samping menyelami keperluan penduduk setempat.

"Sedikit-sebanyak sikap tolak ansur dan kerjasama yang diamalkan oleh masyarakat di sini turut menyerap dalam jiwa kami dan akan dijadikan panduan selepas ini terutama sewaktu berdepan dengan pelajar nanti.

"Saya juga begitu teruja berdepan dengan golongan pelajar di sini yang menunjukkan disiplin tinggi ketika mengadakan kem motivasi bersama pelajar dan ibu bapa serta Kem 1Murid 1Sukan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved