Khamis, 12 September 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Saya sayang isteri, jangan robohkan masjid'

Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT

Oleh ANI AWANG
pengarang@utusan.com.my

MUHAMMAD Affandi Ismail yang menghadapi pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya dalam lif Hospital KPJ Bandar Perda hadir bagi sebutan tarikh perbicaraan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

BUKIT MERTAJAM 12 Sept. - Pegawai veterinar yang berdepan tuduhan membelasah isterinya di dalam lif pada bulan lalu, menyatakan dia masih menyayangi wanita tersebut dan mahu keluarganya hidup bahagia.

''Saya sayang isteri dan keluarga mentua janganlah robohkan masjid yang sudah dibina,'' kata Muhammad Affandi Ismail, 36, dari dalam keretanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kes itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nur Zafirah Mohamed Ali sebelum itu menetapkan 22 Oktober ini sebutan semula kes terhadap tertuduh yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia 36 tahun dalam lif di Hospital KPJ, Bandar Perda di sini, pada pukul 4 petang, 12 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih satu tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Muhammad Affandi diwakili peguam Suhaila Saad manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim.

Nama isteri tertuduh dirahsiakan kerana berada di bawah perlindungan sementara (IPO) atas perintah mahkamah.

Pada 12 Ogos lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan rakaman video sepanjang 2.20 minit yang memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi melalui akaun Facebook.

Lebih malang lagi dalam video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan yang dikatakan seorang pegawai veterinar bertugas di Jerantut, Pahang itu menendang isterinya, seorang pekerja kilang sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka.

Rasuah: Abdul Kudus dipenjara 6 bulan, denda RM90,000

Posted: 12 Sep 2013 11:41 AM PDT

PUTRAJAYA 12 Sept. - Bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Rayuan atas enam tuduhan rasuah melibatkan wang RM15,000, lebih 10 tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azahar Mohamed yang bersidang bersama Datuk Linton Albert dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kuorum berkenaan memerintahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap tuduhan berjalan serentak. Jika responden gagal membayar denda RM90,000, dia diperintah menjalani satu lagi tempoh pemenjaraan berjumlah 54 bulan.

Dengan keputusan itu, Abdul Kudus (gambar), 53, yang mempunyai dua isteri dan 10 anak disabitkan terhadap enam tuduhan daripada keseluruhan 24 tuduhan yang dikenakan manakala baki 18 tuduhan lagi, dibebaskan.

Hakim Azahar ketika menjatuhkan hukuman menyatakan, mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pertuduhan rasuah kerana responden telah mengkhianati amanah yang diberikan ibarat 'harapkan pegar, pegar makan padi.'

Kuorum tersebut berpuas hati agar hukuman penjara berjalan serentak selepas menimbangkan bahawa kes itu berlaku dalam transaksi serupa melibatkan pengadu dan restoran yang sama walaupun rasuah dilakukan pada tarikh-tarikh yang berlainan.

Terdahulu, Hakim Mohd. Zawawi ketika membacakan keputusan mahkamah berkata, Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika membebaskan responden daripada kesemua tuduhan.

Panel itu berpendirian, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati saksi pendakwa keempat (SP4), Steven @ S. Sathiasilan yang juga pemilik restoran adalah saksi yang tidak boleh dipercayai dan berkepentingan.

Mahkamah berpuas hati bahawa Steven yang juga pengadu kes bukan rakan sejenayah kerana keterangannya disokong oleh keterangan Koperal K. Ravintharan (SP8) dan A. Ravindran yang juga seorang setiausaha sulit di Kementerian Pengangkutan (SP10).

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat adalah selamat untuk bersandarkan kepada keterangan SP4 berhubung penyerahan wang rasuah kepada Abdul Kudus.

Hakim Mohd. Zawawi berkata, mahkamah menolak pembelaan responden berhubung teori konspirasi untuk menjatuhkannya melibatkan seorang bekas timbalan menteri, Datuk Seri Dr. M. Kayveas dan beberapa individu lain.

Beliau berkata, keterangan Kayveas sebaliknya mengundang padah apabila bekas timbalan menteri itu menafikan dia bersubahat dengan mana-mana pihak untuk menjatuhkan Abdul Kudus.

Menurut beliau, mahkamah juga tidak dapat menerima hujah pembelaan bahawa Abdul Kudus tidak mengetahui kandungan sampul berisi wang yang diserahkan oleh SP10 kerana keterangan saksi itu konsisten sepanjang perbicaraan.

Terdahulu, peguam M. Manoharan memohon hukuman terhadap anak guamnya berjalan serentak kerana Abdul Kudus yang kini menyara hidup sebagai pemandu teksi mengalami kepayahan hidup akibat kes berkenaan.

Bagaimanapun, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Razak Musa dan Khairul Anuar Wahab memohon hukuman berkuat kuasa secara berasingan kerana banyak masa dan wang digunakan ketika perbicaraan hingga kes selesai di peringkat akhir.

SPRM merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 September 2010 yang membebaskan responden daripada kesemua 24 pertuduhan itu.

Mahkamah Sesyen Ampang terdahulunya menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun 10 bulan dan denda RM370,000 ke atas Abdul Kudus kerana meminta dan menerima rasuah RM59,000 antara 2001 dan 2003.

Pada 30 Jun 2009, Mahkamah Sesyen Ampang menjatuhkan hukuman penjara dan denda tersebut ke atas Abdul Kudus selepas didapati bersalah atas 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah RM59,000 antara 2001 dan 2003.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved